
A RAHMAN HARUN
AHLI parlimen Perikatan Nasional (PN) mencadangkan kerajaan memberi elaun kepada isteri yang bertugas sebagai suri rumah kerana ia dianggap sebagai kerjaya.
Ustaz Afnan Hamimi Taib Azamudden (PN-Alor Setar) berharap kerajaan boleh pertimbangkan tugas suri rumah sebagai pekerjaan yang wajar diberi elaun.

“Barulah golongan suri rumah boleh memberi sepenuh masa tumpuan kepada rumah tangga dan mendidik anak-anak di rumah,” katanya ketika mencelah semasa Ahli Parlimen Kubang Kerian berucap.
Sebelum itu Dato’ Sri Tuan Ibrahim Tuan Man membahas penyata Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen (JKPK) mengenai Penjagaan dan Pendidikan Awal Kanak-kanak di Malaysia di Dewan Rakyat baru-baru ini.
Kata beliau cadangan penubuhan Majlis Penjagaan dan Pendidikan Awal Kanak-Kanak Kebangsaan secara rentas kementerian wajar disokong.
Menurutnya juga gejala sosial termasuk kes buli yang sering berlaku di institusi pendidikan dianggap berpunca pengabaian, selain tiada agensi yang mengawal selia sektor tersebut.

“Wajar perlu ada satu penyelarasan supaya wujud entiti tunggal yang bertanggungjawab terhadap dasar tersebut, saya menyokong akta pendidikan awal kanak-kanak diwujudkan,” katanya.
Terdahulu Pengerusi JPKP, Yeo Bee Yin menyarankan kerajaan menubuh majlis terbabit bagi menyelaras agenda Penjagaan dan Pendidikan Awal Kanak-kanak secara rentas kementerian.