Manifestasi kemerdekaan hakiki di bawah teraju Islam

Oleh NORZANA RAZALY

KEMERDEKAAN hakiki bukan sekadar membebaskan diri daripada belenggu penjajahan, tetapi suatu proses berterusan untuk memerdekakan jiwa daripada tunduk kepada kuasa selain Allah SWT.

Inilah yang mendasari gagasan Membangun Bersama Islam (MBI), dan kini diteruskan dengan strategi Penghayatan Membangun Bersama Islam (PMBI) sebagai acuan pentadbiran kerajaan Kelantan.

Dalam kerangka sains politik, PMBI boleh ditafsirkan sebagai bentuk tadbir urus berteraskan nilai yang menekankan keseimbangan pembangunan fizikal dan spiritual.

Ia berfungsi sebagai ‘counter-hegemonic discourse’ terhadap naratif pembangunan sekular yang mendominasi kebanyakan wacana nasional.

Inlah yang diertikan kemerdekaan hakiki. Menteri Besar Kelantan Dato’ Panglima Perang Ustaz Mohd Nassuruddin Daud turut menegaskan kebebasan bagi umat Islam hanya hanya tunduk kepada peraturan Allah SWT.

Imam al-Ghazali menjelaskan Islam dan pemerintahan ibarat saudara kembar. Katanya pemerintahan tanpa asas agama akan runtuh, manakala agama tanpa penjaga politik akan lenyap.

Naratif itu memberi legitimasi kepada mekanisme PMBI yang memposisikan syariat Islam sebagai teras pentadbiran negeri Kelantan.

Sehingga sekarang Kelantan terus konsisten dengan dasar Islam, menjangkaui lebih tiga dekad.

Bagaimanapun, legitimasi politik berasaskan agama tidak sekadar dokumen dasar yang bersifat retorik.

“Tindakan lebih berkesan daripada bahasa percakapan,” ujar Ustaz Mohd Nassuruddin pada perasmian Konvensyen Halaqat Negeri Kelantan pada 1 September lepas.

Dakwah

Dakwah melalui teladan menjadi ujian sebenar kepada sejauh mana dasar Islam dapat direalisasikan.

Bagi mencapai kerangka tersebut setiap Muslim perlu memikul tanggungjawab berdakwah dan bukan hanya dibeban kepada segelintir pihak sahaja.

Syeikh Sa’id Hawwa menegaskan dakwah sebagai wasilah menuju tujuan lebih besar iaitu penyucian jiwa, pembentukan individu Muslim, pengukuhan keluarga dan akhirnya tertegak masyarakat Islam.

Dalam kerangka politik, dakwah bil-hal sebagai modal sosial bagi memperkukuh kepercayaan rakyat terhadap dasar Islam.

Exco Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan dan Hubungan Seranta Kelantan Ustaz Mohd Asri Mat Daud mahu kumpulan ‘Gu Penerangan’ yang ada di setiap mukim proaktif menjelaskan pencapaian negeri kepada rakyat.

“Gu Penerangan yang dilantik hendaklah bertindak sebagai jurucakap akar umbi bagi memastikan rakyat tahu pencapaian kerajaan negeri.

“Kumpulan terbabit boleh bertindak sebagai penyampai naratif kerajaan, sekali gus membentuk persepsi rakyat,” katanya di sini.

Pendekatan terbabit selari dengan budaya politik matang dan sejahtera yang membuktikan politik Islam yang diamalkan di Kelantan membudayakan interaksi konstruktif demi kesejahteraan rakyat.

Dengan penglibatan semua pihak dalam ekosistem tersebut, dasar Islam tidak lagi hanya berada di peringkat elit, tetapi menjalar ke akar umbi.

Namun cabaran utama usaha dakwah iaitu memastikan keselarasan antara retorik, dasar dan realiti melalui penyaluran maklumat tepat, jujur dan inklusif dan bukan sekadar propaganda kosong.

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *