Khabar SG4

Batu seperti orang tidur di Gua Neon

Oleh Aslani M |

KETIKA harga bahan api mendadak naik, tentunya industri pelancongan berwajah muram semula. Silap haribulan boleh mengulangi apa yang pernah berlaku di era pandemik Covid bermula awal 2020.

Pelancong tempatan atau asing sekarang mulai berkira-kira semula untuk berkunjung ke tempat yang agak jauh.

Maka mengambil kira peluang itu, ada baiknya rakyat Kelantan meneroka banyak lokasi pelancongan menarik yang mungkin belum pernah mereka jejaki.

Sebelum ini diviralkan Train To Dabong. Ramai pelancong terpesona dengan tawaran pakej tersebut dengan merasai pengalaman perjalanan menggunakan kereta api.

Perjalanan ‘Train To Dabong’ bermula dari Wakaf Bharu, Tumpat ke Dabong menyunsuri kawasan semulajadi di pedalaman Kelantan. Ia begitu mengujakan.

Produk pelancongan tersebut juga digelar ‘Jungle Train’ kerana tren melalui kawasan luar bandar diselimuti hutan hujan tropika.

Perjalanan menggunakan tren kereta api dari Wakaf Bharu, Tumpat ke Dabong, Kuala Krai sejauh lebih 140 kilometer, mengambil masa hampir tiga jam.

Apabila sampai di stesen kereta api Dabong, deretan van milik pengusaha pelancongan tempatan sedia membawa pelancong ke pelbagai lokasi menarik di Dabong. Antaranya air terjun tertinggi di Asia Tenggara di Jelawang, Pondok Kenerong, Taman Negeri Gunung Stong dan Gua Ikan.

Gua neon

Selain Dabong, Gua Musang pula terkenal dengan lokasi gua bercahaya seumpama neon yang menjadi tarikan baharu industri pelancongan.

Gua terbabit terletak di tengah-tengah kawasan perkampungan Felda Chiku 2 Gua Musang. Ia dikatakan wujud beribu tahun lampau. Sebelum dibuka tanah rancangan di Felda Chiku 2, gua tersebut sudah lama terpacak di situ. Felda Chiku 2 menempatkan 267 peneroka.

Lokasi gua terletak kira-kira satu kilometer dari jalan raya Gua Musang-Kuala Krai. Gua terbabit mempunyai ketinggian 300 kaki. Pengunjung hanya mengambil masa selama sejam untuk sampai ke puncak.

Keluasan gua tersebut meliputi kawasan seluas 15 ekar, mempunyai tiga pintu gua yang boleh didaki semua lapisan masyarakat termasuk kanak-kanak.

Terdapat tujuh tingkat yang menyimpan pelbagai keunikan dan khazanah alam semula jadi. Memasuki pintu gua pengunjung tentunya akan terpukau dengan struktur bentuk batu yang cantik, unik dan mempesonakan.

Di tingkat 1 terdapat pelbagai batu termasuk seumpama binatang. Antaranya menyerupai bentuk gajah, ikan, katak, ular, cicak, burung helang dan buaya.

Orang tidur

Selain itu boleh ditemui juga batu berbentuk seperti orang tidur, mahkota, kasut, saji dan air terjun tujuh tingkat. Di aras pertama juga terdapat anak sungai.

Usaha awal bagi memajukan lokasi pelancogan itu dilakukan Pertubuhan Kami Anak Felda (KAF) Chiku 2. Sejak dibuka secara rasmi ramai pengunjung datang terutamanya pada hujung minggu.

Lokasi pelancongan baharu itu turut dilawati Ketua Jajahan Gua Musang Mohd Roshdi Ismail. Hadir sama pada lawatan terbabit Ketua Penolong Ketua Jajahan (Pembangunan) Budie Dharma Azman dan Penggawa Daerah Chiku Azlie Ramli.

Pada lawatan tersebut Ketua Jajahan mendengar taklimat ringkas disampaikan wakil KAF, Felda dan penghulu mukim kawasan berkenaan.

Gua Musang mempunyai banyak gua batu kapur yang menjadi lokasi tumpuan pelancong. Orang ramai boleh menyertai aktiviti mendaki gua batu kapur di Muse Ecopark dan gua di hadapan stesen keretapi lama Gua Musang.

Terdapat trek disediakan bagi membolehkan mereka yang gemar aktiviti lasak mendaki sehingga ke puncak.

Di Gua Musang juga terdapat tapak arkeologi di Gua Cha yang terletak di Pos Tohoi. Di situ ditemui rangka tulang manusia terpanjang di dunia dan pelbagai barangan purba berusia beratus tahun.

Kawasan itu yang terletak di tepi Sungai Nenggiri. Gua Cha ditemui pada 1936, terletak tidak jauh dari kampung Orang Asli, Pos Tohoi.

Di kawasan hutan berhampiran gua terbabit mudah ditemui pokok herba termasuk spesis tongkat Ali. Pengunjung juga boleh mendaki hingga ke puncak Gua Cha menggunakan trek yang mencabar. Keletihan pendaki akan terubat apabila mereka dapat melihat keindahan alam semula di kawasan sekitar gua. Inilah keunikan Kelantan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *