Malaysia ‘dipaksa’ berunding dengan AS

KENYATAAN Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) berkaitan perjanjian perdagangan timbal balas (ART) dengan Amerika Syarikat (AS) berbeza berbanding penjelasan menteri dan perdana menteri sebelum ini.
Liew Chin Tong dilihat lebih jujur apabila tanpa bersembunyi menyifatkan Malaysia tidak mempunyai pilihan selain mengadakan rundingan dengan AS berhubung ART pada 26 Oktober lepas.
Baginya perbincangan dengan AS didorong kerana langkah unilateral Washington.
“Malaysia ‘dipaksa’ ke dalam rundingan selepas AS mengumumkan apa yang dipanggil tarif timbal balik pada April.

“Jika anda bertanya kepada saya, sudah tentu saya tidak mahu berunding. Tiada seorang pun daripada kita mahu berunding dengan AS,” katanya ketika berucap di Institut Penyelidikan Ekonomi (MIER) semalam, seperti dilapor laman berita.
Kata Liew lagi Malaysia tidak mempunyai keinginan untuk menyertai rundingan sedemikian, sebaliknya terpaksa berbuat demikian untuk melindungi pasaran eksportnya.
Situasi itu disifatkan bukan perkongsian yang sama rata kerana ia adalah tindakan unilateral AS.
Oleh itu Liew tekad untuk mengurangkan pergantungan kepada AS dan perlu mengambil pengajaran daripada episod tersebut dalam tempoh dua dekad akan datang.

Malangnya Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Menteri MITI Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz masih dilihat mahu menegak benang basah isu ART.
Salahkan pembangkang
Di Dewan Rakyat hari ini Anwar menyalahkan pembangkang kerana melihat ART dari sudut berbeza sedangkan baginya untuk manfaat rakyat.
Pendedahkan Liew seperti disiarkan sebuah laman berita, dibangkit Ahli Parlimen Kota Bharu Datuk Seri Takiyuddin Hassan ketika mengaju soalan tambahan kepada perdana menteri.

Kata beliau kenyataan Timbalan Menteri MITI seperti disiarkan The Edge semalam dengan jelas menyebut Malaysia tidak ada pilihan terhadap perjanjian tersebut.
Begitu juga kata beliau kenyataan yang dikeluarkan Jabatan Peguam Negara berkaitan ART seperti ada unsur politik.
“Adakah memorandum daripada jabatan berkenaan diangkat kepada jemaah menteri berkaitan ART. Adakah kerajaan bersedia dengan ‘a legal opinion’ daripada Jabatan Peguam Negara.
“Malah penyokong kerajaan Datuk Seri Rafizi juga menyarankan kerajaan supaya jangan sapu ART di bawah karpet,” katanya.

Namun, perdana menteri tidak menjawab isu tersebut sebaliknya memberitahu beliau menggunakan peluang berdepan secara terbuka dengan Presiden AS Donald Trump menuntut penyelesaian secara konfrehensif di Gaza.
Kata beliau setakat ini negara mana yang sebut mengenai perkara itu di hadapan Trump.
“Sebaliknya ada pihak memaki hamun atas nama agama menyalahkan kerajaan. Berapa negara yang sebut konfrehensif solusi Gaza di hadapan Trump, siapa yang berani sebut..
“Tiga kali saya sebut secara terbuka semasa pertemuan dengan Trump ketika sidang Kemuncak Asean,” ujarnya.
Tidak halus
Anwar juga menyifatkan kenyataan timbalan menteri MITI sebagai tidak halus, namun semangatnya betul.
Menurutnya kerajaan berusaha keras supaya tarif eskport ke AS dikurangkan daripada 25 kepada 19 peratus.
“Ini adalah unilateral AS dan kita harus rundingan. Dalam keadaan begitu sedaya upaya team kerajaan berunding sehingga berbulan-bulan.
“Apapun penguatkuasaan tidak boleh membelakangkan undang-undang tempatan. Jemaah menteri meneliti daripada awal sehingga akhir laporan daripada Jabatan Peguam Negara,” tambahnya.

Di sebalik kemelut tersebut Presiden Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan), Datuk Dr Dominic Lau Hoe Chai pula mendakwa perjanjian perdagangan timbal balas Malaysia-AS gagal mengembalikan keyakinan pelabur asing terhadap pasaran saham negara.
Pelabur lari
Kata beliau dalam tempoh seminggu lalu sebanyak RM884 juta dana asing dilaporkan keluar daripada Bursa Malaysia.
Ia menjadikan jumlah keseluruhan aliran keluar dari Januari hingga Oktober tahun ini mencecah RM19.2 bilion.
Menurutnya sejak Anwar menerajui negara, jumlah kumulatif dana asing yang keluar telah mencapai RM75 bilion.

“Kerajaan tidak boleh terus menafikan keadaan sebenar kerana pengunduran pelabur asing memberi kesan langsung kepada ekonomi negara.
“Walaupun kerajaan cuba menafikan keadaan sebenar, hakikat yang tidak boleh disembunyikan apabila pelabur asing terus menarik diri, pasaran akan menjadi perlahan, harga saham jatuh dan ringgit merosot,” katanya pada kenyataan.
Manakala media asing melaporkan ekonomi pembuatan besar dunia bergelut untuk meningkat pada Oktober apabila permintaan AS lemah dan tarif Trump mencacat pesanan kilang.
Tempahan baharu tertekan dan rantaian bekalan tegang bulan lepas, mengakibatkan aktiviti pembuatan menguncup bulan kelapan berturut-turut.
Sesetengah pengeluar mengadu ketidakpastian situasi tarif terus menyebabkan kekacauan dan ketidakpastian pada harga atau kos masa depan.

Di New York Khamis lepas, Senat Amerika Syarikat mengundi untuk membatalkan darurat nasional yang dijadikan asas oleh Trump dalam pelaksanaan tarif global.
Pada undian tersebut 51 menyokong dan 47 menentang. The Washington Post melapor undian itu hanya bersifat simbolik kerana Dewan Perwakilan AS telah meluluskan peraturan menghalang sebarang usaha untuk menyekat tarif Trump sehingga Mac depan.
