Isu 40 peratus jejas undi GRS-PH

Oleh M Faqih
BERDASAR sejarah tiada parti yang mampu menguasai Sabah dalam tempoh lama. Dominasi parti mentadbir kerajaan saling berganti.
Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (USNO) diasas oleh Tun Datu Mustapha Datu Harun memerintah negeri itu selepas memenangi pilihan raya 1967.
USNO berkuasa sehingga 1975 di bawah kepimpinan Mustapha. Dan pada 1976 dipimpin pula oleh Tun Mohamed Said Keruak.
Sebelum pembentukan Malaysia pada 16 September 1963, USNO bekerjasama dengan Pertubuhan Pasokmomogun Kadazandusun Murut Bersatu (UPKO) kini dikenali Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu.

UPKO dipimpin Tun Fuad Stephens ketika menyertai Persekutuan Tanah Melayu. Kemudian pada tahun 1975, Setiausaha Agung USNO Datuk Harris Salleh meninggalkan parti terbabit dan bergabung dengan UPKO.
Kemudian dibentuk sebuah parti baru dikenali Parti Bersatu Rakyat Jelata Sabah (Berjaya). Berjaya mengalahkan USNO pada pilihan raya negeri 1976.
Parti itu mentadbir kerajaan sehingga 1985. Pada tahun sama Datuk Joseph Pairin Kitingan meninggalkan Berjaya dan menubuh Parti Bersatu Sabah (PBS). Beliau memenangi pilihan raya negeri 1985.
Pada tahun 1990 USNO bergabung dengan Berjaya untuk membawa Umno ke Sabah. Berikutan itu Mustapha dilantik pengerusi pertama Umno Sabah tahun 1991.

Umno melalui Barisan Nasional (BN) berjaya menguasai Sabah dalam tempoh agak lama. Kerajaan BN tumbang pada pilihan raya umum 2018.
Pada PRU14, BN Sabah menguasai 31 kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun) dan mendapat majoriti mudah untuk membentuk kerajaan negeri selepas Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) memberi sokongan kepada Datuk Musa Aman.
Lompat parti
Namun, tidak lama selepas itu enam Adun BN Sabah, iaitu empat daripada Umno dan UPKO (2) melompat menyertai Warisan. Sebelum itu Warisan menguasai 21 kerusi.
Bagaimanapun selepas kemasukan enam bekas Adun BN, kerusi Warisan bertambah kepada 27. Dan dan BN tinggal 25 kerusi. Susulan itu Presiden Warisan Shafie Apdal mengangkat sumpah sebagai ketua menteri.
Warisan juga bekerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) yang menguasai 8 kerusi. Bagaimanapun pada 30 Julai 2020 Shafei membubarkan Dun selepas mendapat perkenan Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin.

Pembubaran itu dibuat ekoran Musa Aman mendakwa mempunyai sokongan majoriti untuk membentuk kerajaan negeri.
Dalam pilihan raya negeri 2020 gabungan Warisan, PH dan UPKO gagal mempertahankan pemerintah selama dua tahun sembilan bulan di Sabah.
Pada PRN Sabah 2020 Warisan menang 23 kerusi. Bagaimana gelombang keluar parti menyebabkan Adun Warisan berkurang kepada 16 kerusi.
Pada PRN tersebut GRS menang 38 daripada 73 kerusi. Warisan Plus memperolehi 32 kerusi dan tiga kerusi dimenangi calon bebas.
GRS didaftarkan secara rasmi sebagai gabungan politik yang dianggotai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) Parti Maju Sabah (SAPP) dan Parti Bersatu Sabah (PBS).
Sebelum pendaftaran, GRS terdiri daripada Perikatan Nasional, BN dan PBS. Manakala komponen BN terdiri Umno, MCA, MIC dan PBRS. Sebelum Dun Sabah dibubar BN berada di posisi pembangkang.
Suhu politik Sabah tidak akan reda selagi undang-undang larangan melompat parti yang dikuatkuasakan pada Mei 2023 tidak dipatuhi sepenuhnya.
Kerajaan yang menguasai Sabah tumbang gara-gara adegan melompat parti. Pada 21 Februari 2023, 8 Adun Umno dan Warisan mengisytiharkan keluar parti dan menyertai Parti Gagasan Rakyat Sabah.
Mereka terdiri daripada lima Adun Umno dan Warisan (3). Dan sekiranya fenomena tersebut masih dibiarkan kerajaan yang akan dibentuk selepas 29 November ini juga tidak akan kekal lama.
Persoalannya sekarang mampukah GRS mempertahankan kerajaan negeri pada PRN17. Semalam GRS mengumumkan 51 calon yang akan bertanding pada akhir November ini.

Seramai seramai 51 calon GRS diumumkan pengerusi parti berkenaan Datuk Seri Hajiji Noor di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC). Dan hari ini empat lagi diumumkan melengkapkan senarai penuh 55 calon.
Empat calon berkenaan iaitu Dr Bonaventure Boniface yang akan bertanding di (Tamparul), Rafie Robert Tawik (Bingkor), Samsiah Usman (Kukusan) dan Datuk Hassan A Gani Pg Amir (Sebatik).
Namun, nama Pemuda Gagasan Rakyat Datuk Fairuz Renddan tercicir. Beliau merupakan penyandang kerusi Dun Pintasan. Pada PRN 2020 Fairuz menang Dun Pintasan dengan majoriti 84 undi, menewaskan Tan Sri Pandikar Amin Mulia mewakili USNO.
Tanding bebas

Bagaimanapun pada kenyataan media Fairuz tidak menolak kemungkinan bertanding sebagai calon bebas. Namun, kata beliau keputusan muktamad hanya akan dibuat selepas berbincang dengan kepimpinan akar umbi di kawasan tersebut.
BN pula mengumumkan bertanding di 41 kerusi dan PH (17). Star pula mengumumkan 40 calon. STAR keluar daripada GRS bulan lepas kerana menganggap GRS terlalu rapat dengan PH.
Perkembangan yang berlaku itu menyaksikan STAR akan berentap dengan GRS di 17 kerusi. STAR juga menentang enam calon PKR dan dua calon DAP.

Politik Sabah tambah panas tiba-tiba UPKO mengumumkan keluar daripada PH berkuat kuasa serta-merta.
Presiden UPKO Datuk Ewon Benedick turut meletak jawatan sebagai Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi baru-baru ini. UPKO mempunyai seorang lagi ahli parlimen iaitu Datuk Seri Wilfred Madius Tangau.

Situasi yang berlaku itu memberi peluang lebih luas untuk Perikatan Nasional (PN) melebar semula sayap di Sabah. PN mengumumkan bertanding di 41 kerusi, Rabu lepas.
Pada PRN16 PN dikhianati apabila Hajiji dan beberapa Adun keluar daripada Bersatu. PRN kali ini peluang terbaik rakyat Sabah menghukum Hajiji dan GRS.
Peluang PH juga masih samar dengan isu 40 peratus hasil Persekutuan perlu dipulangkan kepada Sabah.
Bagaimanapun berdasar kenyataan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim di parlimen hari ini, kerajaan Pusat akan mengurangkan peruntukan pembangunan bagi tampung pemulangan hasil 40 peratus kepada Sabah.
Kenyataan itu tentunya melukakan rakyat Sabah. Malah, banyak kenyataan Anwar sebelum ini juga tidak disenangi rakyat Sabah. Kesannya akan menjejaskan undi terhadap PH.
Presiden Gerakan Datuk Dr Dominic Lau Hoe Chai turut mengesan wajah-wajah muram rakyat Sabah. Mereka mengharap gabungan parti yang berjiwa luhur menerajui Sabah.
“Kempen kali ini memang sangat mencabar. Setiap pagi sebelum matahari terbit, kami sudah turun ke pasar, berjalan bertemu rakyat, bersalaman dan mendengar suara hati mereka.
“Penat, letih, lapar, semua terasa. Namun demi masa depan rakyat Sabah, demi menyelamatkan negara kita, semua pengorbanan ini amat berbaloi.
“Walau sepenat mana pun, kami akan terus berjuang hingga ke akhir.
Inilah janji kami, inilah tanggungjawab kami,” luahnya di media sosial.
Penganalisis politik Sabah, Rahimin Mustafa turut mengakui undi pada PRN kali ini lebih banyak berpecah. Ia lebih hebat berbanding PRN 2020.
Kata beliau ramai berpandangan faktor calon penting untuk mencapai kemenangan. Jentera juga mesti efisyen dan strategi perlu tepat.
