‘Awak dari media mana..,” kata menteri

SELEPAS tragedi 13 Mei 1969, parlimen meminda Perkara 10 Perlembagaan dengan menjadikan isu bahasa sebagai suatu isu sensitif yang tertakluk kepada Akta Hasutan 1948, iaitu tidak boleh dipersoalkan kecuali tentang pelaksanaan.
Bahasa kebangsaan menjadi kemegahan dan kebanggaan bagi sesebuah negara.
Ketaatan kepada bahasa oleh para nasionalis dan pejuang kemerdekaan mencerminkan sesebuah negara itu telah merdeka dan berdaulat.
Bahasa kebangsaan adalah lambang bagi jati diri atau identiti bagi sesebuah negara.
Sejarah gemilang Bahasa Melayu pernah menjadi lingua franca selama beberapa abad iaitu dari daerah Gujerat, India hingga ke pantai utara Australia. Dan dari Campa di Vietnam hingga ke Banten di Jawa Barat.
Selain itu bahasa yang banyak digunakan termasuk Singapura, di mana rakyatnya mengetahui bahasa Melayu antara 70 hingga 80 peratus.
Pada tahun 1965 Bahasa Melayu diangkat menjadi bahasa kebangsaan dan di Indonesia, 80 peratus daripada penduduknya mengetahui Bahasa Melayu Indonesia.
Selain itu Brunei juga menjulang bahasa Melayu. Bahasa Kebangsaan digunakan sebagai bahasa urusan kenegaraan dalam pentadbiran negara dan urusan diplomatik dengan negara luar.

Malangnya Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming berang ketika seorang wartawan bertanya mengapa tema projek ‘I Lite U’ di ibu negara dalam bahasa Inggeris dan bukan bahasa kebangsaan.
Menteri dengan nada marah berbaul ugutan bertanya “awak dari media mana? Saya akan hubungi editor awak”.
Hina wartawan
Ahli Psikososio Dr Zulkeflee Yaacob menyifatkan tindak tanduk menteri terbabit sebagai menghina wartawan yang menjalankan tugas dan menjunjung Rukun Negara.

Kata beliau menteri mempamer sikap buruk kepada masyarakat dan mencipta suasana takut dalam kalangan pengamal media.
“Mengapa perlu dimarah wartawan sedangkan Bahasa Melayu merupakan Bahasa Kebangsaan. Sejarah silam Bahasa Melayu menjadi bahasa lingua franca dan bahasa perdagangan di alam Melayu sejak abad ke-7.
“Malah semakin berkembang pada era kerajaan Melayu Melaka. Lagi pun Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan bahawa Bahasa Melayu hendaklah digunakan dalam semua urusan rasmi negara.
“Bahasa Melayu menjadi bahasa Kebangsaan di Persekutuan Tanah Melayu sejak 1957 yang menggantikan bahasa Inggeris pada tahun 1967,” katanya di Ipoh.
Kata beliau ketika era kolonial Bahasa Melayu terhad dan perkembangan dinafikan fungsi kebahasaan negara.
Ia dipertegaskan lagi pada Laporan Penyata Rahman Talib 1960 di mana bahasa kebangsaan hendaklah ditulis dalam apa-apa tulisan.
Akta Bahasa 1963/67 yang mengandung 3 seksyen terarah bentuk tulisan, angka dan bahasa dalam borang rasmi.
Wajib
Bahasa Melayu juga sebagai bahasa pengantar bagi semua kursus sastera di universiti bermula 1983.
Malah, Penyata Rahman Talib 1960 menyetujui syor dalam Penyata Razak menjadikan Bahasa Melayu subjek wajib dalam kurikulum semua sekolah termasuk sekolah vernakular.

Ahli Parlimen Kota Bharu, Dato’ Seri Takiyuddin Hassan menyarankan setiap pemimpin perlu berhemah ketika berurusan dengan media, tanpa mengira keadaan atau situasi.
Ini kerana peranan media amat penting dalam menyampaikan mesej serta maklumat kepada masyarakat.
“Hak media untuk bertanya soalan kepada menteri. Sama juga seperti di Parlimen. Bukan bermaksud kita hendak menyerang, tetapi sekadar bertanya respons pihak kerajaan,” ujarnya.

Kesatuan Kebangsaan Wartawan Malaysia (NUJM) dalam reaksi turut mengecam tindakan menteri yang disifatkan sebagai cubaan menakut-nakutkan media serta menekan kebebasan wartawan di negara ini.
