Meriah Ramadan di kampung Melayu pinggir Bangkok

ANDA jangan terkejut kalau bertandang ke Wilayah Phatum Thani di pinggir Bangkok, menemui penempatan orang Melayu seperti di Selatan Thailand.
Menjejaki Kampung Khlong Luang yang terletak di daerah Rangsit, Phatum Thani seumpama perkampungan orang Melayu di Malaysia dan Indonesia.
Hampir sebahagian besar penduduk keturunan Melayu. Selain itu terdapat juga etnik Pakistan, Myanmar dan Bangladesh yang sudah berpuluh tahun mendiami penempatan tersebut.
Kedudukan rumah begitu padat. Malah banyak kelihatan rumah banglo milik orang Melayu tempatan. Perkampungan itu dipisahkan khlong (saliran) yang digali menggunakan tenaga manusia beratus tahun lampau.
Komuniti Melayu hidup dalam suasana aman dan damai. Sebahagian mereka terlibat dalam sektor pertanian, perniagaan, pekerja sektor swasta, perkilangan dan kakitangan kerajaan.
Penempatan tersebut terletak hampir dua jam perjalanan dari Kota Bangkok. Sebelum sampai ke kampung tersebut kenderaan terpaksa menyusuri laluan agak sempit dari jalan utama. Boleh ditemui rumah-rumah orang Melayu yang dibina di atas air dan tebing saliran.

Lebih istimewa lagi Masjid Kaewnimitr yang dinaik taraf daripada bangunan kayu pada 1957 menjadi pusat tumpuan penduduk.
Masjid tersebut dilengkap kelas farhu ain, dewan dan balai tempat rehat yang terletak di tepi saliran. Kelas pengajian agama untuk kanak-kanak diadakan pada setiap hujung minggu. Anak-anak diajar pendidikan Islam termasuk belajar al Quran, hafazan dan pengajian fardu ain.
Penduduk tempatan juga sering mengadakan majlis kenduri di masjid tersebut dengan penyediaan makanan masih mengekalkan budaya gotong royong.
Sempena Ramadan sekarang Masjid Kaewnimitr setinggi tiga tingkat sentiasa meriah dengan pelbagai aktiviti. Solat Tarawih setiap malam sentiasa penuh.

Petang semalam diadakan majlis berbuka puasa perdana di masjid tersebut yang dihadiri ramai penduduk tempatan.
Seorang rakyat Kelantan yang kini bermestautin di Bangkok, Che Nordin Che Hussin berkata, ramai penduduk tempatan di Khlong Luang hadir pada majlis berbuka puasa tersebut.
“Sebelum berbuka puasa diadakan tahlil ramai-ramai. Seronok dapat tengok ramai masyarakat Melayu-Islam berkumpul di masjid sempena Ramadan.
“Begitu juga solat Tarawih dihadiri ramai penduduk sehingga penuh segenap ruang masjid,” katanya ketika dihubungi di Bangkok.
Imam masjid di komuniti berkenaan Haji Abdul Wahab, 72 memberitahu penempatan itu dibuka lebih 200 tahun lalu ekoran penghijrahan penduduk Melayu dari Patani.
Katanya, penduduk Melayu membuka penempatan di sini selepas berpindah dari Patani ke Khlong Luang, Phatum Thani dalam tiga fasa.
“Allah bagi tempat yang begitu cantek kepada orang Islam di sini. Tanah pertanian diusahakan dengan tanaman padi. Kami merupakan generasi kelima orang Melayu Patani yang tinggal di kawasan ini,” katanya.
