
Program itu akan diadakan di Dewan Jubli Perak MPKB-BRI dan Padang Perdana bermula jam 7.30 pagi aktiviti berjalan kaki santai.
Selain itu akan diadakan pertandingan liga penalti dan bola jaring membabitkan golongan belia serta beliawanis.
Pengerusi Jawatankuasa Sambutan Shaari Mat Yaman berkata, pelbagai acara lain akan ditampilkan termasuk sukaneka, konvoi motosikal, pertandingan barangan terpakai serta cabutan bertuah.
“Turut diadakan pameran menarik, slot motivasi serta persembahan gabungan muzik tradisional dan pancaragam. Slot bicara tokoh dan jamuan rakyat bagi meraikan warga Kota Bharu diadakan pada tengah hari,” katanya di sini.
Shaari yang juga Naib Yang Dipertua PAS Kota Bharu berkata, karnival itu turut meraikan sambutan ulangtahun ke-70 PAS Kelantan.
Sementara itu Yang Dipertua PAS Kota Bharu, Datuk Seri Takiyuddin berkata, karnival terbabit akan mendedahkan kepada masyarakat mengenai sejarah perjuangan generasi terdahulu.
“Kita akan mewujudkan ruang arkib yang memaparkan gambar-gambar sejarah serta garis masa perjuangan PAS sebagai tatapan generasi sekarang.
“Program seumpama itu diyakini mampu menyuntik semangat bagi meneruskan perjuangan mendaulatkan Islam di negara ini,” katanya.
Manakala sambutan ulangtahun ke-70 PAS Kelantan peringkat negeri akan diadakan pada 24 Oktober ini bermula kuliah dhuha dan diakhiri ceramah khas pada malam dengan mengundang pemimpin utama Perikatan Nasional bertempat di Dataran Warisan Stadium Sultan Muhammad IV.
