
PASIR MAS: Ijtimak Pondok SeMalaysia 5.0 yang bersidang semalam mengambil ketetapan memastikan semua pondok di negara ini berdiri di atas aliran Ahli Sunnah Wal Jamaah ‘Asyairah dan Maturidiah.
Resolusi itu dihasilkan daripada muafakat Majlis Gabungan Pondok-pondok SeMalaysia yang terdiri daripada pertubuhan NGO dan wakil-wakil negeri.
Ia juga diambil kira daripada pembentangan kertas kerja dan perbincangan jawatankuasa pada ijtimak yang diadakan di Pondok Gelang Mas.
Resolusi tersebut dibaca Setiausaha Ijtimak Pondok SeMalaysia 5.0 Ustaz Ahmad Shairazi Atiqullah pada ceramah perdana sempena program berkenaan malam tadi.

Ceramah tersebut menampilkan Menteri Besar Dato’ Panglima Perang Ustaz Mohd Nassuruddin Daud, Pesuruhjaya PAS Kelantan Dato’ Bentara Kanan Ustaz Ahmad Yakob, ahli parlimen Pasir Mas Ustaz Ahmad Fadhli Shaari dan Adun Jertih Dr Riduan Mohd Nor.
Selain itu ijtimak juga mencadangkan diwujudkan suatu majlis yang berperanan memberi garis panduan kepada Pondok SeMalaysia sebagai perbincangan, pemantapan dan garis panduan.
Ketiga, mengekalkan keaslian dan keseragaman kitab-kitab turath sebagai sumber ilmu dan rujukan untuk semua pondok.
Keempat, latihan dan bengkel pengurusan pentadbiran bagi memperkasakan pondok melibatkan semua urusan pentadbiran, kewangan dan pembangunan insaniah.
Kelima, digitalisasi dalam semua urusan dengan mewujudkan nota e-book pondok, zoom, podcast serta sistem kawalan kewangan dan pengkalan data.
Keenam, membina jaringan kerjasama, ‘networking’ untuk membantu serta memperkasakan institusi pondok dengan semua badan dan agensi terbabit dalam dan luar negara termasuk NGO.

Ketujuh, melaksana universiti pondok dengan kerjasama atau secara berperingkat mengikut kesesuaian dan keperluan.
Kelapan, mempertingkatkan kebajikan guru dan pelajar pondok perkhidmatan sama ada aspek infra dan kemudahan.
Kesembilan, mendukung jemaah Islam yang memperkasakan ahli sunnah wal jemaah serta memperjuangkan serta melaksana Islam secara syumul.
Kesepuluh bersama mempertahankan dasar Membangun Bersama Islam di negeri Kelantan supaya kekal utuh.