
SALMAH MAT HUSAIN
MENJELANG 100 tahun usia PAS Kelantan dijangka akan lahir ‘Tok Guru Nik Aziz kedua’ yang mampu menangkis dakyah dan pemikiran songsang terhadap Islam.
Tokoh terbabit akan meneruskan perjuangan PAS dengan lebih meluas lagi bagi menyekat fahaman negatif dan anasir anti-Islam.
Pesuruhjaya PAS Kelantan Ustaz Dato’ Bentara Kanan Ahmad Yakob memberitahu tinggal 30 tahun lagi untuk PAS Kelantan mencapai usia 100 tahun.
Katanya, tahun ini usia PAS Kelantan mencapai 70 tahun selepas ditubuh secara rasmi pada 1955.
“Bagaimanapun usaha untuk melahirkan tokoh hebat boleh terbantut dengan cabaran media masa dan media sosial sekiranya tidak ditangani dengan baik kerana ia boleh merosakkan cara kita berfikir.
“Saya berharap anak didik yang dibentuk melalui sistem tarbiah akan menjadi pejuang hebat yang dicemburui lawan,” ujarnya ketika merasmikan Sambutan 70 Tahun PAS Kelantan dan 35 Tahun Pentadbiran Kerajaan Kelantan di Pantai Sri Tujuh, Tumpat semalam.

Hadir sama Yang Dipertua PAS Tumpat Dato’ Wan Roslan Wan Hamat, Adun Kelaboran Mohd Adanan Hassan dan Adun Wakaf Bharu Muhd Rosli Abdullah.
Matang
Ustaz Ahmad yang juga Adun Pasir Pekan berkata, sejarah panjang PAS sejak tahun 1950-an membuktikan kematangan parti itu dalam mendepani pelbagai cabaran sehingga kekal memimpin Kelantan dalam tempoh 35 tahun.
Menurutnya juga ketika melewati perjuangan 70 tahun PAS Kelantan pernah berdepan dengan kekalahan pada pilihan raya persekutuan 1955 dan pilihan raya negeri Mac 1978.
“Kita bersyukur kerana selepas itu rakyat terus memberi kepercayaan kepada PAS sehingga sekarang.
“Saya menzahirkan penghargaan kepada semua petugas dan pejuang awal PAS yang telah berkorban masa, harta dan tenaga demi menegakkan tuntutan syariat.
“Pengorbanan mereka menjadi asas kekuatan kita hari ini sehingga kekal mentadbir Kelantan selama 35 tahun. Kita mesti mengekalkan semangat itu,” ujarnya.
Beliau juga berkata kejayaan PAS mengekalkan pemerintahan di Kelantan tidak berlaku secara kebetulan, sebaliknya hasil kefahaman rakyat terhadap agama yang disemai ulama dan tok-tok guru.
“Orang Kelantan mudah menerima perjuangan Islam kerana mereka dididik dengan ilmu agama. Mereka tahu peranan politik untuk menegakkan agama,” katanya.
Kata beliau usaha awal dirintis golongan ulama termasuk Tok Kenali sehingga melahirkan ramai ulama yang menjadi benteng perjuangan Islam di Kelantan sehingga sekarang.
Ulama ditangkap
Bagaimanapun sejarah mencatat ramai tok guru ditangkap oleh kerajaan yang diterajui Barisan Nasional kerana bimbang kebangkitan rakyat bersama PAS.
“Umno takut dengan penglibatan alim ulama dengan PAS sehingga ramai yang ditangkap oleh kerajaan sebelum ini,” jelas beliau.
Oleh itu beliau menegaskan perjuangan PAS bukan sekadar soal politik, sebaliknya keperluan membawa negara dengan acuan Islam.
Anak muda perlu bersabar dan teguh menghadapi cabaran semasa serta tidak mudah berputus asa meninggalkan perjuangan Islam yang diwarisi golongan ulama.
“Kita perlu bersabar walau ada perkara yang tidak disukai. Semoga anak muda cekal dan istiqamah dalam tarbiah bagi melahirkan pejuang yang akan mempertahankan Islam pada masa depan,” katanya.