Hidang arak di majlis rasmi jatuh imej kerajaan

MENORMALISASIKAN arak dalam masyarakat, lebih-lebih lagi dihidang dalam majlis rasmi kerajaan adalah perbuatan biadab serta bercanggah dengan moral dan etika.

Ketua Penerangan PAS Kelantan Ustaz Mohd Asri Mat Daud menyifatkan isu tersebut menjatuhkan imej serta kedudukan pentadbiran Kerajaan Madani.

Katanya hidangan arak secara terbuka bersalahan dengan sensitiviti Islam sebagai agama persekutuan sebagaimana Fasal 3(1) Perlembagaan Persekutuan bertentangan dengan ketetapan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

“Walaupun garis panduan KKM yang dikeluarkan berkaitan penjualan tetapi penetapan label ‘Meminum Arak Boleh Membahayakan Kesihatan’ wajar dilihat sebagai suatu budaya sensitif untuk dihidangkan secara terbuka.

“Apa lagi jika ia dalam majlis rasmi yang juga melibatkan kehadiran orang Islam,” katanya pada kenyataan di Kota Bharu hari ini.

Baru-baru ini tular hidangan arak dalam Majlis Makan Malam Gala ‘Global Travel Meet 2025’ anjuran Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia di sebuah hotel di Kuala Lumpur.

Beberapa paparan di medsos menunjukkan kehadiran beberapa pemimpin DAP dan Menteri Pelancongan Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing.

Mohd Asri yang juga anggota Exco kerajaan Kelantan berkata, hidangan arak tanpa had (free flow) di majlis terbabit seperti dibanggakan dan dianggap keistimewaan majlis makan malam kerajaan.

“PAS Kelantan mendesak tindakan tegas terhadap penganjur kerana dianggap berlaku pelanggaran etika dan garis panduan melibatkan majlis rasmi kerajaan,” ujarnya.

Menurutnya juga kementerian terlibat perlu menjelaskan perkara sebenar dan memohon maaf atas ketelanjuran hidangan arak secara ‘free flow’ di majlis berkenaan.

Kata beliau kerajaan perlu melihat perkara tersebut sebagai kesalahan besar yang perlu diambil tindakan sewajarnya supaya ia tidak berulang.

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *