Lelaki pakaian seragam ‘serbu’ Masjid Rusila

A RAHMAN HARUN

PADA 19 September lalu, jam 10 pagi penduduk di sekitar Masjid Kampung Rusila Marang, Terengganu digemparkan dengan kedatangan 15 lelaki berpakaian seragam menyerbu masuk ke masjid.

Apabila ditegur penduduk tempatan, mereka menjawab sebagai pihak berkuasa masuk ke masjid dengan memakai kasut.

Jawatankuasa Masjid Rusila pula menafikan menerima sebarang permohonan atau memberi kebenaran kepada agensi kerajaan mengadakan aktiviti di Masjid Rusila 19 September lalu.

Pengerusinya, Mohd Azri Abdul Aziz menjelaskan pihaknya tidak pernah menerima permohonan daripada agensi tersebut berkenaan latihan yang diadakan.

Isu tersebut dibangkit di Dewan Rakyat semalam oleh ahli-ahli parlimen Perikatan Nasional (PN).

Susulan itu Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia pada kenyataan menafikan dakwaan bahawa pasukan elitnya mengadakan latihan di Masjid Rusila, pada 19 September lalu.

Ketua Pengarahnya, Laksamana Maritim Rosli Abdullah dilapor menjelaskan masjid itu hanyalah lokasi persinggahan bagi para pelatih menunaikan kewajipan agama.

Sebaliknya beliau memberitahu latihan yang dijalankan ketika itu hanya sebahagian daripada silibus latihan taktikal pasukan khas kami.

Ahli Parlimen Kota Bharu Dato’ Seri Takiyuddin Hassan ketika membangkit isu tersebut meminta Kementerian Dalam Negeri memberi penjelasan terhadap kehadiran anggota Maritim di Masjid Kampung Rusila.

Latihan komando

Kata beliau tidak sepatutnya latihan Kemahiran Survival dan Pelarian (SERE) Star Team Siri 2025 itu dilakukan di rumah ibadat.

Beliau mempersoalkan apakah wujud Tatacara Pengendalian Piawai (SOP) yang ditetapkan kepada agensi kerajaan dan pihak berkuasa yang mempunyai pasukan khas untuk mengadakan latihan.

“Ini adalah latihan komando Maritim dalam sebuah masjid tanpa pengetahuan pengurusan masjid, adakah ini SOP KDN,” katanya pada perbahasan Rang Undang-undang Perbekalan 2026 di Dewan Rakyat.

Beliau memberitahu mempunyai dokumen dan salinan video yang diambil dari kamera litar tertutup (CCTV) masjid. Selain itu laporan polis yang dibuat pengurusan masjid di Balai Polis Marang.

Oleh itu beliau tidak mahu Tragedi Memali di Baling Kedah yang berlaku hampir 40 tahun lalu berulang kembali atas alasan memerangi ajaran sesat dan mengancam keselamatan negara.

Curiga

Ahli parlimen Bachok Syahir Sulaiman turut melahirkan curiga terhadap latihan dilaksanakan Maritim di Masjid Rusila baru-baru ini.

Beliau memberitahu kejadian itu berlaku tanpa makluman dan keizinan pengurusan masjid dan laporan polis dibuat meskipun Maritim menafikan tindakan itu dilakukan.

“Sekalipun ‘exercise’ itu valid, timbul persoalan mengapa dibuat di dalam masjid dan rumah ibadat? Apatah lagi lokasi yang dipilih, Masjid Rusila yang bersebelahan kediaman Presiden PAS.

“Dan jika benar dijalankan oleh Maritim mengapa tidak jalankan exercise di masjid-masjid lain yang terletak di pulau atau masjid terapung yang juga banyak di Terengganu,” kata beliau.

PAS Terengganu turut mendesak kementerian berkenaan memberi penjelasan berhubung operasi yang dijalankan Maritim Malaysia di Masjid Rusila pada 19 September lalu.

Ketua Penerangan PAS Negeri Ustaz Mohd Harun Esa berkata, pihaknya yakin akvititi terbabit dijalankan berdasarkan arahan tertentu.

“Kita tidak salahkan pihak berkuasa yang melaksanakan tugas mengikut arahan. Mereka bekerja dan berkhidmat.

“Tetapi pihak yang memberi arahan perlu bertanggungjawab dan memberi penjelasan memandangkan operasi kali ini luar daripada kebiasaan serta dilakukan di lokasi masjid dan bersebelahan kediaman Presiden PAS,” katanya pada kenyataan.

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *