
ASLANI M
ANDA jangan terkejut apabila melihat deretan kenderaan memanjang dari Permaisuri sehingga ke simpang tiga menghala ke Lebuh Raya Pantai Timur (LPT) 2 di Kampung Gemuroh petang semalam.
Sepanjang hampir 50 kilometer kenderaan bertali arus. Situasi itu berlaku ekoran cuti berganda sempena sambutan Hari Malaysia. Tambahan cuti pada Isnin membolehkan penjawat awam bercuti sehingga empat hari.
Lebih-lebih lagi minggu ini cuti persekolahan. Maka tidak hairanlah segenap jalan utama di Kelantan, Terengganu, Kedah dan Perlis sendat dengan kenderaan.
Dari Kuala Besut ke Marang sejauh kira-kira 131 kilometer melalui Penarik mengambil masa perjalanan lebih 5 jam. Sedangkan kebiasaannya kira-kira 2 jam 45 minit.
Deretan kenderaan bermula di Bachok menuju ke Tok Bali Pasir Puteh. Kenderaan terpaksa bergerak perlahan ketika mendaki Jambatan Tok Bali kerana jalan sesak.
Lokasi tumpuan ramai di Terengganu termasuk Pantai Tok Jembal di Kuala Nerus, Masjid Terapung di Kuala Ibai, Pasar Payang dan Pantai Batu Burok di Kuala Terengganu.
Berdasar perkembangan tersebut dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini lebih 6.9 juta pelancong direkod mengunjungi Terengganu.
Sehubungan itu Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Terengganu, Datuk Razali Idris optimis kehadiran pelancong melepasi sasaran awal iaitu 8.5 juta orang tahun ini.
Ustaz Mad Kecil
Turut menarik perhatian pelancong termasuk Kompleks Pendidikan Islam dan Kebajikan Darul Zahraa milik Ustaz Muhamad Abdullah (Ustaz Mad Kecil) di Hulu Terengganu.

Pusat pengajian agama itu terletak di Kampung Kuala Dura, Hulu Terengganu dibangun daripada bekas ladang kelapa sawit.
Kawasan berbukit dibangun secara terancang yang menempatkan beberapa kompenan bangunan. Tapak masjid terletak di puncak bukit paling tinggi di lokasi tersebut.
Di sebelahnya sedang dibina bangunan asrama pelajar. Lebih istimewa lagi di bawah bangunan bangunan asrama ditempatkan binatang ternakan termasuk unta, burung unta, pelanduk, ayam dan kuda.
Pusat pendidikan terbabit mula dibangunkan pada 2019 dan pada peringkat awal mempunyai 20 pelajar tahfiz dan 15 warga emas.
Pembinaan pada fasa pertama melibatkan kos sebanyak RM1.7 juta membabitkan pembinaan lima kelas pengajian, pejabat, bilik mesyuarat, dewan kuliah, surau dan asrama pelajar tahfiz.

Dana pembinaan dan pembelian tanah di kawasan berkenaan disumbang orang ramai dan pelbagai pihak.
Manakala pada projek fasa kedua merangkumi pembinaan kompleks masjid dan 70 unit pondok penginapan warga emas.
Sebanyak RM300,000 diperlukan bagi pembinaan pondok warga emas, kompleks masjid dan kos operasi.
Kebun anggur
Lebih unik lagi pusat pengajian tersebut memiliki kebun anggur dan strawberi yang terletak di tingkat atas bangunan tiga tingkat.
Pengunjung boleh meninjau kebun anggur dengan meniti jambatan besi dari kawasan berbukit ke tingkat tiga bangunan asrama pelajar.
Di aras itu juga disediakan tempat kuliah agama. Selain itu ada ruang café yang menyediakan pelbagai makanan dan minumuan yang boleh dibeli pengunjung.
Terdapat juga dapur bagi menyediakan makanan untuk pelajar. Selain itu disediakan tandas dan surau kecil. Pengunjung juga berpeluang membeli cenderamata di kaunter daftar masuk di aras tiga.
Ramai pengunjung tidak melepas peluang merakam gambar di lokasi itu kerana terdapat pemandangan banjaran bukit yang begitu menarik.
Di kawasan berbukit yang ditempatkan mini zoo turut disediakan ruang parkir yang begitu luas.

Pengunjung tidak perlu gusar biarpun kawasan itu luas dan berbukit, namun disediakan laluan kenderaan sehingga ke puncak bukit.
Pusat pendidikan itu juga mempunyai restoran yang terletak bersebelahan anak sungai di laluan masuk. Terdapat juga ruang parkir begitu luas di situ.
Menurut petugas sekarang terdapat seramai 60 pelajar dan 17 warga emas yang mendiami pusat pengajian terbabit.
“Pelajar belajar hafazan dan pengajian kitab. Permohonan untuk memasuki Kompleks Pendidikan Islam dan Kebajikan Darul Zahraa sentiasa meningkat,” katanya ketika ditemui semalam.
Bagi menampung kos pembangunan, kompleks pendidikan tersebut menawarkan jualan lot wakaf bagi pembinaan madrasah dan kelas pengajian. Setiap lot seluas 1 kaki persegi.

Harga yang ditawarkan RM50 setiap lot. Selain itu tajaan yuran pengajian bagi pelajar miskin iaitu RM300 sebulan untuk dua pelajar iaitu meliputi duit saku dan yuran pengajian.
Anda boleh menghubungi talian 6011-1339 3788 atau 6011 1504 3788 bagi mendapat maklumat lanjut. Sumbangan juga boleh disalur melalui akaun Bank Rakyat 1101 740103 atas nama Darul Zahraa Wa Tarbiyyah.