Orang Melayu di Phatum Thani kaya tanah

Oleh Aslani M |
KETIKA ditanya Melayu Bangkok, Thailand mengapa tidak mempertahankan bahasa ibunda, lantas mereka menjawab bahasa Melayu bukan bahasa utama di kota raya tersebut.
Kata mereka, bahasa Siam, Inggeris dan Arab lebih banyak dipertuturkan di Bangkok. “Jadi tiada sebab untuk kami mempertahankan bahasa Melayu, biarpun ia merupakan bahasa digunakan datuk nenek kami sejak beratus tahun lalu,” kata golongan kelas pertengahan Melayu Bangkok ketika ditemui baru-baru ini.
Peliknya mengapa pula Muslim keturunan Arab yang menetap di Bangkok juga beratus tahun lalu masih mempertahankan bahasa ibunda mereka. Inilah isunya apabila orang Melayu keliru tentang jati diri.
Umat Islam di Bangkok merupakan kumpulan minoriti yang sudah lama menjadi sebahagian daripada kehidupan kota tersebut. Kehadiran orang Islam di Bangkok sejak berabad lalu daripada berketurunan Melayu, Cham (Kemboja-Vietnam), Parsi, India dan Arab.
Sesetengah masyarakat Islam mempunyai hubungan rapat dengan istana diraja Thai sejak Kerajaan Ayutthaya. Berdasar kajian kira-kira 10 peratus penduduk Bangkok beragama Islam.

Masyarakat Islam boleh ditemui di Min Buri, Nong Chok, Bang Rak, Thonburi dan Khlong San. Kebanyakan umat Islam Bangkok bercakap bahasa Thai sebagai bahasa utama, dan sesetengah mereka masih berbahasa Melayu mengikut asal-usul keluarga.
Terdapat kajian menyebut orang Melayu Bangkok hanya bercakap tentang Melayu berkaitan sejarah zaman silam. Namun, mereka tidak memperjuangkan jati diri kebangsaan Melayu.
Jatidiri
Sebaliknya mereka memperjuangkan jati diri Islam universal. Maka mereka menggelar diri sebagai orang Thai berketurunan Melayu.
Perubahan identiti dari Melayu kepada Muslim Thai bukan proses linear. Ia bermula daripada kisah lampau akibat penaklukan, ketenteraan, strategi pentadbiran, dan kumpulan elit. Biarpun identiti luar sudah berubah, namun elemen agama masih mampu pertahankan.
Sedangkan pemahaman akar umbi sejarah begitu penting untuk membina jatidiri lebih utuh. Tanpa ada pengorbanan, konflik identiti warisan Melayu-Islam akan berkubur ditenggelami pengaruh asimilasi Bangkok.
Di tengah-tengah pencarian itu rombongan Arkib PAS Kelantan baru-baru ini menjejaki komuniti Muslim yang masih mempertahankan jatidiri Melayu yang diwarisi daripada datuk nenek mereka.

Ketika menjejaki Masjid Kaewnimitr di Khlong Luang, Phatum Thani daerah Rangsit di utara Bangkok seolah-olah kita berada di Patani atau Narathiwat.
Masjid itu bermula daripada bangunan kayu pada 1957. Sekarang sudah bertukar kepada bangunan konkrit. Di bahagian bawah dijadikan kelas pengajian agama anak penduduk. Binaannya begitu mengagumkan.
Kelas pengajian agama untuk kanak-kanak diadakan pada setiap hujung minggu. Anak-anak diajar pendidikan Islam termasuk belajar al Quran, hafazan dan pengajian fardu ain.

Imam masjid di komuniti berkenaan Haji Abdul Wahab, 72 memberitahu penempatan itu dibuka lebih 200 tahun lalu hasil penghijrahan penduduk Melayu dari Patani.
“Orang Melayu membuka penempatan di sini. Saya diberitahu orang tua, perpindahan orang Melayu Patani ke Khlong Luang, Phatum Thani dalam tiga fasa. Mereka merupakan hulubalang yang pernah terbabit dalam peperangan.
“Kawasan ini merupakan hutan belantara ketika itu. Raja Siam membenarkan hulubalang Melayu yang menjadi tawanan datang dari selatan membuka penempatan. Ia dianggap sebagai kubu perang bagi menghadapi ancaman musuh dari luar.
“Penempatan orang Islam dijadikan benteng bagi mempertahankan kerajaan Bangkok. Ketika itu generasi awal diberi peluang memiliki tanah sebanyak yang mereka mahu.
“Allah bagi tempat yang begitu cantek kepada orang Islam di sini. Tanah tersebut diusahakan dengan tanaman padi. Sekarang kami merupakan generasi kelima orang Melayu Patani yang tinggal di kawasan ini,” katanya ketika ditemui.

Penempatan bermula di tepi Sungai Choa Praya. Malah penduduk diarah menggali terusan yang bersambung dengan sungai terbabit bagi mengairi kawasan pertanian.
Kaya tanah
Rumah penduduk dibina di kiri kanan saliran. Penduduk Melayu di situ memiliki tanah setiap seorang sehingga 200 rai (80 ekar). Maka tidak hairan sebahagian mereka memiliki harta yang banyak.
Kata Abdul Wahab bagi keluarga Melayu yang tidak menjual tanah kepada bangsa lain, mereka dikategorikan sebagai golongan kaya.
Malah, ada dalam kalangan penduduk Melayu yang kesuntukan wang menjual tanah yang dimiliki datuk nenek moyang mereka kepada bangsa lain kerana harga yang ditawarkan begitu mahal.
Masjid Kaewnimitr terletak di tengah penempatan itu. Komuniti Islam di situ juga membina dewan yang dilengkapi pejabat di tepi saliran. Masjid tersebut juga dijadikan markas jemaah tabligh.

Di daerah Phatum Thani terdapat sebanyak 32 masjid yang dibina penduduk hasil keringat mereka. Di Kawasan berkenaan juga terdapat ramai komuniti Rohingya yang berpindah dari Myanmar sejak beratus tahun lalu.
Abdul Wahab juga memberitahu masjid terbabit masih lagi mempertahankan pembelajaran kitab jawi yang diajar tiap-tiap malam.
“Pengajian kitab jawi dari Patani diadakan bagi membolehkan generasi sekarang faham bahasa Melayu. Mereka belajar bahasa melalui pengajian kitab.
“Hanya melalui kaedah itu boleh mendidik generasi muda menguasai bahasa Melayu. Ini kerana setiap hari ketika berada di sekolah mereka menggunakan bahasa Siam. Begitu juga penggunaan gajet dalam bahasa Thai,” ujarnya.

Pakai kain sarung
Menurut beliau juga penduduk tempatan masih lagi mempertahankan budaya memakai kain sarung dan kopiah ketika datang solat di masjid. Tradisi terbabit dipertahankan sejak dahulu sehingga sekarang.
Malah ketika majlis kenduri kendara penduduk tempatan juga mereka mempertahankan budaya memakai kain sarung.
“Sebab itulah kami mudah kenal orang luar yang datang sini. Biasanya mereka pakai seluar ketika solat. Mudah hendak cam orang luar yang datang ke sini,” tambahnya yang pernah mendalami ilmu agama di Pakistan.
Majlis kahwin yang diadakan dilakukan secara gotong royong penduduk tempatan. Ia masih lagi dipertahankan sehingga sekarang.
Di Phatum Thani juga terdapat sekolah agama, pusat pengajian pondok dan tahfiz. Generasi baharu orang Melayu sering dipesan supaya mempertahankan tanah yang diwarisi mereka.

Seorang lagi imam masjid Ismail Samsuddin, 77 memberitahu beliau mewarisi tugas imam daripada ayahnya sejak 20 tahun lalu. Beliau pernah belajar agama di Patani. Mempunyai 11 anak dan sebahagian besar sudah bekerja.
“Saya suka tinggal di kampung ini kerana masih ramai orang Melayu yang boleh bertutur bahasa ibunda kami. Boleh dikatakan kawasan ini aman damai,” katanya.
Haji Daud Abdullah, 78 juga mempunyai bendang yang luas dan ada yang sudah tidak dapat diusahakan dengan tanaman padi, dijual kepada pihak lain.

Menurutnya juga ada orang Kelantan yang datang ke kampung tersebut berpuluh tahun lampau dan berkahwin dengan wanita tempatan.
Antaranya moyang kepada pelajar tahfiz, Nusri bin Salleh bin Zakaria al Kelantan, 10 berasal dari Bachok, Kelantan.
Pelajar terbabit merupakan juara hafazan al Quran peringkat kebangsaan Thailand. Pernah menyertai pertandingan di negara Arab.

Moyangnya membuka kelas pengajian al Quran di Phatum Thani selepas berhijrah ke Thailand. Beliau mengajar al Quran kepada penduduk tempatan. Sekarang bakat dimiliki moyangnya diwarisi Nusri.
