Apa status rumah mangsa tragedi Putra Heights

A RAHMAN HARUN

KERAJAAN perlu menjelaskan status pembangunan perumahan selepas kediaman mangsa tragedi letupan paip gas di Putra Heights musnah sepenuhnya pada April lalu.

Difahamkan tiga agensi kerajaan iaitu Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB), Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) dan Sime Darby Berhad melaksanakan pembangunan semula tersebut.

Status pembangunan perumahan di Taman Putra Harmoni dibangunkan Sime Darby dan dijangka siap dua tahun manakala di Kampung Kuala Sungai Baru dimaklumkan dilaksanakan PKNS dan SPNB.

Ahli Parlimen Kuala Langat Dato’ Dr Ahmad Yunus Hairi mendedahkan 48 unit membabitkan kediaman di Taman Putra Harmoni dan 33 lagi di Kampung Kuala Sungai Baru dibina dengan peruntukan kerajaan.

“Jadi kita tahu sama ada pembangunan itu telah selesai dibangunkan rumah walaupun ada kekangan lain,” kata beliau di Dewan Rakyat Isnin lepas.

Beliau juga meminta kerajaan mengutamakan kebajikan dari sudut psikologi dan pembangunan semula kediaman mangsa tragedi kebakaran.

Beliau dimaklumkan kejadian tersebut menyebabkan berlaku trauma yang sangat besar bukan sahaja dalam kalangan orang dewasa, malah melibatkan golongan kanak-kanak.

“Biasanya ada acute traumatic dari sudut psikologinya kepada kanak-kanak, seterusnya jadi post traumatic disorder.

“Ini yang menyebabkan gangguan mental mereka terlibat, saya kira kerajaan boleh beri tumpuan atau kajian supaya boleh bersiap sedia hadapi kejadian serupa di masa akan datang,” katanya pada perbahasan berkaitan laporan insiden Putra Height.

Media sebelum ini melaporkan SPNB akan membina semula 81 kediaman yang musnah sepenuhnya dalam insiden kebakaran dan letupan saluran paip gas di Putra Heights dengan kos dibiayai kerajaan.

Ketua Pegawai Eksekutif SPNB, Mohd Jamil Idris dilapor berkata daripada jumlah itu, 48 unit membabitkan kediaman di Taman Putra Harmoni, manakala 33 lagi di Kampung Kuala Sungai Baru.

Pada kejadian 1 April lepas api dilapor menjulang lebih 30 meter dengan suhu mencecah 1,000 darjah Celsius.

Kejadian tersebut mengakibatkan 81 rumah musnah sepenuhnya di mana kerosakan struktur melebihi 40 peratus dan 81 separa musnah.

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *