SALMA HUSIN

KOTA BHARU: Pengerusi Muafakat Nasional melahirkan komitmen untuk terus menggalas tanggungjawab bagi menjayakan misi dan visi PAS sebagai sebuah gerakan siasah, dakwah dan tarbiah.
Tan Sri Annuar Musa berkata, beliau akan memberi khidmat selagi termampu untuk bersama menjayakan misi PAS kerana peranan parti itu sangat penting untuk kemaslahatan ummah.
“Saya yakin dasar dan perjuangan PAS sebagai jawapan kepada pelbagai cabaran yang dihadapi negara sekarang,” ujarnya pada kenyataan di sini.
Baru-baru ini Presiden PAS Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang mengumumkan pelantikan Ahli Jawatankuasa (AJK) PAS Pusat bagi penggal 2025-2027.
Mereka termasuk Menteri Besar Perlis, Mohd Shukri Ramli; bekas Pesuruhjaya PAS Perak, Razman Zakaria dan Annuar.
Sehubungan itu Annuar yang juga bekas Setiausaha Agung Umno menzahirkan penghargaan kepada pimpinan PAS di atas kepercayaan dengan melantiknya sebagai AJK PAS Pusat sesi 2025-2027.
“Saya juga berterima kasih kepada PAS Melaka atas ucapan tahniah dan sokongan terhadap pelantikan tersebut,” ujarnya.
Menurutnya juga PAS diyakini mampu menangani pelbagai cabaran yang sedang dihadapi negara sekarang.
