Khabar SG4

Kelantan negeri gerbang berkebajikan

Oleh Norzana Razaly |

KELANTAN bukan sahaja dikenali sebagai bumi Serambi Mekah, sebaliknya sebuah negeri berkebajikan. Ia bukan masuk bangkul angkat sendiri, namun program berorientasi kebajikan sudah lama dinikmati rakyat.

Antaranya Skim al Itaam yang diperkenalkan pada tahun 2011. Skim itu menyumbang 10 kilogram beras kepada 200 keluarga berpendapatan rendah di setiap 45 Dewan Undangan Negeri (Dun) secara bulanan.

Selain itu bakal pengantin juga berpendapatan rendah mendapat bantuan kerajaan negeri melalui Skim Gerbang Az Ziwaaj sebanyak RM1,000.

Di Kelantan juga ada Skim Cakna Aulad, Skim Cakna Suri, Skim Khairat Kifaalah, program rumah dhuafat, program Pembangunan Peserta Ladang Rakyat, Skim Pendidikan Anak Yatim serta Skim Bantuan Bapa Tunggal.

Armalah

Usaha kebajikan untuk golongan armalah khususnya memperlihatkan pendekatan bersifat pentadbiran dan berakar kepada falsafah sosial.

Istilah ‘armalah’ sebagai panggilan penuh penghormatan kepada wanita yang kematian suami. Istilah tersebut diperkenalkan Almarhum Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Beberapa inisiatif kebajikan yang dirangka kerajaan Kelantan dianggap sebagai sebahagian daripada ekosistem perlindungan sosial rakyat.

Skim Manfaat Armalah (SMA) misalnya, memberi bantuan kepada wanita yang baru kehilangan suami. Berasas analisis sains sosial, fasa awal selepas kehilangan pasangan merupakan tempoh paling kritikal.

Sudah tentu isteri dan anak-anak akan berhadapan kejutan emosi, ketidaktentuan pendapatan dan gangguan rutin penjagaan anak.

Kelantan juga memperkenalkan Skim Khairat Armalah. Sumbangan diberi waris armalah yang meninggal dunia. Skim tersebut memperlihatkan aspek kebajikan tidak terhenti setakat armalah semasa masih hidup, sebaliknya turut mengambil kira beban waris setelah pemergian mereka.

Golongan armalah di Kelantan juga bernasib baik kerana kerajaan negeri turut bantuan ad-hoc melalui program sosio-ekonomi armalah. Bantuan terbabit membolehkan armalah berdikari bagi menyara kehidupan keluarga selepas kehilangan suami tersayang.

Armalah dibantu dengan dibekalkan peralatan perniagaan bagi membolehkan mereka membina masa depan secara kendiri.

Segala usaha dilakukan kerajaan Kelantan dengan memperkasakan semula konsep kebajikan yang pernah dirintis pada era pemerintahan Khalifah Umar al-Khattab. Umar al-Khattab sering dirujuk sebagai model kepimpinan yang tegas pada dasar tetapi lembut pada keadilan sosial.

Khalifah Umar memastikan kebajikan rakyat menjadi sebagai amanah negara. Beliau sering turun padang meninjau keadaan rakyat termasuk memikul guni gandum untuk diagih kepada keluarga yang daif.

Situasi itu menggambarkan dalam tradisi Islam, di mana negara tidak boleh bersikap neutral terhadap penderitaan sosial rakyat. Ia memperlihatkan kerentanan sosial mempunyai pelbagai wajah, dan setiap wajah memerlukan respons dasar yang adil serta kontekstual.

Ramadan

Program berkebajikan di Kelantan berterusan sehingga sekarang, melewati lebih 15 tahun. Dan sempena Ramadan sekarang majlis penyampaian bantuan diadakan di seluruh negeri.

Pada 13 Mac lepas Program Himpunan Armalah diadakan di Dun Meranti bertempat di Madrasah Nasrullah Pohon Buluh, Pasir Mas, menyaksikan 577 armalah menerima bantuan.

Majlis itu dirasmikan Menteri Besar Dato’ Panglima Perang Ustaz Mohd Nassuruddin Daud. Sempena program berkenaan turut diadakan Anugerah Tokoh Armalah Sosio Ekonomi Dun Meranti yang diterima Kalsom Hussin.

Pengiktirafan terhadap ketabahan Kalsom membesarkan anak-anak hasil berniaga kecil-kecilan selepas kehilangan suami 29 tahun lalu menjadi contoh kepada keluarga lain.

Dalam masyarakat, kisah-kisah seperti itu mampu membina imaginasi harapan, mengurangkan rasa terpencil dalam kalangan armalah.

Program serupa diadakan di Dun Guchil pada 15 Mac, di mana 300 armalah menerima sumbangan wang berjumlah RM60,000 menerusi Majlis Penyampaian Sumbangan Ad-Hoc Fasa 1 tahun 2026.

Terdahulu, pada 8 Mac Adun Salor Saizol Ismail juga menyempurnakan program seumpama itu dengan menyantuni 200 armalah tanpa mengira bangsa dan agama.

Disusuli pada 12 Mac seramai 364 armalah di Dun Chempaka menerima sumbangan disampaikan Adun kawasan berkenaan Nik Bahrum Nik Abdullah.

Pada program itu beliau turut berkongsi kisah seorang armalah yang kehilangan suami pada usia muda, membesarkan lima anak sehingga daripada berniaga menggunakan sebuah lori kecil kini berkembang kepada syarikat pengangkutan besar.

Program Himpunan Armalah Dun Fasa 1 diadakan di semua 45 Dun bermula 5 hingga 17 Mac 2026. Manakala fasa 2 dijadualkan pada Mei hingga Jun hadapan dengan peruntukan RM60,000 bagi setiap Dun.

Ia melibatkan implikasi kewangan kerajaan negeri berjumlah RM2.7 juta. Justeru, apabila armalah disantuni, anak yatim dibantu dan keluarga rentan diperkasa, maka kebajikan menjadi jambatan antara pemimpin dan rakyat.

Inisiatif kebajikan kerajaan Kelantan sebagai terjemahan falsafah pentadbiran yang memuliakan insan, mengiktiraf pengorbanan dan meletakkan kebajikan dalam kerangka amanah negeri.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *