
SALMA HUSIN
KOTA BHARU: PAS menyarankan supaya undang-undang melibatkan kes rogol bawah umur dengan kerelaan perlu diperhalusi semula supaya bertepatan dengan hukum Islam dan prinsip keadilan.
Ketua Penerangan PAS Kelantan Ustaz Mohd Asri Mat Daud berkata, dalam undang-undang jenayah Islam, zina iaitu persetubuhan haram tanpa ikatan perkahwinan yang sah merupakan jenayah besar.
Katanya kes rogol bawah umur yang berlaku atas dasar suka sama suka hakikatnya merupakan zina dan bukan semata-mata rogol.
“Pendedahan Ketua Polis Kelantan bahawa 90 peratus kes rogol bawah umur melibatkan hubungan seks suka sama suka jelas menunjukkan ia adalah zina membabitkan lelaki dan remaja perempuan.
“Namun undang-undang sedia ada hanya menghukum lelaki sahaja. Dari sudut keadilan Islam, kedua-dua pesalah zina perlu dipertanggungjawabkan, bukan hanya sebelah pihak,” katanya pada kenyataan.
Baru-baru ini Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat dilapor mencadangkan supaya undang-undang sedia ada diteliti semula khususnya kes seksual bawah umur suka sama suka supaya tindakan tidak hanya ke atas pelaku sahaja.
Menurutnya statistik menunjukkan hampir 90 peratus kes rogol bawah umur di Kelantan, berlaku atas dasar suka sama suka, bukannya paksaan.
Mohd Asri berkata, undang-undang berkenaan wajar disemak semula supaya kedua-dua pihak yang terlibat dikenakan tindakan.
Namun begitu, katanya, perlindungan terhadap remaja perempuan daripada manipulasi seksual juga perlu diberi perhatian.
“Antara langkah pencegahan yang boleh dilaksana termasuk nasihat, kaunseling, hukuman takzir dan pendekatan restoratif yang sesuai.
“Sudah sampai masanya kerajaan persekutuan meneliti pindaan undang-undang bagi membendung gejala seks suka sama suka dalam kalangan remaja.
“Kerajaan Kelantan melalui Enakmen Kanun Jenayah Syariah telah memperuntukkan kesalahan zina, mukadimah zina, ikhtilat dan khalwat dengan denda yang minima, selaras dengan bidang kuasa yang ada,” ujarnya.