Gelanggang Rakyat

Bekas wartawan hilang penglihatan

Oleh Aslani M

BAGI mereka yang pernah bergelumang dalam dunia kewartawanan oposisi di Pulau Pinang era akhir 1990-an dan awal 2000-an jarang tidak mengenali Mohd Sabri Said, 60.

Ketika usia muda beliau gagah melangkah berkejar mencari berita di mana sahaja di wilayah utara termasuk Kedah dan Pulau Pinang.

Pada peringkat awal penglibatan dalam dunia kewartawanan beliau berkhidmat sebagai pemberita sambilan Harakah di Kepala Batas, Pulau Pinang.

Rumahnya tidak jauh dari Markas PAS Pulau Pinang di Pongsu Seribu. Selama tujuh tahun berkhidmat sebagai pemberita sambilan Harakah, sebelum diserap sebagai wartawan tetap mewakili Harakah di Pulau Pinang.

“Ketika itu saya pergi ke mana sahaja dengan motosikal. Dan kadang-kadang ada pimpinan PAS yang sering datang ke Pongsu Seribu menumpang motosikal saya.

“Bergerak dengan motosikal lebih mudah dan cepat berbanding dengan kereta kerana tersangkut dalam kesesakan lalu lintas,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Guar Kepayang, Kepala Batas baru-baru ini.

Selepas lama berpisah dengan Mohd Sabri, penulis begitu terkejut melihat susuk badannya berbanding di awal era tahun 2000-an. Paling menghibakan beliau hanya cam suara kawan-kawan lama yang datang menziarah.

Penglihatannya sekarang kabur. Tidak dapat lagi menatap wajah sahabat-sahabat perjuangan yang bersama jatuh bangun di Harakah.

Biarpun tidak mampu lagi melihat dunia seperti orang lain, namun ingatannya masih kuat. Sabri petah bercerita tentang rakan-rakan di Harakah yang sudah tiada lagi.

Antaranya Basiron Abdul Wahad di Pahang, Johari Jaafar di Perak, Salman Husin (Johor), Ahmad Lutfi Othman (Kuala Lumpur) dan ramai lagi. Semuanya sudah lama kembali mengadap Ilahi. Al Fatihah untuk mereka.

Kubu PAS

Rumah Sabri tidak jauh daripada Markas PAS Kampung Guar Kepayang. Di laluan menuju ke rumahnya terdapat tugu berlambang PAS. Terdapat juga sekolah Pasti.

Isterinya pernah berkhidmat sebagai guru Pasti di situ. Selain itu terdapat juga surau. Kampung tersebut antara penempatan yang didiami sepenuhnya orang Melayu.

“Kawasan Kepala Batas masih lagi didominasi orang Melayu, begitu juga di Bukit Mertajam masih ramai orang Melayu. Bagaimanapun berbeza di Nibung Tebal sudah bercampur dengan penduduk bukan Melayu.

“Boleh dikatakan kawasan utara dan tengah Seberang Prai masih ramai lagi penduduk Melayu,” kata Sabri.

Beliau berkhidmat sebagai wartawan tetap di Harakah bermula pada 1997. Dan pada 2016 memilih berhenti awal bagi meneroka perniagaan sendiri.

Sabri membuka studio photoghaphy di rumahnya. Perniagaannya ketika itu berteras perkhidmatan menghasilkan video korporat. Paparan video yang dihasilkan dimuatkan di sabriphotography.blogspot.com.

Ketika penglibatan awalnya dalam perniagaannya tersebut beliau membuka sebuah pejabat di kawasan bandar tidak jauh dari rumahnya.

“Kira-kira RM60,000 saya belanja bagi mewujudkan studio tersebut yang dilengkapi dengan pelbagai peralatan.

“Saya pernah membuat video korporat untuk kerajaan Pulau Pinang, syarikat-syarikat perniagaan yang mahu memperkenalkan produk dan pelbagai lagi. Saya dibantu beberapa kakitangan,” ujarnya.

Tutup pejabat

Bagaimanapun perniagaan tersebut terjejas teruk ketika pandemik Covid-19 melanda. Perniagaan terbabit terpaksa ditutup selepas beliau menghadapi masalah penglihatan.

Beliau pernah mendapat rawatan di dua hospital di Pulau Pinang, namun doktor memberitahu sukar untuk pulih disebabkan kesan penyakit diabetis.

“Saya reda dengan takdir yang menimpa hilang penglihatan pada tahun 2022. Sekarang untuk bergerak ke mana sahaja terpaksa dibantu isteri dan anak-anak,” tambahnya.

Beliau mempunyai tiga anak dan seorang daripada sudah berumah tangga. Anak bongsu belajar di pusat kemahiran kerajaan Pulau Pinang.

Ketika peringkat awal beliau hilang penglihatan, sumber rezeki keluarga terjejas teruk kerana tiada lagi punca pendapatan.

Bagaimanapun beliau bersyukur kerana ada pihak tampil membantunya mendapatkan pencen ilat daripada Perkeso. Beberapa bulan lepas beliau mulai menerima pencen ilat bagi menampung kehidupan harian keluarganya.

Sekarang Sabri tidak lagi dapat bergerak ke sana sini seperti dahulu. Tanpa bantuan anaknya beliau sukar untuk keluar ke tempat lain.

“Ketika aktif berkhidmat untuk parti, saya lakukan apa sahaja. Namun sekarang tidak lagi. Mungkin tidak ramai pimpinan PAS Pulai Pinang yang ada sekarang mengenali saya biarpun pernah menyumbang khidmat melalui Harakah dan lajnah penerangan,” ujar beliau.     

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *