Nasib malang Melayu bandar

KETIKA negara berada di bawah penjajah Inggeris, ulama muncul menuntut kemerdekaan. Mereka merintis gerakan melawan penjajah. Hizbul Muslimin yang ditubuh pada 17 Mac 1948 menjadi wadah perjuangan ulama.

Pengasasnya Ustaz Abu Bakar Al-Baqir. Bagaimanapun Hizbul Muslimin diharamkan British. Penangkapan besar-besaran dilakukan, di mana Abu Bakar ditahan di penjara.

Ulama diketepikan penjajah, dan akhirnya kemerdekaan dirunding dengan Umno. Penjajah merancang menubuh Malayan Union dengan memberi kewarganegaraan kepada semua orang dilahirkan di Tanah Melayu dan Singapura.

Begitu juga pendatang yang tinggal sekurang-kurangnya 10 tahun daripada 15 tahun sebelum 15 Februari 1942 diberi kerakyatan.

Syarat kewarganegaraan Malayan Union mempunyai hak-hak yang sama dengan penduduk asal Tanah Melayu. British lebih menyenangi Umno selepas menerima syarat ditetapkan penjajah.

Hijrah

Bermula dari situ perjuangan orang Melayu tidak pernah sepi. Selepas negara mencapai kemerdekaan, orang Melayu diajak berpindah ke bandar besar bagi mengimbang komposisi kaum.

Di ibu kota mereka meneroka kawasan pinggir bandar sehingga muncul banyak kawasan setinggan. Tanah air itu diteroka sejak berpuluh tahun. Pada tahun 1947 lebih 92 peratus penduduk bandar golongan bukan Melayu.

Di ibu negara antara 1957 hingga 1970 penduduk Melayu bertambah kepada 25.2 peratus berbanding penduduk Cina 54.7 peratus.

Pada 1975 jumlah penduduk luar bandar yang berhijrah ke Kuala Lumpur meningkat kepada 83 peratus. Bagi golongan berpendapatan rendah mereka terpaksa memilih kawasan pinggir bandar sehingga membentuk setinggan.

Antara penempatan setinggan termasuk Kampung Ayam. Perkampungan itu diteroka sekitar 1960-an apabila Menteri Besar Selangor Harun Idris mempelawa masyarakat Melayu berhijrah ke bandar.

Kemudian penempatan itu ditukar nama kepada Kampung Segambut Permai. Namun, hari ini apa sudah jadi. Seramai 33 keluarga di Segambut Permai diarah berpindah atas nama pembangunan. Dan sekarang kampung itu hanya tinggal nama tanpa penduduk.

Begitu juga Kampung Kerinchi, sebuah perkampungan Melayu yang besar selepas Kampung Baru. Kampung Kerinchi menjadi pilihan orang Melayu kerana rumah setinggan sewanya murah.

Dan sekarang di mana peta Kerinchi. Nama Kerinchi hilang apabila kawasan itu dibangunkan dengan mewujudkan Bangsar South. Dan orang Melayu tersisih kerana Bangsar South bukan lagi kawasan setinggan seperti dahulu. Rumahnya harga kayangan.

Kampung Cina

Bekas Pengerusi Umno Selangor, Noh Omar hairan mengapa hanya kawasan didiami Melayu dikorbankan atas nama pembangunan.

“Yang peliknya kampung Cina boleh pula kerajaan bangunkan dengan mengekalkan identiti asal,” katanya.

Menurut Noh sekarang DAP melaksanakan agenda Singapura, di mana Akta Pembaharuan Semula Bandar (URA) tidak perlukan persetujuan ambang 100 peratus pemilik.

Dan hanya perlukan 75 peratus sahaja persetujuan daripada keseluruhan pemilik. Pemaju boleh rampas tanah pemilik.

“Jika terjadi, bila dah berlaku nanti menangis air mata darah pun dah tak berguna lagi. Tak mustahil boleh berlaku kalau DAP berkuasa,” ujarnya pada program Sembang Santai di Kota Bharu pada 22 Jun 2023.

Pada 18 Oktober 2024 Kerajaan Madani memperuntukkan sebanyak RM84 juta kepada Kampung Baru Cina untuk menaik taraf kemudahan asas dan sosial.

Kata Perdana Menteri Anwar Ibrahim, Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) juga diberi tanggungjawab menyelaras keperluan di perkampungan kaum India.

Pada 25 Januari 2025 KPKT dilapor membelanjakan RM121.38 juta bagi projek pembangunan Kampung Baru Cina sepanjang tahun 2024.

Menterinya Nga Kor Ming berkata, peruntukan itu melibatkan pelaksanaan program dan geran sosioekonomi di 613 Kampung Baru Cina di seluruh Semenanjung.

“Tahun lalu, sebanyak 934 projek pembangunan telah dilaksanakan dengan peruntukan lebih RM107 juta termasuk kerja menaik taraf jalan, longkang, gelanggang bola keranjang, balai raya, dewan orang ramai dan kemudahan lain.

“Selain itu, sebanyak 282 rumah penduduk berpendapatan rendah dibaik pulih melalui Bahagian Kampung Baru Cina,” katanya kepada media.

URA

Berdasar senario itu ramai bimbang lokasi orang Melayu di bandar mungkin lenyap selepas Akta Pembaharuan Semula Bandar diluluskan di parlimen.

Sedangkan sebelum negara mencapai kemerdekaan kerajaan menarik migrasi orang Melayu ke bandar. Tujuannya mengimbangi komposisi kaum. Dan sekarang peliknya penempatan orang Melayu di bandar semakin dikecilkan. Apa dah jadi.

Maka tidak peliklah kumpulan peguam hak asasi Lawyers for Liberty (LFL) menyifatkan URA sebagai Akta Memperkaya Pemaju.
“Pemilik rumah dibuli, diganggu dan ditekan untuk mendapatkan persetujuan mereka,” kata penasihat LFL, N Surendran.

Oleh itu Surendran menggesa Putrajaya menarik balik rang undang-undang (RUU) URA yang giat dipromosikan Nga Kor Ming. Beliau juga menyifatkan akta itu tidak berperlembagaan.

Nah, lihat apa yang berlaku di hadapan mata kita sekarang. Penduduk pangsapuri Petaling Jaya hingga flat Kampung Sungai Baru sedang berdepan pengusiran paksa oleh pihak berkuasa.

Surendran berkata sebaik sahaja URA berkuat kuasa, kerajaan akan menggunakan Akta Pengambilan Tanah untuk mengambil alih kondominium, flat dan pangsapuri apabila menerima ambang persetujuan 75 peratus daripada pemiliknya.

“Jika kita beri kuasa kepada kerajaan, di manakah hak mempunyai harta seperti di bawah Fasal 13(1) Perlembagaan Persekutuan. Siapa yang untung? Yang paling mendapat manfaat ialah pemaju,” ujarnya seperti dilapor media.

Menurutnya juga kira-kira 13 peratus kawasan di Kuala Lumpur dikenal pasti untuk ‘pembaharuan semula’ di bawah URA, di mana keuntungan dijangkakan mencecah RM350 bilion.

Kelemahan URA menyebabkan Negeri-Negeri SG4 (Kelantan, Terengganu, Kedah dan Perlis) dengan tegas menolak RUU terbabit.

Singapura

URA pada peringkat awal mahu mencontohi model Lembaga Pembangunan dan Perumahan (HDB) di Singapura. Sedangkan HDB milik kerajaan Singapura.

Flat yang dibeli penduduk di Singapura diberi subsidi kerajaan. Pembeli juga tidak perlu membayar deposit. Pembeli membayar secara ansuran melalui potongan daripada akaunnya dalam Kumpulan Wang Simpanan Pusat (CPF), di mana pekerja menyumbang 24 peratus dan majikan 12 peratus.

Pada tahun 1988 harga flat tiga bilik di Singapura RM35,376 seunit, manakala flat eksekutif RM135,564. Biarpun harga sekarang sudah melonjak, namun kaedah pelaksanaan perumahan awam berbeza jauh dengan Malaysia.

Di Malaysia projek pembangunan dilaksanakan swasta dan bukan seperti HDB di Singapura. Yang untung pemaju, sebaliknya rakyat terus merempat.

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *