Isu perpaduan ummah berligar di Liqa’ Fikri

Oleh Aslani M & Salmah Mat Husain |
SEMALAM seorang anak muda yang berkhidmat di sebuah syarikat carigali minyak antarabangsa menanyakan penulis siapakah sepatutnya menerajui Perikatan Nasional (PN) selepas Tan Sri Muhyiddin Yasin berundur.
Beliau tinggal di Subang, Selangor ditemui ketika majlis kenduri di Kota Bharu. Ayahnya berasal dari Machang, manakala ibuunya dari Pulau Pinang. Baginya PAS lebih layak menerajui PN.
Di sebalik isu dalaman yang melanda PN sekarang, pemimpin PAS dari seluruh negara berhimpun di sebuah hotel di Bangi semalam sempena program Liqa’ Fikri.
Menteri Besar Kelantan Datuk Panglima Perang Ustaz Mohd Nassuruddin Daud menyifatkan program itu sebagai salah satu kaedah pendidikan dalam PAS yang berkonsep perbincangan intelektual bagi memperkukuh kefahaman.

Selain itu membina keperibadian ahli dan mengasah pemikiran dalam menghadapi realiti semasa.
Fokus Liqa Fikri kali ini berkaitan aspek pengukuhan jati diri tarbawi dalam ujian medan siasah dibentang Pengerusi Lajnah Tarbiyah PAS Pusat Datuk Idris Ahmad.
Selain itu pembentangan Timbalan Presiden PAS Dato’ Sri Tuan Ibrahim Tuan Man yang menyentuh mengenai perpaduan ummah. Penegasan kali ini difokuskan kepada realiti dan strategi menuju kemenangan pada pilihan raya umum (PRU) ke-16.
“Teras untuk memastikan maslahah ummah terjamin tidak lain dengan merealisasikan perpaduan ummah. PAS tampil berani menawarkan perpaduan ummah tidak semata-mata untuk ummah bersatu, tetapi untuk memberikan solusi Islam dalam menghadapi kemelut sosial dan negara.
“Saya optimis wawasan ini mampu direalisasikan dengan bersama-sama kita besarkan titik persamaan dan kecilkan titik perbezaan,” katanya pada kenyataan di laman sosialnya.

Muhyiddin berundur
Isu berkaitan kepimpinan PN masih berlarutan selepas Muhyiddin mengumum meletak jawatan sebagai pengerusi berkuatkuasa 1 Januari lepas.
Sejak tarikh tersebut PN difahamkan belum lagi diadakan mesyuarat bagi mengesahkan perletakan jawatan Muhyiddin atau sebaliknya.
Perkembangan yang berlaku itu menyebabkan Presiden PAS, Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berpandangan Majlis Tertinggi (MT) PN hendaklah mengadakan mesyuarat tergempar segera.
Menurutnya ia bagi tujuan kelangsungan pentadbiran PN, hendaklah disegerakan diadakan mesyuarat tergempar MT PN.
Kemelut PN yang disifatkan berpangkal masalah dalam Bersatu dikatakan tambah parah apabila semakin ramai pemimpin parti itu dipecat di mana terbaru melibatkan ahli parlimen Indera Mahkota Datuk Seri Saifuddin Abdullah.
Mohd Nassuruddin yang juga Timbalan Pesuruhjaya PAS Kelantan turut menegaskan siasah merupakan medan mencabar bagi mempertahankan keikhlasan.
“Ia sebagai cabaran menterjemahkan hikmah pelaksanaan dan cabaran menguji keberanian membuat keputusan untuk laksanakan Islam.
“Keikhlasan, hikmah dan keberanian berprinsip adalah tiga teras yang saling melengkapi dalam kepimpinan dan gerak kerja siasah.
“Tujuh taklifan yang disimpulkan Timbalan Presiden PAS sebagai pesanan, jika ia dilaksanakan InsyaAllah kita mampu beristiqamah menghadapi cabaran bagi menjayakan agenda perpaduan ummah,” ujar beliau.

Liqa Fikri tersebut merumuskan pengukuhan jati diri tarbawi amat penting dalam mengemudi amanah kepimpinan.
Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Dr Riduan Mohd Nor turut menyifatkan perpaduan ummah yang dibina secara realistik dan berstrategi merupakan antara faktor terpenting bagi memastikan kemenangan PAS pada PRU16.
Beliau yakin PAS berpotensi menjadi wadah utama umat Islam di negara ini sekiranya usaha memperkasakan gerak kerja perkaderan dan khidmat masyarakat terus diperkukuh.
Kata beliau PAS melepasi usia 74 tahun terus relevan sebagai gerakan Islam utama di negara ini dengan kekuatan sayap siasah, dakwah dan tarbiah yang tersusun serta berakar kukuh dalam masyarakat.
Menurutnya, kewujudan PAS bukan sahaja dirasai rakyat di peringkat nasional, malah turut dikenali di persada antarabangsa.
“PAS mempunyai organisasi yang tersusun, manhaj perkaderan yang sistematik serta tarbiah nizomi yang lengkap bermula dari peringkat pra-sekolah hingga ke pengajian tinggi,” katanya.

Dr Riduan juga menegaskan kekuatan sebenar PAS terletak kepada lebih sejuta ahli dan jutaan penyokong yang berdisiplin serta sanggup berkorban demi menjayakan aspirasi perjuangan Islam.
Beliau mengajak pimpinan PAS di semua peringkat memahami cabaran era tamkin yang menuntut keseimbangan antara kekuatan tarbiah imaniah dan penglibatan dalam medan politik serta persaingan kuasa.
“PAS tidak boleh bergerak secara bersendirian dalam usaha meraih sokongan masyarakat, sebaliknya perlu membina pemuafakatan politik yang matang dan berhikmah merentasi perbezaan.
“Perjuangan PAS mesti merentas sempadan etnik dan agama selaras dengan pendekatan PAS for All yang telah terbukti mampu menembusi sokongan bukan Islam,” ujarnya.
Selain itu pendekatan membantu rakyat tanpa mengira agama, kaum dan fahaman politik dengan akhlak yang baik akan memantulkan imej positif terhadap PAS.
