Orang Melayu diami Pulau Pinang sebelum datang penjajah

Oleh UMMU AMMARAH
SEJAK sekian lama kita dimomok latar sejarah tanah air daripada acuan penjajah. Lebih malang lagi naratif sejarah seperti itu dimuat dalam buku teks yang diajar di sekolah.
Malang sungguh nasib orang Melayu. Contoh paling jelas apabila buku sejarah yang diajar di sekolah menggambarkan Francis Light dari England membuka Pulau Pinang pada tahun 1786.
Sedangkan ketika kedatangan Light sudah ada penempatan orang Melayu di Pulau Pinang. Penempatan utama di Batu Uban wujud sekitar tahun 1730-an diasaskan pendatang dari Minangkabau.
Dato’ Keramat dan Dato’ Jenaton merupakan antara pihak yang merintis kewujudan perkampungan Melayu di Pulau Pinang. Orang Melayu khususnya dari Minangkabau sudah lama menetap di Batu Uban.
Mereka berasal dari Batu Sangkar kemudian berhijrah ke Batu Uban. Manakala orang Melayu dari Payakumbuh berpindah ke pesisir Sungai Pinang.
Menurut catatan sejarah Batu Uban dibuka sekitar 1730-an. Sejarah tersebut turut dicatat Prof Dato’ Dr Ahmad Murad Merican melalui dan kajian yang panjang.

Hasil kajian dan penyelidikan mendalam akhirnya dibuku Dr Ahmad Murad dalam buku ‘Batu Uban Sejarah Awal Pulau Pinang’.
Berpandu kepada sejarah tersebut dan pelbagai sumber kajian maka tidak hairanlah Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah menzahirkan keperluan supaya isu berkenaan dijelaskan secara telus termasuk berkaitan pajakan.
Orang ramai juga boleh merujuk dokumentasi sejarah yang ditulis R. Bonney bertajuk ‘Kedah 1771-1821: The Search for Security and Independence’. Bonney menghuraikan perkara itu dengan cermat.
Tidak mengejutkan apabila sarjana barat terbabit mendakwa pengambilalihan Francis Light dan Syarikat Hindia Timur pada 1786 ke atas Pulau Pinang adalah tidak sah.
Malah, kerajaan Kedah turut melantik pasukan penyelidik terdiri daripada pakar sejarah dan perundangan untuk menjalankan kajian komprehensif mengenai perkara berkenaan.
Kedah juga dalam fasa akhir memuktamadkan pelantikan pasukan guaman bagi memulakan tindakan perundangan berhubung isu kedudukan dan hubungan negeri itu dan Pulau Pinang.

Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor memberitahu pasukan terbabit melaksanakan analisis mendalam, menyedia dokumen serta memulakan proses tindakan perundangan di mahkamah.
Royalti
Pada 2021, kerajaan Kedah menuntut bayaran royalti pajakan Pulau Pinang sebanyak RM100 juta daripada Kerajaan Persekutuan selepas ia tidak pernah dinilai semula sejak 1786.
Usaha kerajaan Kedah bertujuan membetulkan semula naratif kuno berkaitan Pulau Pinang yang sudah lama berputar di tanah air kita.
Bagi Persatuan Sejarah Malaysia Cawangan Kedah isu berbangkit mengenai taraf Pulau Pinang bukan sesuatu yang luar biasa. Ini kerana perubahan taraf pemerintahan sesebuah negeri atau daerah sering berlaku dalam sejarah.
Hak Sultan Kedah

Pengerusi Persatuan Sejarah Malaysia Kedah Dr Ibrahim Bakar menyifatkan kedaulatan Pulau Pinang masih menjadi hak yang sah kepada Sultan Kedah.
Beliau memberi contoh, Patani mengalami banyak perubahan pentadbiran selepas dijajah Siam pada 1785, di mana dipecahkan kepada tujuh negeri kecil pada 1816.
Pada tahun 1902 semua raja-raja negeri kecil di Patani dibayar pencen dan tujuh negeri dikecilkan kepada empat negeri sahaja.
Dan pada tahun 1916, pentadbiran semua empat negeri terbabit dimansuhkan, ditukar kepada taraf ‘changwad’ (province) dan diadakan tiga changwad,” katanya pada kenyataan di Alor Setar baru-baru ini.

Dr Ibrahim menjelaskan situasi hampir serupa berlaku di Kedah apabila negeri Kubang Pasu Darul Qiyam yang dibentuk pada 1842 diserah kembali di bawah pemerintahan Sultan Ahmad Tajuddin Mukarram Shah pada 10 November 1864.
Baginya perubahan pentadbiran sesuatu tempat di mana-mana pun boleh berlaku, seperti Pulau Pinang yang mana kedaulatannya masih menjadi hak yang sah Sultan Kedah.
“Oleh itu, di sini tidak ada isu yang luar biasa. Justeru, semua orang tidak perlu khuatir, bimbang, melatah atau berasa gundah gulana,” ujarnya.
Beliau turut menasihatkan semua pihak supaya bertenang, sebaliknya perlu diadakan perbincangan peringkat tinggi susulan titah Sultan Kedah.

“Tidak perlu ada kata-kata seperti ‘balik Tongsan’ atau ‘balik India’ atau sebagainya oleh suatu pihak. Sebaliknya di suatu pihak lain tidak perlu ada rasa bimbang yang keterlaluan, dengan mengeluarkan cacian balas. Semuanya tidak memberikan manfaat.
“Perkara yang mudah tidak perlu dirumitkan. Rakyat yang bekerja, terus bekerja, Komtar tetap berdiri seperti biasa, orang Cina tetap berniaga seperti dahulu, restoran nasi kandar juga boleh beroperasi seperti sedia kala,” katanya.
Tambahnya hanya ahli politik yang tidak bertanggungjawab akan menakut-nakutkan rakyat.
Beliau juga berhujah amat bertuah bagi rakyat Pulau Pinang, yang dahulunya berasal daripada keturunan ‘the British subjects’, dengan ura-ura limpah kurnia hendak diterima sebagai ‘rakyat negeri baginda’, dengan angka keramat ‘02’.
Serah Langkawi

Isu tuntutan Kedah tambah nyaring apabila Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok mencadangkan Pulau Langkawi diserah kepada kerajaan Persekutuan kerana menganggap tidak maju di bawah pemerintahan PAS.
Pemimpin DAP terbabit dianggap sebagai tidak menghormati tanah jajahan takluk di bawah naungan Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah.
Kenyataan pemimpin DAP terbabit mengundang tindak balas pemimpin PAS dan Umno yang menganggap Teresa menghormati titah Sultan Kedah.
Malah, PAS Kedah menyokong langkah kerajaan negeri berkaitan isu kedudukan serta hubungan negeri itu dengan Pulau Pinang.
Pesuruhjaya PAS Kedah Datuk Ahmad Yahya berkata, tuntutan Kedah amat jelas supaya menilai pajakan Pulau Pinang dan pemberian pampasan terhadap pengambilan sumber air dari Sungai Ulu Muda.

Beliau mempersoalkan mengapa Kedah seolah ditindas terhadap hak tersebut.
Kenyataan pemimpin DAP turut mendapat kecaman Umno Kedah yang menyifatkan cadangan Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok agar Pulau Langkawi diserah kepada kerajaan Persekutuan sebagai tindakan yang tidak menghormati tanah jajahan takluk di bawah naungan Sultan Kedah.
“Cadangan itu tidak sensitif serta menyinggung perasaan rakyat. Umno Kedah menyifatkan cadangan Ahli Parlimen Seputeh itu tidak menghormati Tuanku Sultan Kedah selaku Raja yang memerintah Kedah dan menaungi segala tanah jajahan takluknya.
“Beliau sewajarnya lebih peka dan sensitif dalam setiap apa yang hendak dibicarakan walau di mana-mana platform sekalipun,” kata Pengerusi Umno Kedah, Datuk Seri Mahdzir Khalid pada satu kenyataan.
Apakah pemimpin DAP tidak mendalami sejarah. Kenyataan seumpama itu boleh dianggap menyentuh 3R kerana ia melibatkan Raja yang ada kedaulatan ke atas tanah jajahannya.
Mahdzir menegaskan perkara seumpama itu tidak boleh sewenang-wenangnya dibicarakan secara terbuka kerana ia melibatkan martabat Sultan Kedah yang menaungi tanah jajahan takluk termasuk Langkawi.

Kalau diamati kenyataan berunsur provokasi terbabit bukan sekali dikeluarkan pemimpin DAP.
Maka tepatlah seperti kata Mursyidul Am PAS Datuk Tuan Guru Hashim Jasin, Perikatan Nasional (PN) sedia bekerjasama bentuk kerajaan baharu di Sabah tanpa melibatkan DAP.
