
PERIKATAN Nasional (PN) bimbang Petronas akan bertukar peranan seperti lembaga zakat sekiranya kerajaan berterusan bergantung kepada dividen disumbang agensi terbabit untuk menampung pentadbiran negara.
Kebergantungan kerajaan kepada Petronas dianggap sudah sampai tahap kronik termasuk dananya diguna bagi membiayai pembangunan Bandar Madani yang bernilai RM4 bilion.
Kota Madani dilancar Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Jun lepas dibangun di kawasan seluas 41.28 hektar. Ia bakal menempatkan 10,000 unit kuarters kediaman yang boleh menampung lebih 30,000 penduduk.
Fasa pertama pembangunan dilapor bermula September lepas melibatkan pembinaan 3,000 unit kediaman dan sebuah sekolah yang dijangka siap dan beroperasi menjelang akhir 2027.
Ketua Pembangkang Datuk Seri Hamzah Zainuddin turut mempersoal langkah kerajaan menggunakan dana Khazanah Nasional Bhd bagi membaik pulih Carcosa Negara.

Langkah kerajaan menggunakan pelaburan RM600 juta daripada Khazanah yang dianggap melencong daripada tujuan dan peranan Syarikat Pelaburan Berkaitan Kerajaan (GLIC).
Kata beliau GLIC sepatutnya digunakan bagi mengukuhkan daya tahan ekonomi serta menjana pulangan kepada rakyat.
Silap mata
“Apakah RM600 juta boleh buat pulangan sebegitu rupa. Saya takut berlaku silap mata untuk kelabui rakyat melalui pelaburan RM600 juta.
“Adalah lebih baik kita swastakan Carcosa kepada syarikat-syarikat yang mampu. Kalau disewa mungkin RM2 juta setahun sudah tentu dalam tempoh 30 tahun sudah menghampiri RM100 juta,” katanya membahas Belanjawan 2026 di Dewan Rakyat hari ini.
Oleh itu Hamzah yang juga ahli parlimen Larut tidak mahu GLIC dipergunakan untuk tujuan politik.
Tegasnya badan korporat terbabit perlu diberi kebebasan dan bebas daripada campurtangan politik.
“GLIC dan GLC perlu dikembalikan kepada peranan asal sehingga mampu menjana pulangan jangka panjang untuk rakyat,” ujarnya.
Ketika membentang Belanjawan 2026 pada Jumaat lepas Menteri Kewangan Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan peruntukan keseluruhan bajet tahun depan sebanyak RM470 bilion.

Ia merangkumi RM421.2 bilion perbelanjaan kerajaan dan RM48.8 bilion dana daripada GLC serta GLIC.
Hamzah juga berkata, PN turut bimbang penurunan defisit 3.5 peratus tahun hadapan bukan kerana peningkatan hasil, sebaliknya disebabkan pemindahan tanggungjawab kerajaan kepada GLC dan GLIC.
“Adakah kerajaan dapat capai hasil seperti dianggarkan pada 2026. Sedangkan hutang dan liabiliti kerajaan sehingga Jun 2025 sebanyak RM1.69 trilion iaitu 84.1 peratus daripada KDNK.
“Itu angka yang besar dan membimbangkan, belanjawan 2026 untuk membayar hutang semakin meningkat dari setahun ke setahun. Nampaknya perdana menteri membentang belanjawan dengan angka yang indah tanpa melihat cabaran ekonomi semasa,” tambahnya.
Oleh itu beliau menyarankan kerajaan perlu lebih kreatitiviti bagi meningkatkan hasil melalui pelaburan inovasi dan dan bukan memeras GLC.

Beliau juga mendesak kerajaan berterus terang dan tidak boleh bermain silap mata bagi mengelirukan rakyat kerana ramai tertekan dengan peningkatan kos sara hidup sekarang.