‘Geng Budak Sekolah’ jual foto?

Oleh: Intan Lestari

AMAT mengejutkan apabila dilaporkan lebih 70 peratus pelajar sekolah rendah di kawasan bandar memiliki akses telefon pintar.

Manakala hampir separuh daripada jumlah itu mempunyai akaun media sosial sebelum berusia 13 tahun.

Malah, polis dilapor menumpaskan kumpulan dikenali sebagai ‘Geng Budak Sekolah’ dikatakan menjual foto tidak senonoh.

Ahli Parlimen Rantau Panjang, Datuk Siti Zailah Mohd Yusoff melahirkan kebimbangan memandangkan umur pelajar tersebut belum cukup matang untuk menilai kandungan serta risiko media sosial.

“Saya tidak nafikan kecanggihan teknologi moden boleh membawa pelbagai manfaat, namun jika penggunaanya tanpa kawalan, ia menjadi satu ancaman yang amat membimbangkan.

“Telefon pintar dan media sosial, jika tidak digunakan dengan bijak, boleh mendatangkan pelbagai kesan negatif terhadap perkembangan mental, emosi dan sosial golongan muda,” katanya di Kuala Lumpur semalam.

Baru-baru ini media melaporkan polis menumpas kumpulan dikenali ‘Geng Budak Sekolah’ terlibat dalam jenayah seksual, termasuk membabitkan kes seorang kanak-kanak perempuan berusia 12 tahun.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dilapor berkata, laman web itu dikendalikan bersama empat rakan yang mempunyai kumpulan WhatsApp disertai 762 ahli.

Mendedahkan isu itu di parlimen katanya budak terbabit mengambil gambar tidak senonoh kemudian dijual. Dan ada yang berhenti sekolah kerana mendapat pendapatan agak lumayan.

Siti Zailah yang juga Ketua Dewan Muslimat PAS Kelantan memberitahu kanak-kanak mudah terdedah dengan pelbagai bentuk ancaman digital seperti siber buli, kandungan lucah, pemangsa dalam talian serta penyebaran maklumat palsu.

Malangnya ramai ibu bapa tidak menyedari anak-anak mereka menggunakan media sosial tanpa sebarang pemantauan atau panduan.

“Jika dibiarkan tanpa kawalan dan tindakan bahana handphone dan media sosial akan menjerat generasi muda dalam dunia maya yang tidak mengenal sempadan,” ujarnya.

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *