Gelanggang Rakyat

Muafakat Nasional tidak pernah mati

Oleh Salmah Mat Husain

MUAFAKAT Nasional (MN) perlu dihidupkan semula sebagai wadah penyatuan ummah demi mempertahankan agama, bangsa dan tanah air (ABATA) daripada terus terhakis ekibat perpecahan politik Melayu.

Pendakwah bebas Dr Ridhuan Tee Abdullah menggambarkan MN tidak pernah mati, sebaliknya hanya menunggu kepimpinan baharu yang lebih matang, neutral dan berjiwa besar.

Katanya, MN mampu menyatukan PAS, Umno dan Bersatu tanpa dibelenggu ego serta konflik politik lama.

Menurut beliau perpecahan politik Melayu yang berpanjangan membuka ruang kepada golongan ultra kiasu menguasai sistem kenegaraan dan menekan asas pemerintahan Melayu serta Islam.

“Ego politik akhirnya merosakkan kekuatan Melayu sehingga pihak lain mendapat kuasa dan menggunakan kuasa tersebut untuk menekan sistem kenegaraan Melayu,” katanya pada kenyataan.

MN dibentuk ekoran kuasa politik Melayu tergugat selepas Pakatan Harapan (PH) yang diketuai DAP menguasai Putrajaya pada pilihan raya umum (PRU) 2018.

Bagaimanapun kerajaan PH runtuh selepas Tun Dr Mahathir Mohamad meletak jawatan sebagai perdana menteri berikutan berlaku krisis dalaman PH di mana Bersatu keluar daripada pakatan tersebut.

Politik damai

Dr Ridhuan Tee berkata, model penyatuan MN realistik digerakkan semula bagi membawa politik damai di negara ini.

Kata beliau antara tokoh yang boleh diketengahkan bagi menggerakkan semula agenda tersebut termasuk Timbalan Presiden PAS Dato’ Sri Tuan Ibrahim Tuan Man.

Selain itu, Timbalan Presiden Umno Datuk Seri Mohamad Hasan yang mampu membawa kestabilan dan moderasi nasional, manakala Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainuddin pula memiliki pengalaman strategik dan governans.

Turut disenaraikan bagi memikul tanggungjawab tersebut Presiden Muafakat Nasional Tan Sri Annuar Musa yang berpengalaman luas merentasi Umno, BN dan PAS.

Tengku Razaleigh Hamzah turut dinamakan sebagai negarawan lama yang mampu memberi legitimasi dan hikmah.

“Gabungan watak-watak tersebut menawarkan penyatuan versi baharu yang lebih sejuk, matang dan bebas daripada drama lama.

“Penyatuan ummah tidak akan berjaya tanpa memahami tiga isu utama yang menjadi titik penentu masa depan Melayu dan negara. Isu pertama iaitu aspirasi, reformasi dan transformasi Melayu,” ujarnya.

Menurutnya aspirasi, reformasi dan transformasi Melayu yang melibatkan perjanjian antara Malaysia dan Amerika Syarikat perlu diberi perhatian serius.

Isu kedua, melibatkan peranan dan kuasa Raja-Raja Melayu yang mesti dihormati sebagai pelindung agama, Melayu, bumiputera serta Perlembagaan Persekutuan.

Kata beliau penyatuan ummah wajib mengukuhkan sebagai sendi utama kestabilan negara.

Manakala isu ketiga berkaitan Datuk Seri Najib Razak yang disifatkan sebagai luka politik Melayu menjadi garis pemisah antara penyokong serta penentang.

Menurutnya, isu tersebut perlu ditangani dengan hikmah dan tertib undang-undang agar tidak terus memecahkan umat dan merosakkan usaha penyatuan PAS, Umno dan Bersatu.

Sehubungan itu Dr Ridhuan Tee mencadangkan diadakan Himpunan Daulat Raja digerakkan di seluruh negara sebagai platform penyatuan bukan bersifat kepartian.

Beliau berkata, himpunan tersebut perlu menjadi ruang kesedaran masa depan orang Melayu dan negara.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *