Melayu Bangkok tidak pertahan bahasa ibunda

Oleh Aslani M |Foto Abu Khalifah |
AGAK mengejutkan apabila ditemui ramai orang Kelantan kini tinggal di Bangkok, Thailand. Nenek moyang mereka berhijrah ke ibu negara Thailand itu sejak beratus tahun lalu.
Malah, ditemui juga yang berhijrah berpuluh tahun lalu dan beberapa tahun lepas. Antaranya Che Norddin Che Husin berasal dari Bachok, Kelantan tinggal di Bangkok sejak dua tahun lepas.

Che Norddin merupakan sebagai usahawan dan kini bergerak aktif dalam NGO Muslim di Bangkok.

Selain itu Abdul Wahab Mohd Yassin tinggal di Bangkok sejak 40 tahun lepas. Beliau berasal dari Machang Kelantan. Abdul Wahab terbabit menggerakkan misi Dakwah Tabligh sehingga ke utara Thailand dan Laos.
Juga ditemui generasi kedua sehingga kelima yang berhijrah dari Kelantan ke Bangkok.
Bekas pesara National Telecom Thailand, Abdullah Abu Bakar, 63 memberitahu moyangnya Nik Hussin Nik Dir datang dari Kelantan berpuluh tahun lalu.

Emak kepada ibunya Tuan Minah pernah berkhidmat di istana di Kelantan.
Abdullah sekarang terbabit aktif dengan jemaah tabligh yang bergerak dalam misi dakwah ke merata tempat di sekitar Bangkok.
“Saya berminat dalam aktiviti dakwah sejak dahulu lagi. Dan sekarang selepas pencen di Telekom dapat tumpu banyak masa dengan kerja-kerja dakwah,” katanya ketika ditemui di Masjid Jamiul Islam Ramkhumhaeng di Soi, 53 baru-baru ini.
Beliau tidak lagi mampu bercakap Melayu memandangkan setiap hari menggunakan bahasa Siam.
Ulama Patani

Masjid asal di kawasan tersebut diasaskan ulama dari Patani lebih 100 tahun lampau, dan 53 tahun lepas dibaiki semula seperti yang ada sekarang.
Masjid tersebut terletak di tepi saliran yang dibina beratus tahun lalu menggunakan tenaga manusia termasuk dari Patani, Narathiwat, Kelantan, China dan Laos.
Laluan ke masjid melalui lorong sempit di mana kiri kanan terdapat rumah pangsa dan kedai-kedai lama. Penghuni rumah tersebut meletak motosikal di kiri kanan lorong ke masjid.
Masjid Jamiul Islam Ramkhumhaeng lebih dikenali sebagai Masjid 53 dalam kalangan penduduk tempatan kerana terletak di lorong 53 di tengah bandar raya Bangkok. Terdapat 100 lorong di kawasan berkenaan.

Ia menjadi markas bagi aktiviti dakwah. Ketika kunjungan rombongan dari Arkib PAS Kelantan kelihatan kumpulan tabligh sedang berbincang dalam kalangan mereka.
Abdullah juga berkata, terdapat kira-kira 2,000 penduduk Muslim yang tinggal di sekitar kawasan berkenaan.
Ada juga dalam kalangan penduduk Muslim dari kawasan lain tinggal di lokasi berkenaan selepas berkahwin dengan penduduk tempatan.

Ustaz Shafie Ketyu yang juga imam di masjid berkenaan memberitahu datuk neneknya berhijrah dari selatan Thailand. Kata beliau penduduk Siam di Bangkok memanggil masjid sebagai wat.
“Pada peringkat awal dibina musala di kawasan berhampiran dengan wat Buddha lebih 100 tahun lalu. Masjid tersebut diasas Imam Sukri dari Patani.
“Di sekitar kawasan ini dahulu merupakan tempat menjahit kopiah. Boleh dikatakan ia mencakupi kawasan seluas 5 km. Ramai penduduk Islam bekerja menjahit kopiah. Namun sekarang sudah tidak ada lagi,” katanya yang juga tidak boleh berbahasa Melayu.

Beliau dipertanggungjawab menjaga masjid itu. Isterinya berniaga restoran di kawasan berdekatan. Selepas pendemik Covid-19 melanda, belum diadakan lagi kuliah agama di masjid selepas solat Maghrib.
Sekarang cuma kuliah agama diadakan setiap pagi Sabtu. Seramai 60 pelajar hadir pada kuliah tersebut.
Ahli Majlis Daerah Yala, Ausman Sengsoh, 47 yang bersama rombongan Arkib PAS Kelantan bertindak sebagai penterjemah pada pertemuan dengan penduduk tempatan.
Shafie turut memberitahu masjid terbabit tidak boleh melaungkan azan Subuh menggunakan pembesar suara kerana mendapat bantahan penduduk bukan Muslim yang tinggal berdekatan.
Menurutnya juga 60 peratus penduduk Muslim di kawasan berkenaan tinggal di apartment yang dimilik orang Islam.

Kata beliau ramai penduduk Muslim tempatan menyediakan rumah sewa untuk orang luar Bangkok yang datang bekerja di kawasan berkenaan.
Sebahagian besar penduduk Muslim tempatan berniaga sebagai sumber rezeki. Selain itu ada yang bekerja dengan kerajaan Siam dan syarikat swasta.
Bahasa ibunda
Ketika ditanya mengapa beliau tidak mempertahankan bahasa ibunda, kata Shafie orang ramai bertutur bahasa Siam setiap hari menyebabkan bahasa Melayu tenggelam.
“Di sini bahasa Siam, Arab dan Inggeris sering digunakan, manakala bahasa Melayu hanya digunakan orang Muslim yang datang dari selatan Thailand,” ujarnya.

Masjid itu sering menjadi tempat persinggahan mereka yang datang ke Kota Bangkok kerana kedudukannya di tengah kota.
Pada sebelah malam di tepi jalan utama rancak dengan aktiviti jualan. Banyak gerai jualan makanan diusahakan penduduk Muslim. Orang Islam tidak menghadapi masalah untuk mendapat makanan halal.
Banyak ditemui wanita muda Muslim yang bertudung di kawasan berkenaan. Sebahagian mereka berasal dari selatan Thailand yang berhijrah mencari rezeki di Kota Bangkok.
