Kalau tadbir Putrajaya apa PAS boleh buat..

Oleh M Faqih |
PAS memperkemaskan semula dokumen Wawasan Induk Negara Sejahtera (WINS 2051) sebagai persediaan awal menerajui negara sekiranya mendapat mandat rakyat.
WINS 2051 dilancar sempena program FASTAQIM 2.0 di Kuala Nerus, Terengganu pada 7 Oktober 2017. Pelancaran disempurnakan Presiden PAS Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang.
Dokumen itu mengandungi perancangan masa depan untuk Malaysia yang dilengkapi ‘blueprint’ dan ‘roadmap’ meliputi segenap aspek.

PAS juga mempunyai Dokumen Hijau berkait penyelesaian ekonomi, selain pendekatan Budaya Politik Matang dan Sejahtera (BPMS). Selain itu dokumen dasar sektor termasuk idea Kerajaan Teknokrat serta Gagasan Sejahtera.
“WINS sekarang diperkasakan semula. Kita kena kemas semula. Kita sudah ready. Ini bermakna PAS bukan hanya parti ulama, malah kita ada profesional dan teknokrat.
“Masa sudah sampai kita buat perubahan ke hadapan lagi, something new, bagaimana hendak disusun. Ada banyak faktor kita tidak boleh move on,” kata Naib Presiden PAS, Datuk Mohd Amar Abdullah.
WINS merupakan perancangan jangka panjang. Sekarang tempoh berbaki 25 tahun lalu. Ia berbeza dengan manifesto pilihan raya umum hanya untuk tempoh sepenggal (5 tahun).

Begitu juga Rancangan Malaysia (RMK) yang dirancang kerjaaan dalam tempoh lima tahun.
Mohd Amar juga berkata, Islam merupakan sistem kehidupan yang lengkap.
“Kita telah melalui fasa-fasa, politik sebahagian daripada agama. Dahulu orang anggap agama hanya sekadar ritual, itu pemikiran barat, jadi rakyat tolak politik bukan mengikut acuan agama.
“Sekarang kita sudah berjaya. Namun, bagaimana hendak memberi keyakinan kepada masyarakat termasuk orang Islam dan orang bukan Islam mengenai perkara tersebut.
“Ada orang tanya bolehkah Islam memerintah. Islam kompeten. Jadi negeri di bawah teraju SG4 perlu menjadi model kepada negeri-negeri lain.
“Jadi kita kena pergi ke hadapan,” katanya pada segmen Podcas Sisi Pandang dihoskan pegawai penyelidik Institut Pemikiran Tok Guru Bentara Setia (IPTG) Mohd Fathi Yusof semalam.
Perintah Malaysia
Segmen itu disiarkan pada setiap pagi Rabu bermula jam 9.30 pagi. Program berkenaan merupakan episod ke-38 mengupas tajuk ‘Cordoba Memodenkan Eropah: Kepimpinan Abd al-Rahman II’.
Sebelum ini banyak pihak persoalkan bolehkah PAS perintah Malaysia. Ia juga dibuktikan ketika Perikatan Nasional (PN) menerajui Putrajaya sebelum ini. Beberapa pemimpin PAS dilantik sebagai anggota kabinet ketika itu.

Menjawab isu tersebut Mohd Amar menjelaskan integriti yang dipertahankan kerajaan-kerajaan negeri di bawah PAS diakui banyak pihak.
Bagaimanapun sekarang orang ramai masih menunggu apa penyelesaian PAS mengenai kemelut ekonomi yang melanda negara sekarang.
Ini memandangkan dalam PAS ramai pendukung parti yang berkebolehan, namun mereka tidak begitu menonjol bagi mengisi vakum tersebut.
“Inilah cabaran besar kita, kita ada dua tahun lagi untuk menghadapi pilihan raya umum (PRU) ke-16.
“Dalam masa sekarang negara kita sudah berada di tahap kritikal memandangkan kerajaan Madani tidak menunaikan janji dalam manifesto mereka. Dan kalau kita jadi kerajaan apa pula yang kita boleh buat,” ujarnya.
Oleh itu beliau mengajak pendukung PAS dan Perikatan Nasional berganding membetulkan keadaan dalam sektor ekonomi, pendidikan, sosial dan sebagainya dengan berpandu kefahaman Islam.

Kata beliau kena ada pendukung PAS yang mampu bercakap mengenai gagasan ekonomi Islam.
Ketika era pentadbiran Tun Dr Mahathir Mohamad pernah diwujudkan Majlis Perundingan Ekonomi Negara dan PAS menghantar wakil temasuk Ustaz Azizan Abdul Razak dan Datuk Mustafa Ali.
“Mereka terkejut dengan kemampuan PAS memberi cadangan. Namun malangnya kerajaan ketika itu tidak melaksanakan apa yang dicadangkan PAS,” ujarnya.
