
STRATEGI melemahkan musuh dengan menyerang membuta tuli, itu kaedah lama.
Strategi melawan musuh meliputi kaedah blitzkrieg (serangan kilat yang pantas dan mengejut). Tujuannya untuk memecah pertahanan musuh.
Selain itu serangan terhadap sumber ekonomi dan moral untuk mengikis kemampuan musuh. Atau merosakkan semangat dan kesediaan musuh untuk berperang.
Mungkinkah berpaksi kepada kaedah itu seorang aktivis Umno mendakwa kononnya Pejabat Perhubungan PAS Kelantan dibina tauke judi Lim Goh Tong sebagai balasan menyiapkan Jambatan Sultan Yahya Petra.
Isu itu cuba dikaitkan dengan syarikat yang ada hubungan dengan Goh Tong. Mengapa. Tidak lain lagi tujuannya untuk melemahkan PAS dengan mengaitkan dengan syarikat judi.
Ia sekadar mengulangi kenyataan lama Presiden PKR Anwar Ibrahim yang dilapor membayangkan sebahagian dana pilihan raya Perikatan Nasional (PN) datang dari syarikat perjudian.
Perdana Menteri dipetik sebagai berkata, dana pilihan raya untuk parti Melayu dan parti Islam datang dari syarikat perjudian.
Malangnya sehingga sekarang kenyataan terbabit gagal dibuktikan.
Dan hari ini tiba-tiba ada kenyataan aktivis Umno yang mendakwa Pejabat PAS Kelantan dibina syarikat berkaitan dengan judi.
Nampak. Agenda serupa yang cuba melemahkan seteru politik. Lalu cuba dikaitkan syarikat judi dikatakan membina pejabat PAS. Disebutnya sebagai timbal balas projek Jambatan Sultan Yahya Petra.
Cuba kita belek catatan sejarah. Jambatan terbabit dibina syarikat Kien Huat pada 1963 dan dirasmi pembukaannya oleh Sultan Yahya Petra pada 17 April 1965.
Jambatan terbabit dibina ketika Ishak Lofti berkhidmat sebagai Menteri Besar, manakala siap semasa Kelantan di bawah pentadbiran Mohd Asri Muda.
Mengapa syarikat Kien Huat jadi pilihan. Sedangkan sebelum itu usaha kerajaan negeri di bawah teraju PAS cuba mendapatkan dana berupa pinjaman daripada kerajaan Pusat tidak dilayan.
Batal projek
Menurut bekas anggota Exco Kerajaan Negeri Haji Mohd Amin Yaakub, kerajaan Perikatan yang menguasai kerajaan Pusat membatalkan projek membina Jambatan Sultan Yahya selepas Perikatan tewas di Kelantan.
Lebih mengejutkan peruntukan bagi membina Jambatan Sultan Yahya Petra dikatakan dialih ke Temerloh, Pahang.
Sedangkan kerja-kerja tapak di lokasi pembinaan sudah bermula di sebelah Pasir Pekan dan Kota Bharu.
“Namun segala peralatan dipindah ke Temerloh untuk membina jambatan di sana bagi menggantikan perkhidmatan feri pada masa itu. Malangnya jambatan tersebut gagal disiapkan kerana dihanyutkan banjir besar pada tahun itu,” kata Haji Mohd Amin pada buku Sejarah Pemerintahan PAS Kelantan 1959-1990.
Buku tersebut diterbit Pusat Kajian Strategik. Haji Mohd Amin ketika itu merupakan anggota Exco Kerajaan Negeri. Beliau dilantik ahli jawatankuasa pembinaan Jambatan Sungai Kelantan yang dipengerusikan menteri besar.
Janji Perikatan
Ketika kempen pilihan raya umum 1959 Perikatan menjanjikan akan membina jambatan tersebut dan peruntukan sudah diluluskan kerajaan Pusat.
Menurut Mohd Amin selepas peruntukan pembinaan jambatan Sultan Yahya dipindah ke tempat lain, kerajaan negeri mengadakan perundingan bagi membolehkan kerajaan Pusat meneruskan projek terbabit.
“Satu cadangan telah dikemukakan supaya kerajaan Pusat memberi pinjaman kepada kerajaan negeri untuk membina jambatan merentangi Sungai Kelantan.
“Tetapi mendapat bantahan daripada Umno Kelantan menyebabkan cadangan tersebut ditolak oleh kerajaan Pusat. Akhirnya kerajaan negeri membina jambatan tersebut melalui pinjaman dalam negeri,” ujarnya.
Jambatan itu dibina melibatkan kos RM6.7 juta. Ketika jambatan terbabit sedang dibina, ada pemimpin Umno mendakwa tanpa bantuan kerajaan Pusat mustahil kerajaan Kelantan mampu menyiapkan projek tersebut. Isu tersebut berlegar ketika kempen pilihan raya umum 1964.
Apa yang berlaku itu menggambarkan siri diskriminasi politik terhadap negeri ditadbir pembangkang bukan baharu. Ia bermula sejak 1959 selepas Kelantan diterajui PAS.
Malah pada 1990, kerajaan Pusat meluluskan peruntukan lebih RM90 juta bagi melaksanakan projek Bekalan Air Kelantan Utara (BAKU). Namun, selepas Umno kecundang di Kelantan pada PRU 1990, projek tersebut dibekukan.

Berikutan itu kerajaan negeri diterajui Angkatan Perpaduan Ummah pada peringkat awal cuba mendapat dana dalam bentuk pinjaman daripada kerajaan Pusat selepas geran tidak diluluskan.
Sedangkan dalam masa sama negeri-negeri di bawah terajui BN mendapat peruntukan berupa geran. Namun, Kelantan tetap dihukum kerana rakyat menolak Umno pada PRU 1990.
Inilah yang disebut orang angkara politik rakyat Kelantan pula dihukum.
Akhirnya kerajaan Kelantan terpaksa menswastakan projek bekalan air selepas tidak mendapat kerjasama kerajaan Persekutuan.
Penswastaan projek bekalan air melalui usahasama antara Thames Water Pvt.Inc dan Yayasan Kelantan Darulnaim (YAKIN). Kerjasama itu melahirkan Kelantan Water Sdn Bhd (KWSB).
Isunya mengapa kerenah politik pemimpin Umno cuba disembunyikan. Sebaliknya pelbagai tohmahan dilemparkan terhadap kerajaan Kelantan.
Inilah wajah demokrasi ala-Malaysia. Isu pembinaan jambatan Sultan Yahya dan penswastaan projek bekalan air di Kelantan antara dalil semangat federalisme di negara kita tanpa segan silu cuba dinodai.
