Kemelut PN boleh jejas sokongan rakyat

PERIKATAN Nasional (PN) tidak mampu disangkal lagi sebagai tongkat orang Melayu selepas Umno hilang identiti perjuangan. Sedangkan sejak merdeka dimomok, orang Melayu akan merempat tanpa Umno.
Namun, selepas Umno hilang kuasa politik sejak pilihan raya umum (PRU) 14, orang Melayu masih lagi dapat meneruskan kelangsungan hidup. Kuasa politik Melayu masih lagi mendominasi sebahagian besar negeri kecuali Pulau Pinang, Perak dan Selangor.
Perak dan Selangor biarpun menteri besar orang Melayu, namun kuasa politik DAP semakin menebal. Situasi serupa juga menjalar ke Pahang dan Melaka.
Maka mengambil kira kebimbangan itu, PN menjadi pilihan orang Melayu. Orang Melayu beralih berpaut kepada PN pada PRU14 dan PRU15. Persoalannya mampu gelombang itu terus dipertahankan.
Sejak PN diwujudkan pada 2020, sebahagian besar orang Melayu berpayung di bawah penyatuan ummah yang menggabungkan PAS, Bersatu dan Umno.
Namun, pada akhir 2022, Umno belot daripada penyatuan ummah apabila memilih Pakatan Harapan (PH) sebagai teman baru, biarpun tidur sebatal mimpi berbeza.
Kemunculan PN dalam tempoh singkat menjadi tempat orang Melayu berteduh. Malangnya panas tidak sampai ke petang, rupanya hujan di tengah hari.

Isunya dikesan dengan masalah dalaman yang membelit Bersatu. Ramai pemimpin yang turut mengasaskan parti itu disingkirkan daripada parti. Mereka bukan nama kecil. Bermula dari situ, Bersatu tidak berpadu lagi.
Kemuncaknya apabila lima Adun Bersatu di Perlis menandatangani akuan bersumpah (SD) bagi menyingkirkan Mohd Shukri Ramli sebagai menteri besar Perlis. Turut termasuk dalam gerakan berkenaan tiga Adun PAS.
Hukuman
Tiga Adun PAS telah dikenakan tindakan. Keahlian mereka terhenti. Dan mereka hilang jawatan. Namun, lima Adun Bersatu belum kedengaran diambil sebarang tindakan.
Sedangkan sebelum ini pada kenyatan media Presiden Bersatu Tan Sri Muhyiddin Yassin memberitahu tiada arahan dikeluarkan kepada mana-mana ahli Adun Perlis daripada Bersatu untuk menandatangani sebarang akuan berkanun (SD).
Jelas di sini berlaku perlanggaran disiplin, tanpa sebarang tindakan. Krisis moral sebenarnya melanda Bersatu sejak awal lagi apabila enam ahli parlimennya belot dan menyatakan sokongan terhadap perdana menteri.

Pemerhati politik tempatan Dr Zulkeflee Yaacob menyifatkan Muhyiddin dilihat tertekan kerana tindakannya tidak dihormati pimpinan sendiri dan rakan parti komponen lain.
Kata beliau situasi itu dapat dikesan apabila mesyuarat pramajlis PN di rumahnya tanpa kelibat Timbalan Presiden Bersatu Datuk Seri Hamzah Zainuddin. Difahamkan Hamzah tidak dijemput.
Kasus yang menjadi isu nasional apabila Muhyiddin yang telah meletakkan jawatan sebagai Pengerusi PN, namun masih memanggil mesyuarat pre-council pengerusi parti-parti komponen di rumah beliau.

Sedangkan Muhyiddin meletak jawatan dengan merekodkan tarikh berhenti sebagai Pengerusi PN bermula 1 Januari 2026.
“Berdasar peruntukan Perlembagaan PN, majlis tertinggi PN perlu bersidang untuk melantik seorang Pengerusi PN yang baharu. PN di bahu Bersatu dilihat tiada rencana untuk kesatuan, watan dan rakan jalur tampuk,” ujar beliau.
Maka tidak hairanlah muncul desakan supaya PAS memimpin PN, atas realiti rakyat resah dan tidak selesa di bawah kerajaan Madani. Rakyat tidak bodoh malah mampu menilai parti yang benar-benar bekerja.
Sebaliknya kata Dr Zulkeflee, PAS bukan sekadar parti politik tetapi gerakan yang berakar referensi tauhid dan berakal nusa serta ummah.
Baginya rakyat memilih PAS sebagai penguasa kerana kepimpinan berpaksikan kepada mandat bukan kepimpinan elit yang mempersembah karakter bangsawan.
Oleh itu, usai temu persegaran kepimpinan dalam acara pemukiman, masing-masing iltizam kekal bersama PN. Ia selaras dengan harapan rakyat, PN boleh menggantikan kerajaan Madani.
Maka kemelut PN yang ketiadaan pengerusi perlu diselesaikan segera. Sekiranya masalah itu dibiarkan berlarutan, gelombang rakyat dibimbangi beralih arah.

