
A RAHMAN HARON
DI SEBALIK pelbagai cukai baharu diperkenalkan kerajaan Madani, namun peliknya kutipan hasil dilihat berlaku trend menurun.
Sedangkan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) dinaikkan daripada 6 kepada 8 peratus bermula 1 Mac 2024. SST diperkenalkan kerajaan Pakatan Harapan pada 2018 menggantikan cukai barangan dan perkhidmatan (GST).
Dan bermulai 1 Julai 2025 kadar cukai perkhidmatan meningkat daripada 6 kepada 8 peratus bagi kebanyakan perkhidmatan bercukai.
Malah, lebih banyak perkhidmatan baharu dikenakan cukai termasuk logistik, pembangunan perisian, khidmat broker dan perkhidmatan kecantikan.
Sebelum ini Persekutuan Pengilang-Pengilang Malaysia (FMM) mendakwa hampir 97 peratus barangan sekarang dikenakan cukai.
Menteri Besar Terengganu Dato’ Seri Ir Dr Ahmad Samsuri Mokhtar menegaskan berdasar dokumen Anggaran Hasil dan Perbelanjaan Kerajaan, menyaksikan berlaku penurunan kutipan saban tahun.

Katanya, peningkatan kutipan hasil pada tahun 2024 sebanyak 3.1 peratus, manakala anggaran kutipan hasil pada 2026 – 2.7 peratus.
“Apakah faktor menyebabkan berlaku penurunan hasil di saat kerajaan sedang meluas dan memperkenalkan pelbagai jenis cukai kepada rakyat.
“Trend penurunan tersebut merupakan signal kepada penurunan prestasi dalam kecekapan kutipan hasil dan ia memerlukan usaha yang tuntas untuk mengatasinya,” kata beliau pada sesi perbahasan Rang Undang-undang (RUU) Perbekalan 2026 di Dewan Rakyat semalam.
Oleh itu beliau yang juga ahli parlimen Kemaman berharap kerajaan merangka langkah strategik memastikan trend penurunan tersebut dapat dihentikan.
Bagaimana kerajaan mampu menguruskan kadar perbelanjaan yang semakin meningkat setiap tahun termasuk pembayaran emolumen dan persaraan penjawat awam.
Dr Samsuri turut mendedahkan dana Perbelanjaan Mengurus (OE) semakin meningkat, manakala Perbelanjaan Pembangunan (DE) pula menurun.
Dalam tempoh empat tahun bermula 2023, perbelanjaan mengurus mengalami peningkatan sebanyak 7.3 peratus daripada RM314.96 bilion kepada RM338.2 bilion.
Manakala perbelanjaan pembangunan mengalami penurunan sebanyak 15.7 peratus daripada RM96 bilion kepada RM81 bilion.
“Perbelanjaan Pembangunan merupakan pelaburan jangka panjang bagi memberi pulangan ekonomi dan mencipta lebih banyak peluang pekerjaan,” katanya.