DAP paling risau agenda penyatuan ummah

Oleh Salmah Mat Husain |
GAGASAN Muafakat Nasional 2.0 (MN 2.0) wajar dinilai secara strategik berasaskan data keputusan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) dan bukan didorong sentimen politik semata-mata.
Ini memandangkan MN 1.0 hanya berjalan sekerat jalan apabila Umno belot daripada penyatuan ummah disebabkan presiden parti itu membawa haluan berbeza.
Lebih mengecewakan kerajaan Perikatan Nasional (PN) tidak mampu bertahan lama selepas Presiden Umno Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mendesak diadakan pilihan raya segera.
Berikutan itu Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob membubarkan parlimen lebih awal bagi membolehkan PRU-15 diadakan pada November 2022.
Dan selepas PRU15 tiada koalisi parti mendapat majoriti, sebaliknya presiden Umno memilih menyertai Pakatan Harapan (PH) bagi membentuk kerajaan Madani di bawah kepimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Mengulas perkembangan itu Ketua Dewan Pemuda PAS Kelantan, Mohd Firdaus Mohamed Nawi menyifatkan landskap politik pasca PRU15 membuktikan kemenangan dan kekalahan banyak ditentukan undi Melayu.
Pertembungan pelbagai penjuru menyebabkan sokongan pengundi Melayu berpecah sehingga memberi ruang kepada PH mendominasi pengaruh politik melalui undi bukan Melayu.
Kata beliau analisis keputusan PRU15 menunjukkan banyak kerusi Parlimen bukan Melayu dimenangi PH kerana undi Melayu dan golongan atas pagar berpecah kepada PN dan Barisan Nasional (BN).
“Sedangkan apabila jumlah undi PAS dan Umno digabungkan secara teori, keputusan di banyak kawasan berubah secara signifikan. Malah ia menunjukkan lebihan undi yang jelas berbanding PH,” katanya pada kenyataan.
Kebelakangan ini agenda penyatuan ummah dinyaringkan semula ekoran pergolakan dalaman kerajaan Madani membabitkan Umno dan DAP.

Ketua Pemuda Umno Datuk Dr Akmal Salleh antara pemimpin Umno yang lantang mahukan penyatuan ummah apabila menegaskan komitmennya terus memperjuangkan agenda tersebut biarpun berdepan kritikan dan tentangan pelbagai pihak.
Bimbang
Pada hantaran di Facebook, beliau mempersoalkan reaksi pengerusi DAP Melaka, Khoo Poay Tiong yang disifatkan sebagai terlalu beremosi apabila isu penyatuan ummah dibangkitkan.

Mursyidul Am PAS Datuk Tuan Guru Hashim Jasin pula mahu semua pihak menghentikan budaya tohmahan dan sengketa politik, sebaliknya kembali kepada agenda penyatuan ummah demi kestabilan negara.
Menurutnya, apa yang berlaku itu secara tidak langsung menjauhkan masyarakat daripada adab sopan dan akhlak Islamiah.
“PAS menyeru seluruh kepimpinan politik dan rakyat supaya kembali kepada agenda penyatuan ummah dengan mencari titik persamaan demi kestabilan negara,” katanya pada kenyataan media Selasa lepas.
Mohd Firdaus melihat penyatuan ummah boleh mengurangkan kekuatan PH yang didominasi DAP.
Apabila dicampur jumlah undi PN dan Umno di beberapa parlimen, undi penyatuan ummah bertambah mengatasi PH.
Antaranya Parlimen Kapar, Sepang, Setiawangsa, Sri Gading dan Kuala Langat, di mana jumlah undi PN dan BN mengatasi undi PH. Pola yang sama berlaku di parlimen Labis, Sungai Petani, Tanjong Malim, Batu Pahat dan Alor Gajah.
“Ini membuktikan bahawa kekuatan sebenar gabungan Melayu-Islam terhakis akibat pertembungan sesama sendiri.
“Berdasarkan analisis ini, sekurang-kurangnya 20 hingga 30 kerusi Parlimen PH berada dalam kategori boleh dirampas sekiranya MN 2.0 diwujudkan semula,” ujarnya.
Undi Melayu

Mengulas implikasi di peringkat negeri, Firdaus berkata negeri-negeri teras seperti Kelantan, Terengganu, Kedah dan Perlis dijangka kekal kukuh di bawah penguasaan MN, malah berpotensi mencatat majoriti lebih stabil.
Manakala di peringkat negeri kekuatan penyatuan ummah lebih menyerlah di Pahang, Perak dan Johor yang berada dalam kategori sangat berpotensi dirampas.
Begitu juga di Selangor tidak lagi mustahil untuk digugat sekiranya disiplin pembahagian kerusi dan pemilihan calon menepati sasaran.
“Pulau Pinang yang selama ini dianggap kubu kuat DAP boleh digugat sekiranya MN melaksanakan strategi secara tersusun melibatkan mobilisasi undi Melayu di Seberang Perai.
“Pulau Pinang hanya kelihatan kebal kerana tiada pakatan besar Melayu-Islam yang bergerak secara serentak dan berdisiplin. Jika strategi wilayah utara digerakkan dengan konsisten, status itu boleh dicabar,” katanya.
Firdaus menegaskan MN 2.0 bukan sekadar eksperimen politik atau projek nostalgia, sebaliknya formula kuasa yang merisaukan DAP dan PH.
Bagaimanapun kata beliau kejayaan MN 2.0 bergantung kepada pengurusan calon, penerimaan rakyat, pembahagian kerusi yang adil serta keupayaan menampilkan naratif ekonomi dan tadbir urus secara inklusif.
“Kegagalan mengurus ego kepimpinan dan persepsi pengundi boleh meretak muafakat ummah sebelum hari mengundi,” katanya.

