Ketepi ego semai kasih sayang di sekolah

MUNGKINKAH sistem pendidikan di negara ini masih ada kepincangan sehingga saban hari muncul banyak kes dan peristiwa malang berlaku di sekolah. Ia seumpama kemunduran bertingkat sekali gus menjadi punca keruntuhan rupa diri dan akhlak.

Terbaharu seorang pelajar perempuan tingkatan tiga maut ditikam pelajar lelaki tingkatan dua di sebuah sekolah menengah di Bandar Utama, Petaling Jaya, pada minggu kedua Oktober ini.

Pelajar tingkatan tiga trauma dipercayai dirogol bergilir-gilir oleh dua pelajar senior dalam kelas dan dirakam video di sebuah sekolah menengah di Alor Gajah Melaka.

Dimensi lain seorang pengawal keselamatan sekolah dan teman lelakinya dituduh di Mahkamah Sesyen atas tuduhan mencabul murid perempuan di tandas sebuah sekolah di Rembau pada 7 Oktober lalu.

Peristiwa tragis kematian pelajar berusia 10 tahun di sebuah sekolah rendah di Negeri Sembilan yang ditemui mati dalam keadaan tergantung dengan skaf pengakap begitu menyedihkan.

Dan murid Tahun Tiga, Abdul Fatah Khairol Rizal, meninggal dunia selepas terjatuh ke dalam lubang kubahan di kawasan sekolah di Lenggeng, Nilai dipercayai memijak penutup lubang jenis fiber di sekolah semasa program kejohanan olahraga.

Sedangkan kata pensyarah kursus Insan Guru Profesional, Dr Zulkeflee Yaacob, pendidikan suatu wadah untuk membentuk individu yang menjadi harapan masyarakat.

“Pendidikan yang menjana nilai jati diri dan patriotisme dapat menerapkan stigma mencintai negara dalam jiwa dan sahsiah warganya. Corak pendidikan akan mencerminkan sikap dan kecenderungan yang wujud dalam masyarakat.

“Ia juga merupakan elemen terpenting dalam proses tumbesaran dan kematangan seseorang yang dapat melahirkan generasi yang berakhlak mulia,” katanya di Ipoh.  

Malangnya apa yang berlaku sekarang seperti menyimpang daripada falsafah sistem pendidikan negara.

Isu buli seperti sukar dinoktahkan. Orang ramai masih lagi trauma kematian menimpa arwah Zara Qairina Mahathir, pelajar tingkatan satu Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Tun Datu Mustapha di Sabah.

Isu terbabit diklafikasi jenayah kerana menyebabkan kematian, kecederaan dan kes salah laku.

Salah siapa

Siapa yang hendak dipersalahkan. Tidak wajar kita meletak premis kesalahan ke bahu guru semata-mata. Ini kerana profesyen guru digarap dengan prinsip profesional.

Kaedah itu terkandung dalam pedagogi pengajaran dan pembelajaran, pentaksiran, kepimpinan, klinikal psiokologi pelajar dan pengalaman sebagai guru.

Meskipun lebih 99 peratus guru mempunyai kelayakan iktisad dari universiti atau kolej perguruan, namun satu peratus lagi mendesak atas keperluan sekolah.

Perlu diberi perhatian kerana ada guru cuti bersalin, berkursus, sakit dan lain-lain musaqah yang tidak dapat dielakkan. Dalam situasi itu beban tanggungjawab akan beralih kepada guru lain.  

Dr Zulkeflee menegaskan sewajar semua elemen terbabit perlu diberi perhatian oleh pihak berkaitan dengan menyemak kurikulum latihan agar mampu mendepani cabaran mutakhir. Apalagi entri kecerdasan buatan (AI) banyak mempengaruhi sahsiah pelajar sekarang.

Ini kerana beberapa elemen persekitaran pengajaran-pembelajaran, menyediakan ruang, lingkup dan peluang untuk memupuk keterujaan intelektual yang akan mengoptimumkan potensi dan minat pelajar.

Pentadbir dan penjana akademik di sekolah perlu menyesuaikan diri dengan perubahan persekitaran, teknologi serta aplikasinya dalam amalan pendidikan.

Apa pun unsur kebencian merupakan tanda pemulauan yang berpunca daripada komunikasi bermasalah sama ada pentadbir dengan guru atau guru dengan murid.

Sekiranya dibiarkan ia boleh menuai dendam apabila seseorang merasakan mereka diremehkan oleh mana-mana pihak sama ada guru, ibu bapa dan murid.

Ia dibimbangi akan menghakis penghormatan kepada profesyen atau guru dan komuniti.

“Perkara yang menjadi parasit iaitu fitnah akibat salah faham di antara pihak sekolah dan murid atau ibu bapa,” tambahnya.

Tidak salah sekiranya kita membentuk disiplin dengan semaian kemanusiaan bagi melahirkan kemenjadian pelajar. Disiplin bukan bermaksud keras dan ketat, sebaliknya dipupuk nilai kasih sayang berdasar acuan syarak.

Oleh itu, tindakan proaktif menangani setiap salah laku perlu ada solusi yang komprehensif dengan mengenepikan keegolan dalam diri sama pelajar, guru atau ibu bapa.

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *