Terus Terang

Pakaian artis Muslim tenggelam di sebalik ekspresi seni

Oleh Siti Zailah Mohd Yusoff

ISU pakaian artis kembali menjadi topik hangat apabila beberapa penampilan selebriti menimbulkan pelbagai reaksi hangat dalam masyarakat.

Kritikan terhadap pakaian kumpulan Dolla menimbulkan perdebatan. Keluhan pereka fesyen mengenai tajaan busana, gaya lelaki yang semakin ‘gender-fluid’, dan trend muslimah moden dalam kalangan selebriti, mencerminkan perubahan besar dalam landskap fesyen artis di Malaysia.

Namun, di tengah perkembangan fesyen global, wujud satu persoalan penting bagaimana keseimbangan dapat dicapai antara kebebasan berkarya dan tanggungjawab sosial, terutama bagi artis Muslim yang sering muncul di ruang awam?

Malaysia didiami masyarakat majmuk, namun majoriti rakyatnya beragama Islam dan agama rasmi Persekutuan juga adalah Islam.

Walaupun terdedah kepada budaya global melalui media sosial, nilai kesopanan dan ketatasusilaan masih dijadikan kayu ukur utama dalam menilai penampilan seseorang termasuk golongan selebriti.

Kes Dolla misalnya, menunjukkan bahawa masyarakat masih sensitif terhadap gaya berpakaian yang dianggap terlalu seksi atau mencolok mata. Kritikan bukan sekadar soal estetika, tetapi soal identiti dan budaya yang dirasakan tidak dihormati.

Dalam konteks ini, pakaian artis bukan sekadar pilihan peribadi. Ia dibaca sebagai simbol nilai dan contoh kepada jutaan penonton, khususnya remaja.

Islam tidak melarang fesyen. Namun Islam menetapkan prinsip asas:

. Menutup aurat mengikut garis panduan syarak.

. Tidak bertujuan menarik perhatian yang berlebihan (tabarruj jahiliyah).

. Mengangkat maruah diri, bukan merendahkannya.

. Tidak meniru gaya yang bercanggah dengan identiti jantina.

Ini sejajar dengan firman Allah SWT:

Wahai anak Adam, pakailah perhiasanmu (yang bersih dan menutup aurat) setiap kali kamu ke masjid…” (Surah al-A‘raf: 31)

Ayat ini menunjukkan bahawa pakaian dalam Islam bukan sahaja memiliki fungsi fizikal, tetapi juga membawa nilai etika kesopanan, kebersihan dan kehormatan diri.

Dalam konteks artis, prinsip ini lebih tinggi nilainya kerana mereka berada di ruang awam dan mempunyai pengaruh yang besar. Justeru pakaian bukan lagi menjadi pilihan peribadi semata-mata, malah ia sebenarnya tanggungjawab sosial.

Ulasan netizen bukan lagi sekadar pandangan kosong di galeri penonton semata-mata, malah netizen juga boleh bertindak sebagai ‘pengawas moral’.

Reaksi netizen boleh mempengaruhi tindakan penganjur acara, imej artis, trend hiburan dan malah polisi sesebuah kementerian.

Normalisasi

Walaupun kadangkala kritikan netizen ada ketikanya keterlaluan, namun ia menggambarkan kebimbangan masyarakat terhadap contoh yang dibawa artis, terutama kepada generasi muda.

Kebimbangan tersebut selaras dengan tuntutan Islam yang menekankan amar makruf dan nahi munkar dengan menjaga adab dan hikmah.

Untuk memastikan perkembangan fesyen tidak bercanggah dengan nilai Islam dan budaya Malaysia, beberapa pendekatan perlu dilihat secara serius:

1. Penguatkuasaan Garis Panduan Pakaian Artis Muslim

Tanpa menyekat ruang kreativiti, garis panduan ini akan membantu artis memahami batas syarak dalam ruang awam. Namun, sekiranya ia tidak dipatuhi, perlu ada tindakan undang-undang bertujuan melindungi masyarakat daripada normalisasi perbuatan yang bercanggah dengan nilai Islam dan budaya Malaysia.

Sejarah menunjukkan bahawa polisi yang bersifat nasihat semata-mata, kod etika yang tidak mengikat serta garis panduan tanpa penalti yang jelas sering gagal mengubah tingkah laku industri hiburan.

Apabila artis atau penganjur tidak takut terhadap sebarang implikasi, garis panduan akan dipandang ringan.

2. Pendidikan Fesyen Patuh Syariah

Agensi kerajaan seperti Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) perlu mengadakan kerjasama dengan institut fesyen, universiti, dan pereka Muslim untuk melahirkan pereka fesyen yang mahir memadukan kreativiti yang patuh syariah.

Ini penting kerana penampilan artis berada di ruang awam, ditonton jutaan peminat dan memberi kesan psikologi serta budaya kepada remaja.

Aspek halal bukan sahaja perlu dilihat pada makanan, minuman dan produk pengguna sahaja, tetapi juga perlu dilihat dan skop pematuhan syariah yang lebih luas.

3. Kempen Kesedaran Peminat

Para peminat khususnya dari kalangan netizen perlu dididik dan dipupuk kefahaman bahawa artis tidak seharusnya dijadikan standard mutlak sebagai model kecantikan atau nilai.

Seni dan hiburan dibenarkan dalam Islam selagi tidak melanggar batas syarak, tidak menormalisasikan maksiat dan tidak merosakkan akhlak generasi muda.

Isu pakaian artis di Malaysia bukan hanya merupakan isu fesyen, malah ia mencerminkan pertarungan nilai, arus globalisasi dan perubahan identiti masyarakat.

Jika industri hiburan ingin terus berkembang dan bermaruah, semua pihak termasuk artis, penganjur acara, pereka fesyen, agensi kerajaan, dan para peminat perlu memainkan peranan masing-masing.

Sudah tiba masanya kita semua mengambil serius untuk membina ekosistem hiburan yang bukan sahaja kreatif dan kompetitif, tetapi juga selaras dengan identiti Muslim dan budaya Malaysia.

Justeru, tindakan tegas, pendidikan secara berterusan serta pembudayaan kesopanan mesti digerakkan bersama sebagai satu gerakan nasional.

Malaysia hanya akan melahirkan generasi muda yang berakhlak jika nilai tersebut dipertahankan tanpa kompromi, penuh integriti dan tanggungjawab.

#Penulis merupakan anggota Parlimen Rantau Panjang

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *