Serantau

Disamun tiga kali di Nakhon Sri Thammarat

Oleh Aslani M

KETIKA Aziz Sugang, 65 datang ke Nakhon Sri Thammarat lebih 20 tahun lalu, tidak ramai orang Islam tinggal di wilayah tersebut.

Beliau berasal dari Kampung Seno Patani berhijrah bagi mencari rezeki di Nakhon Sri Thammarat. Sebelum itu pernah tinggal di Bangkok dan bekerja sebagai pemandu bas.

Pernah juga menjual buah-buahan di pekan Yala. Aziz juga pernah berhijrah ke Jertih, Terengganu bagi membantu ahli keluarga berniaga makanan di Malaysia.

Akhirnya Aziz bersama enam lagi penduduk dari wilayah selatan Thailand mencuba nasib mencari rezeki di Nakhon Sri Thammarat.

“Pada peringkat awal kami berdepan dengan pelbagai kesukaran kerana tidak ramai penduduk Melayu Muslim yang tinggal di kawasan ini.

“Pernah saya disamun sebanyak tiga kali oleh penjahat di kawasan sini. Namun saya tidak berputus asa bagi meneruskan perniagaan kedai makanan halal,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Restoran Aziz terletak di belakang sebuah stesen minyak berhampiran dengan laluan utama Narathiwat ke Bangkok. Restoran yang diusahanya itu merupakan satu-satunya yang menyediakan makanan halal di lokasi berkenaan.

Bagi pelancong Muslim agak sukar untuk mencari kedai makanan diusahakan orang Muslim di sebelah utara daripada Songkhla. Wilayah itu bersebelahan dengan Patthalung.

Kedai makanan milik orang Muslim hanya boleh ditemui di tempat tertentu termasuk di kawasan stesen minyak di sepanjang lebuh raya tengah ke Bangkok dari Narathiwat.

Kerajaan Islam

Nakhon Sri Thammarat merupakan sebutan dalam bahasa Thai. Pada zaman lampau wilayah tersebut dikenali sebagai Ligor atau Sri Dhamaraja (Melayu).

Mengikut catatan sejarah Ligor merupakan negeri ditadbir orang Melayu yang ada kaitan dengan Kedah. Pengaruh kerajaan Ligor ketika itu begitu kuat sehingga dianggap Bangkok kedua bagi rakyat Thailand.

Ligor berada di bawah naungan Kerajaan Patani yang menguasai wilayah selatan Thailand meliputi Songkhla (Senggora), Satun (Setul), Yala (‘Jalor), dan Narathiwat (Menara).

Kerajaan Patani turut merangkumi Nongchik, Chenak, Jalor, Reman, Saiburi dan Legeh. Kerajaan Patani diasaskan Phya Tu Kerub Mahajana di Kota Mahligai.

Raja Patani pertama memeluk agama Islam memakai gelaran Sultan Ismail Shah Fil-alami. Kerajaan Patani maju ketika pemerintahan Raja Hijau, Raja Biru, Raja Ungu dan Raja Kuning.

Keagungan kerajaan Patani mulai merosot selepas kemangkatan Raja Kuning di mana sering berlaku perebutan kuasa.

Pembesar Kampung Laut, Kelantan Long Besar atau Tuan Yusof dilantik oleh kerajaan Siam sebagai Raja Patani pada tahun 1845, bergelar Sultan Muhammad (Phya Pipit Pakdi) dan bersemayam di Cabang Tiga, Patani.

Kedaulatan kerajaan Patani meliputi tujuh negeri Melayu (Khaek Chek Huamuang) iaitu Patani, Yaring, Yala, Nongchik, Rangae, Raman dan Saiburi.

Bagaimanapun selepas kerajaan Patani kalah kepada Siam, pentadbiran wilayah diurus Pesuruhjaya Siam. Kemudian wilayah Yaring dan Nongchik disatukan dengan Patani.

Selain itu Raman disatukan dengan Yala, dan Rangae dengan Saiburi. Kedaulatan Patani dan Raja Melayu hilang mulai 1902.

Nakhon Sri Thammarat dipercayai wujud sezaman dengan kerajaan Langkasuka, Shan dan Nanchao. Daerah tersebut berpusat di Ligor.

Pada zaman silam Ligor dikatakan sebagai pusat bagi kerajaan Thambralingga yang wujud sebelum Kerajaan Srivijaya pada kurun ke-3 Masihi.

Dalam Bahasa Sanskrit Nakhon Sri Thammarat bermaksud negara Raja Dharma teragung. Dharma ada kaitan dengan ajaran Buddha.

Hari ini restoran milik Aziz yang diusahakan bersama isteri dan anak-anak menjadi tempat persinggahan utama pelancong Muslim yang dalam perjalanan ke Bangkok dan sebaliknya.

Malah ada anaknya menjadi usahawan berjaya dengan mengusahakan perniagaan hardware di wilayah tersebut.

“Ramai orang Malaysia yang mahu ke Bangkok atau tempat-tempat lain termasuk Phuket, Pataya dan Chengmai singgah di restoran saya bagi menjamu selera.

“Sekarang tidak lagi takut seperti dahulu kerana orang Melayu Islam semakin ramai tinggal di Nakhon Sri Thammarat. Masih ada generasi lama yang boleh bercakap Melayu dialek Kedah,” ujarnya.

Di daerah Bangkang ramai didiami penduduk Melayu Muslim iaitu kira-kira 70 peratus daripada jumlah penduduk di daerah tersebut.

Penduduk Islam juga ramai tinggal di Chunya dan Nathon. Terdapat juga pusat pengajian pondok tradisional di kawasan berkenaan. Jumlah penduduk di Nakhon Sri Thammarat berdasar data pada tahun 2020 seramai 1.5 juta orang.

Aziz sekarang mampu berbangga kerana dapat menyewa dua unit kedai di kawasan stesen minyak tersebut. Kadar sewanya 40,000 baht untuk tiga bulan.

“Sekarang suka tinggal di kawasan ini. Tidak lagi takut seperti dahulu,” tambahnya.

Nakhon Sri Thammarat terletak kira-kira 350 kilometer dari Narathiwat dan 780 km ke Bangkok.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *