JPP diwujud di bawah akta mana?

A RAHMAN HARUN
SEBELUM pembangkang di Kelantan bercakap soal keadilan bagi mendapat peruntukan sama rata dengan penyokong kerajaan negeri, perlu disedari banyak perlanggaran dilakukan kerajaan pusat.
Antaranya mewujudkan Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP) sekarang dikenali Unit Penyelarasan Pelaksanaan Jabatan Perdana Menteri bagi menyelaras peruntukan kerajaan Pusat di negeri diterajui pembangkang.
“JPP diwujudkan di bawah akta mana, malah tidak ada dalam Undang-undang Tubuh Negeri, sebaliknya ia dilahirkan daripada kebencian politik,” kata Adun Melor Wan Rohami Wan Daud pada sidang Dewan Undangan Negeri (Dun) di Kota Darulnaim, Kota Bharu hari ini.

Sebelum itu Ketua Pembangkang Dato’ Mohd Syahbuddin Hashim meminta kerajaan negeri mengagihkan peruntukan sama banyak kepada pembangkang dan penyokong kerajaan.
Beliau mempersoalkan mengapa diwujudkan jawatan Penyelia Dun sebagai wakil kerajaan negeri di kawasan yang dimenangi pembangkang. Di Kelantan terdapat tiga pembangkang iaitu mewakili Dun Galas, Nenggiri dan Kota Lama.
Sedangkan wakil rakyat pembangkang di Kelantan diberi peruntukan di bawah Rancangan Kecil Pembangunan (RKP) berjumlah RM250,000 setahun.
Selain itu difahamkan pembangkang di Kelantan juga mendapat peruntukan lebih besar daripada kerajaan Pusat.
Adun Tendong Rozi Muhamad ketika mencelah memberitahu kerajaan negeri tetap menyalurkan peruntukan kepada semua wakil rakyat termasuk pembangkang.

Malah, kata beliau pada masa sama wakil kerajaan negeri tidak menerima sebarang dana daripada kerajaan pusat.
Menjelaskan lagi isu tersebut Wan Rohimi berkata, Adun penyokong kerajaan negeri juga mendapat peruntukan RM250,000 sama dengan pembangkang di Kelantan.
Namun, kata beliau peruntukan tersebut dikendalikan di bawah Pejabat Tanah dan Jajahan dan bukan diberi terus kepada Adun penyokong kerajaan.
“Tidak semua program yang dirancangkan Adun kerajaan diberi kelulusan daripada peruntukan tersebut. Jadi kita kena jelaskan bagi mengelakkan kekeliruan rakyat,” ujarnya.
Menurutnya juga kewujudan JPP di negeri mana sekali pun dianggap salah dan ia perlu diperbetulkan generasi yang ada sekarang.
Kata beliau langkah kerajaan Pusat mewujudkan JPP di Kelantan seperti meragut mandat rakyat.
“Kita tidak tahu apa perancangan dibuat JPP, sehingga tiba-tiba muncul projek yang dilaksanakan di Kelantan,” tambahnya.
Gugat keharmonian

Adun Pasir Tumboh Dato’ Abdul Rahman Yunus sebelum itu berhujah masih ada pihak yang sengaja mengugat keharmonian yang terjalin di bawah semangat federalisma.
Antaranya isu pelantikan dua penghulu di satu mukim, sedangkan bidang kuasa penghulu di bawah kerajaan negeri.
Beliau berkata, pelanggaran tersebut masih diteruskan sehingga sekarang walaupun pernah dihentikan ketika pemerintahan Perikatan Nasional (PN) yang bermula Mac 2020 sehingga Oktober 2022.
“Kenapa masih ada lagi dua penghulu, ada penghulu pusat ada penghulu negeri, sedangkan penghulu di bawah ketua jajahan.
“Penghulu yang sah dilantik kerajaan negeri kerana ia berada di bawah bidang kuasa negeri, tetapi masih ada lagi penghulu dilantik pihak lain di tempat sama,” katanya ketika membahas Belanjawan Kelantan 2026 di sidang DUN.
Menurutnya juga Dato’ Panglima Perang Ustaz Mohd Nassuruddin Daud ketika dilantik Menteri Besar mengumumkan memberi peruntukan yang adil kepada wakil pembangkang dan ia dilaksanakan sehingga sekarang.
Bagaimanapun Adun penyokong kerajaan tidak menerima sebarang peruntukan daripada kerajaan Persekutuan sekarang biarpun pernah diterima ketika era kerajaan Perikatan Nasional (PN).
“Kita tak menerima peruntukan pusat tetapi semasa pemerintahan PN dahulu, kita terima dana melalui Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP) sebanyak RM300,000 setahun.
“Selain itu sebarang projek pembangunan di bawah JPP dimaklumkan terlebih dahulu kepada setiap Adun,” katanya.
