Serantau

Kami bersimpuh di hadapan makam Imam Al-Shafi‘i

Oleh Intan Lestari |

IMPIAN untuk menjejaki bumi para anbiya akhirnya menjadi kenyataan melalui permusafiran ke Mesir. Permusafiran yang tidak sekadar membawa jasad merentas benua, tetapi mengheret hati menyelami sejarah, iman dan makna kehidupan.

Perjalanan tersebut disusuri bersama golongan pendidik, ustaz dan ustazah, yang menjadikan setiap langkah sarat dengan ilmu, renungan dan keinsafan.

Bimbingan penuh hikmah daripada mutawif, Ustaz Mohd Khairul Abdan Badarudin, menambah kedalaman makna, menghubungkan sejarah, akidah dan realiti kehidupan.

Justeru, perjalanan selama 9 hari 8 malam di bumi Mesir bukan sekadar sebuah kembara, tetapi pengalaman rohani yang meninggalkan kesan mendalam di dalam hati, sukar dilupakan dan terus hidup dalam ingatan.

Permusafiran tersebut bermula dengan debar yang sukar digambarkan kerana tiada bahu untuk aku sandarkan, tiada tangan yang dapat kugenggam sebagai penenang.

Saat melangkah ke KLIA, rasa itu kian menyesak dada kerana tidak seorang pun yang ku kenali. Mutawif, Ustaz Mohd Khairul Abdan hanya kukenali melalui mesej di WhatsApp dan perbualan jarak jauh dan belum pernah bertemu wajah.

Namun, di sebalik ketidakpastian itu, aku memilih untuk percaya. Percaya bahawa beliau seorang yang baik, amanah dan bertanggungjawab. Dengan keyakinan itulah aku melangkah, menyerahkan perjalanan sepenuhnya kepada Allah, sambil memujuk hati agar terus tenang dan berserah.

Menu Emirates

Perjalanan selama lapan jam bersama Emirates Airline terasa singkat dan tidak membosankan. Dua hidangan di udara hadir membuka selera, seolah-olah menjadi mukadimah manis kepada sebuah kembara yang penuh makna.

Transit di Dubai menjadi detik pertama ujian. Mencari surau untuk menunaikan solat Subuh di lapangan terbang yang luas itu menguji ketangkasan dan kesabaran mutawif kami, Ustaz Khairul Abdan (UKA).

Usai solat, kami seramai 15 peserta kembali menyambung langkah, hati terasa lebih tenang dan terarah. Alhamdulillah, sekitar jam 10.20 pagi Khamis, kami selamat menjejakkan kaki ke bumi Cairo.

Saat melangkah keluar dari perut pesawat menuju ruang ketibaan, pandangan tertancap pada sekeping kertas di tangan seorang pemuda Arab. Tertera jelas sebuah nama, “Hairan Saidah.” Lantas ku tanya ustaz, mengapa nama saya? Ustaz hanya tersenyum kecil lalu berkata, nama umi paling atas.

Detik itu sederhana, namun cukup untuk membuat hati terasa disambut, seolah-olah perjalanan ini benar-benar telah bermula.

Musafir ke bumi anbiya

Perjalanan bermula di Kaherah, ibu negara Mesir yang penuh dengan kesibukan dan warna-warni kehidupan. Dari tingkap kenderaan, bangunan lama bercampur dengan deretan kenderaan yang bergerak tanpa henti, mencerminkan nadi kota yang sentiasa hidup.

Kiri kanan berhabuk dan sekali pandang rakyatnya seolah-olah tidak menitiberatkan soal kebersihan. Namun, bukan ini yang ingin saya catatkan. Cuaca sejuk sekitar 20 °c siang, manakala waktu malam 12°c, melewatkan untuk bangun sepertiga malam.

Dalam perjalanan menuju ke destinasi, Ustaz Khairul Abdan mengingatkan para musafir supaya datang ke Mesir bukan sekadar hadir dengan jasad, tetapi membawa pandangan dan kesedaran tentang kedudukannya yang mulia.

Katanya, Mesir bukan tanah biasa tetapi ia adalah bumi yang disebut berulang kali dalam Al-Quran, sebanyak lima kali, sebagai isyarat kemuliaan dan keberkatannya.

“Tidak sia-sia Mesir digelar ibu segala dunia, pusat peradaban dan nadi sejarah umat manusia,” katanya agak serius.

Beliau yang sarat dengan pengalaman itu memaklumkan bahawa, Mesir juga bukan sekadar saksi masa silam, tetapi benteng kekuatan umat Islam.

Tidak hairan jika ia menjadi sasaran kuasa-kuasa yang ingin menguasai dunia, kerana apabila Mesir tunduk, negara-negara lain menjadi lebih mudah digenggam. Penjelasan itu, menggerunkan perasaan kami.

Maka menjejakkan kaki ke bumi Mesir menuntut lebih daripada kekaguman sejarah. Ia menuntut kefahaman, keinsafan dan rasa tanggungjawab terhadap amanah umat. Mesir mengajar kita bahawa tanah itu bukan hanya untuk dilihat, tetapi untuk difahami dan dimuliakan.

Makam Imam Al-Shafi’i

Pertama kali kami bersimpuh di hadapan makam Imam Al-Shafi‘i, hati ini terasa tenang dan damai, seakan luluh tanpa dipaksa. Walau tidak pernah bersua wajah, menyebut namanya sahaja sudah cukup menggugah jiwa.

Apatah lagi saat berdiri di sisi makamnya, memandang dalam diam, kerinduan yang lama terpendam seolah-olah terubat.

Ada ketenangan yang sukar dijelaskan, seolah-olah roh disapa oleh ilmu, keikhlasan dan warisan yang tidak pernah mati.

Ustaz Ahmad Badri, Ustaz Ayub, Ustaz Zamri, Ustaz Ahmad Zamri, Ustaz Samuji, Ustaz Abu Sumanji dan Ustaz Misnan bersimpuh dengan penuh khusyuk, menyatukan hati dan niat.

Bacaan al-Fatihah dan tahlil pimpinan Ustaz Khairul Abdan mengalun perlahan, memecah sunyi dengan doa yang tulus, seolah-olah mengikat langit dan bumi dalam satu permohonan yang penuh adab dan keinsafan.

Kaki kami terus melangkah, satu demi satu menziarahi maqam para tokoh agung umat ini. Dari maqam Sayyiduna Amr bin al-As, ke maqam Imam Ibn Hajar al-Asqalani, sebelum akhirnya tiba di Masjid Al-Azhar dan Masjid Sayyidina Husain.

Setiap langkah terasa sarat makna, seolah-olah kami berjalan di atas jejak ilmu, dakwah dan pengorbanan yang tidak pernah terpadam.

Perjalanan beribu-ribu batu ini terasa belum sempurna andai tidak bertemu dengan ulama tersohor, Sheikh Ashraf Hamid Hasanain, untuk mengikuti majlis tahsin al-Fatihah.

Walaupun pertemuan itu yang pertama, layanan mesranya menyentuh hati, seolah-olah kami bukan tetamu asing, tetapi saudara lama yang akhirnya dipertemukan kembali.

Dalam majlis itu, bukan sahaja bacaan diperbetulkan, malah hati turut ditautkan dengan adab, tawaduk, dan kasih kepada al-Quran.

Bersambung…

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *