
Oleh SALMAH MAT HUSAIN
GAMBARAN yang diberi berkaitan isu dalaman Bersatu membabitkan beberapa pemimpin parti itu dianggap sekadar sensasi yang cuba digembar gemburkan media.
Pengerusi Bersatu Kelantan, Datuk Kamaruddin Md Nor menjelaskan keadaan yang berlaku sekadar salah faham kecil umpama dalam sebuah keluarga, namun ia tidak melibatkan kepimpinan tertinggi parti.
“Saya boleh faham media cuba nak sensasi isu itu, sebab orang nak tengok dan baca. Tetapi sebenarnya ia tidaklah sebesar yang digambarkan.
“Kadangkala ia menjadi hal peribadi dan tidak kena-mengena dengan kepimpinan tertinggi,” katanya selepas merasmikan Majlis Buffet Bekwoh 2.0 Holiday Villa, Wakaf Che Yeh Kelantan semalam.
Baru-baru ini media melaporkan Ahli Parlimen Tasek Gelugur Datuk Wan Saiful Wan Jan mendakwa beliau menerima maklumat berkaitan siasatan forensik terhadap video tular membabitkan Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, di Sandakan pada 2019 sebagai tulen.
Menurutnya juga akuan bersumpah (SD) yang dikumpul membabitkan 120 ketua bahagian parti itu bukan bertujuan mendesak Tan Sri Muhyiddin Yassin berundur, sebaliknya menyokong presiden menyusun pelan peralihan parti.

Kamarudin yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Negeri berkata, media sering memperbesarkan sesuatu isu bagi menarik perhatian umum.
Kata beliau isu kecil yang berlaku tidak sampai ke tahap ‘retak menanti belah’.
“Dalam politik kita tak dapat lari daripada agenda peribadi walaupun kita sering sebut perjuangan, tetapi unsur kepentingan itu tetap ada,” ujarnya.
Katanya, setakat ini tiada apa-apa yang boleh dianggap krisis besar.
Beliau menegaskan, fokus utama Bersatu memperkukuh keyakinan rakyat dan memperkemas gerak kerja menjelang pilihan raya umum akan datang.