
Oleh ASLANI M
TIADA siapa sangka di kawasan pedalaman yang terletak agak jauh daripada jalan terdapat pusat pengajian pondok tradisional.
Kawasan itu di kelilingi hutan simpan yang masih terpelihara dan menghijau. Mengalir jernih air Sungai Kenerong berpangkal dari Taman Negeri Stong.
Di hujung banjaran terdapat air Terjun Jelawang dengan ketinggian 1,414 kaki dari aras laut. Gunung Stong terkenal dalam kalangan pendaki gunung kerana laluan begitu ekstrem.
Di hulu Sungai Kenerong juga terdapat mini stesen janakuasa hidroelektrik yang dikendalikan syarikat swasta. Air Sungai Kenerong masih jernih. Ia mengalir di celah-celah bongkah batu besar dan kecil yang terdapat di tengah, kiri serta kanan sungai terbabit.

Di situlah terdapat Madrasah Tarbiah Al-Aulad atau dikenali juga Pondok Sungai Kenerong Dabong, Kuala Krai.
Lokasi itu terletak kira-kira 2.6 kilometer dari jalan Jeli-Gua Musang. Sebelum sampai ke tapak pondok terdapat kebun buah-buahan diusahakan penduduk tempatan.
Malah, sepanjang aliran sungai tersebut menjadi destinasi orang ramai berkelah pada hujung minggu bersama keluarga.
Pondok Sungai Kenerong diasas pada 11 November 2011 bermula daripada sebuah khemah yang terletak di tepi sungai.
Kawasan tersebut begitu gelap kerana dikeliling hutan belantara yang jarang dijejaki penduduk tempatan. Ketika itu hanya boleh dilalui kenderaan pacuan empat roda.
Persekitaran menarik
Pondok itu dibangunkan arwah Ustaz Mohd Samsudin Dollah (Pak Teh) selepas dikunjungi Baba Mat dari Pondok Berangan Tumpat.

Baba Mat berkenan sangat tempat itu didirikan pusat pengajian agama kerana persekitarannya begitu menarik yang tidak terdapat di tempat lain.
Pada rakaman video Ustaz Mohd Samsudin ketika hayatnya memberitahu Baba Mat menganggap tempat itu suatu hari nanti akan dikunjungi orang ramai seperti kelkatu.
Banjir besar yang berlaku pada Disember 2014 tidak merosakkan pondok biarpun terletak tidak jauh dari sungai. Keajaiban itu tersebar luas sehingga menarik perhatian masyarakat.
Bermula dari situ orang ramai bertali arus mengunjungi Sungai Kenerong yang terletak di pondok tersebut untuk berkelah bersama keluarga.
Maka telahan Baba Mat hampir 15 tahun lalu kini ternyata menjadi kenyataan sekarang.

Mudir pondok terbabit Ustaz Firdaus Mohd Samsudin berkata, arwah bapanya tidak mengenakan sebarang bayaran kepada orang ramai yang datang berkelah di kawasan berkenaan.
Katanya, hanya tabung disediakan di laluan ke tempat perkelahan untuk membolehkan orang ramai menyumbang secara sukarela.
“Ahli keluarga kami menyediakan kedai bagi membolehkan orang ramai yang datang berkelah membeli makanan dan minuman.
“Mereka juga dibenarkan mendirikan khemah tanpa dikenakan sebarang bayaran. Cuma dipastikan pengunjung yang datang menutup aurat bagi wanita ketika mandi di sungai,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.
Masjid unik

Pusat pengajian pondok terbabit dibangunkan di kawasan seluas lapan ekar. Lokasi itu diberi pelepasan oleh kerajaan negeri daripada kawasan hutan simpan.
Sekarang terdapat 30 pelajar dan tiga guru. Guru-guru merupakan anak kepada arwah Pak Teh.
Sebuah masjid dua tingkat dalam pembinaan agak unik kerana dinding dilekatkan batu-batu sungai. Rumah keluarga Pak Teh terletak di belakang masjid.
Manakala pondok-pondok kayu yang didiami pelajar dibina bersebelahan sungai.

Manakala di lokasi rehlah disediakan bangunan surau untuk lelaki dan wanita, tandas, kedai dan ruang parkir yang luas. Majlis Daerah Dabong turut membina tandas bagi keselesaan pengunjung.