Kempen GRS-PH-BN cedera di pusingan awal

Oleh M Faqih
PADA pilihan raya negeri (PRN) ke-16, Parti Warisan Sabah (Warisan) gagal mempertahankan kerajaan Sabah dikatakan ada kaitan kempen sentimen negeri yang agak berlebihan.
Ketika kempen Warisan tidak mahu parti dari Semenanjung mentadbir Sabah. Sedangkan dalam diam Warisan bekerjasama dengan Pakatan Harapan (PH).
Hakikat itu turut diakui pensyarah Universiti Malaysia Sabah Dr Lee Kuok Tiung yang menyifatkan Warisan khilaf kerana bermain sentimen kenegerian.
Hujah serupa dilontar Dr Romzi Ationg. Katanya Warisan silap langkah apabila cuba berseteru dengan kerajaan Pusat.
Walhasilnya pada PRN-16 Gabungan Rakyat Sabah (GRS) menang 37 kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun), manakala Warisan menguasai 24 kerusi.
Warisan mendapat dua lagi kerusi dengan bantuan PKR dan Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) yang masing-masing menyumbang satu kerusi.

Ketika itu GRS menggabungkan Perikatan Nasional (PN), Barisan Nasional (BN), Parti Bersatu Sabah (PBS) dan Parti Solidariti Tanah Airku (STAR).
Calon bebas pula menang dua kerusi. Bebas kemudian bekerjasama dengan GRS membolehkan jumlah kerusi meningkat kepada 39.
Dan pada PRN kali ini, sentimen kenegerian masih lagi kedengaran. Malah semua kumpulan parti yang bertanding menggunakan tema yang berpangkal kepada perkataan Sabah kecuali GRS.
PN tampil dengan tema ‘Kasi Bagus Sabah’, Warisan (Selamatkan Sabah), UPKO (Sabah First), GRS (Kita Jaga Rumah Kita) dan PKR (PH)– Harapan Urang Sabah.

Berdasar kempen bermula Sabtu lepas, persaingan antara parti-parti yang bertanding begitu sengit. Sukar untuk meramalkan parti mana yang lebih dekat di jiwa 1.78 juta pengundi Sabah.
Lawan arus
Namun, apa yang pasti rakyat Sabah sudah berani melawan arus. Tiada lagi sifir politik ‘yes man’ atau sekadar hadiah roti gardenia di kawasan pedalaman. Mereka ada maruah.
Buktinya pada Ogos lepas ribuan penduduk menghadiri himpunan solidariti buat adik Zara Qairina. Himpunan serupa dilapor turut diadakan di Lahad Datu dan Tawau.
Sedangkan sebelum ini, adegan seumpama itu sukar dilihat. Mereka bersolidariti terhadap adik Zara yang meninggal dunia dikatakan terjatuh daripada bangunan asrama. Penduduk Sabah mempamerkan keberanian agak luar biasa.
Pada 2 September kumpulan mahasiswa Universiti Malaysia Sabah (UMS) mengecam siasatan terhadap rakan-rakan mereka di bawah Akta Hasutan 1948 selepas menghadiri majlis nyalaan lilin adik Zara.
Suara Mahasiswa UMS mengecam tindakan parti-parti politik yang didakwa menjadikan tragedi itu untuk menonjolkan diri. Mereka tidak lagi kompromi dengan pihak berkuasa yang cuba membungkam suara rakyat.
Berdasar situasi terbabit laluan GRS untuk mempertahankan kerajaan agak berliku. Isyarat awal dapat dilihat apabila road show (jayarawara) pembangkang lebih mendapat perhatian rakyat.
Lihat himpunan ceramah mega UPKO, Warisan dan PN. Biarpun UPKO bersendirian selepas keluar daripada PH, namun perjuangan presidennya Datuk Seri Ewon Benedick lebih menarik perhatian.
Pada himpunan di Bandau Rabu lepas lebih 1,000 penduduk hadir. Ewon membawa semangat ‘Sabah First’ bagi membantu calon UPKO di Dun Bandau, Suzie Salapan.
“Terima kasih kepada semua. Semangat merdeka memuncak di Bandau! Dengan berkat dan sokongan rakyat Bandau, Suzie boleh menjadi wakil rakyat yang cemerlang bagi menjayakan agenda #SabahFirst,” ujarnya pada catatan laman sosial.

Tarik diri
PH juga cedera awal apabila calon PKR bagi kerusi Silam Abdul Halim Sidek Gulam Hassan menarik diri. PH menurunkan 17 calon dengan kolaborasi bersama GRS.
Namun, calon PH daripada DAP dianggap lebih selesa kerana bertanding di kerusi di dominasi kaum Cina. Antaranya Dun Likas diwakili Phoong Jin Zhe Chan Loong Wei (Luyang), Chan Foong Hin (Tanjung Aru).
Selain itu Jannie Lasimbang (Kapayan), Vivian Wong Shir Yee (Elopura), Tang Szu Ching (Tanjung Papat) dan Philip Yap (Sri Tanjong).
Manakala kempen Parti Gabungan Rakyat Sabah (PGRS) agak tempang apabila Markas Dun Bandau ditutup kerana protes. Penutupan itu berlaku selepas Dato Maijol tidak tersenarai sebagai calon.
Penyokong GRS Bandau meluahkan rasa kesal terhadap keputusan Datuk Seri Hajiji Noor. Mereka mempersoalkan slogan ‘Rumah Kita, Kita Yang Jaga’ namun meletakkan calon dari luar Dun Bandau.
Redonah Bahanda yang dicalonkan dilapor berasal dari kawasan lain dan bukan pengundi di Dun Bandau.
Penyokong GRS mempersoalkan Hajiji memberi laluan mudah kepada Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (PKDM) untuk merampas kerusi Dun Bandau.
Sebaliknya, Warisan terus mara. Ceramah Mega Warisan pertama di Lahad Datu disifatkan presiden parti itu Datuk Seri Shafei Apdal sebagai permulaan.
Kata beliau ceramah Mega Warisan akan diteruskan ke seluruh Sabah. Selepas Lahad Datu Warisan tumpu Tawau.
“Tugas kita kini jelas. Turun padang, yakinkan rakyat dan buktikan bahawa Warisan adalah pilihan terbaik untuk membawa Sabah ke hadapan. Selamatkan Sabah,” katanya di laman sosial.

Situasi berbeza pula melanda StarSabah. Ketua Exco Wiramuda StarSabah yang juga Ketua Bahagian Nabawan, Jordan Jude mengumumkan meletak jawatan serta merta.
Sedangkan pada Oktober lepas Mesyuarat Biro Politik dikatakan memutus Ketua Exco Wiramuda Star Sabah sebagai bakal calon di Dun Tulid. Namun, apa yang berlaku selepas itu berbeza.
Isunya diuar-uarkan tidak ada satu pun kerusi diberi peluang untuk Exco Wiramuda Star Sabah bertanding.
Wajah baru
PN pula menampilkan 41 calon yang terdiri daripada anak tempatan yang berwibawa dengan 90 peratus wajah baru dan 30 peratus anak muda.
Majlis pengumuman calon PN berlangsung di Penampang disempurnakan Pengerusi PN Sabah, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee. Beliau juga calon di Dun Sugut.
Bersatu mengetengahkan 33 calon, PAS (5) dan Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) – tiga calon. Di Dun Tanjung Batu, PN diwakili pemimpin PAS Sabah, Ahmad Dollah. Kata beliau anak muda ada kuasa merubah.
“Kita boleh merubah yang tak baik jadi baik, yang baik jadi lebih baik. Jadi anak muda, kita berdiri bersama calon yang ikhlas bekerja, berani bersuara,” katanya. Ahmad membawa tema kempen Tanjung Batu Sejahtera dan Kita Untuk Semua.

Calon PN di Dun Balung Dr Munzier Mahamud pula menemui rakyat di mana sahaja. Baru-baru ini beliau menghadiri ceramah kelompok di kampung atas air.
“Meriah sungguh malam tadi, ramai pun ramai! Bila ramai, kami pun makin semangat nak berkongsi dan berceramah. Terima kasih Puan Rosdiana yang sudi menjadi tuan rumah ceramah di Kampung Hidayat 4,” ujarnya.
Beliau mengetengahkan tema Dekat Di Hati dan Teguh Berkhidmat. Seorang lagi calon PAS yang mewakili PN iaitu Kasman Karate bertanding di Dun Kunak.
Kata beliau orang Kunak hidup sederhana, saling membantu, menguruskan jenazah bersama-sama, berkumpul membaca doa dan menguatkan antara satu sama lain.

“Semoga Allah merahmati arwah dan menguatkan seluruh keluarga yang ditinggalkan. Dan semoga usaha kita membina Kunak yang lebih baik terus diberkati,” katanya selepasmelawat keluarga penduduk yang meninggal dunia.
Hasan Haris pula mencuba nasib di Dun Merontai. Baru-baru ini gerak kerja kempennya turut dibantu Menteri Besar Kedah, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor.
Mereka turun padang menyantuni masyarakat Tawau dan peniaga di pasar Tanjung Tawau. “Kropok amplang, ikan bilis antara barangan femes orang yang melancong di Tawau.

“Sesiapa yang berhajat bercuti atau jalan-jalan di Tawau jangan lupa singgah di Pasar Tanjung Tawau ya,” ujarnya. Gerak kerja kempen mencanang ‘Merotai Kita Sejahtera’
