SEPANJANG perjalanan lebih 70 kilometer dari Kota Bharu ke Kuala Krai pada 30 Ogos lepas agak sukar ditemui kenderaan melekat bendera Malaysia.
Sedangkan kenderaan bertali arus. Ramai perantau pulang bercuti di kampung. Begitu juga situasi pada Hari Kebangsaan 31 Ogos, tidak banyak ditemui kenderaan membawa bendera.
Pemilik kenderaan seperti tidak menghiraukan sambutan Hari Kebangsaan. Kalau ada kenderaan memasang Jalur Gemilang ia boleh dibilang dengan jari. Tidak lagi seperti sebelum ini.
Apakah isyarat yang mahu diterjemahkan rakyat. Kata seorang pensyarah kesedaran terhadap erti sebuah kemerdekaan dalam kalangan anak muda semakin dilupakan.
“Kira-kira 80 peratus anak muda dikatakan tidak lagi mempeduli sambutan Bulan Kemerdekaan berbanding hanya 20 peratus sahaja yang masih menghayati semangat patriotisme,” katanya seperti disiarkan laman berita dua tahun lepas.
Siapa hendak dipersalahkan. Malah, sebelum ini pemimpin kerajaan Madani pernah mengakui kelemahan penyebaran maklumat berkaitan kerajaan. Kelemahan komunikasi atau isu lain.
Tahun ini tema Hari Kebangsaan 2025 ‘Malaysia Madani: Rakyat Disantuni’. Tema itu diumumkan Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil.
Disiasat
Lihat yang berlaku terhadap Ketua Pemuda MCA Pahang Wong Siew Mun. Beliau mendakwa terpaksa memberi keterangan sehingga tiga jam di pejabat Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia (SKMM) semalam.
“Saya hargai profesionalisme pegawai yang bertugas. Saya tahu mereka hanya jalankan arahan. Tetapi hakikatnya pedih di negara ini, berkata benar dianggap satu ‘kesalahan besar’.
“Apa yang saya cakap dalam video saya bukan fitnah, bukan rekaan. Ia semua berpandukan teks rasmi RUU kerajaan sendiri – hitam putih ada di situ,” katanya pada catatan di laman sosialnya.
Menurut Siew Mun, kita baru sambut Hari Merdeka ke-68, tetapi pengalamannya membuktikan – kebebasan itu masih rapuh.
“Kalau masih ada pihak yang cuba menjajah minda dan kehidupan rakyat, apakah makna sebenar merdeka? Saya tidak akan tunduk..” ujarnya.
Situasi serupa juga berlaku terhadap bekas perdana menteri Muhyiddin Yassin. SKMM mengambil tindakan menyiasat kenyataan penafian Muhyiddin dakwaan mempertahankan hak warga asing dalam isu penyasaran subsidi RON95.
Pada kenyataan sebelum ini SKMM mengambil maklum kenyataan media Pejabat Perdana Menteri supaya siasatan dijalankan berhubung satu dakwaan yang dinafikan Muhyiddin.
Inilah antara punca semangat patriotik rakyat Malaysia semakin pudar. Jentera kerajaan seperti dibiar menjadi alat politik.
Rakyat bangkit
Bagi Mufti Perlis Dr Mohd Asri Zainul Abidin, perkembangan yang berlaku mutakhir khususnya isu adik Zara Qairina sebagai kebangkitan rakyat.
Menurutnya rakyat sudah hilang kepercayaan terhadap sistem yang adil yang mampu membela nasib mereka.
“Sama ada itu benar atau tidak, ia soal yang kedua. Apa yang penting, kepercayaan telah hilang,” katanya seperti dilapor media.
Gelombang rakyat seperti mengulangi apa yang berlaku pada 2018. Rakyat menolak kerajaan Barisan Nasional (BN) kerana banyak kebejatan yang berlaku. Paling ketara isu 1MDB.
Rakyat terpaksa menanggung beban hutang 1MDB melalui pembayaran hutang dan faedah. Sejak 2017 berbilion RM dibelanjakan untuk melunas hutang 1MDB dan SRC International.
Gelombang Indonesia
Akhirnya kerajaan BN tumbang, antaranya dijaja pembangkang isu tersebut. Lebih membimbangkan lagi sehari dua ini gelombang rakyat membadai Indonesia.
Kebangkitan rakyat Indonesia selepas kematian Affan Kurniawan. Menurut media tanah seberang, isunya bermula rakaman tarian kegembiraan ahli-ahli Dewan Perwakilan Rakyat Indonesia ekoran kenaikan elaun.
Isu itu mencetuskan kemarahan rakyat Indonesia. Mereka mendakwa wakil rakyat berjoget sedangkan rakyat sedang menderita.
Kematian Affan Kurniawan dilapor dilanggar kenderaan polis disebut media Indonesia bagaikan bahan bakar yang benar-benar menggoncang negara itu.
Peristiwa itu berulang selepas hampir 30 tahun reformasi tercetus di negara terbabit. Pada 27 Julai 1996 mahasiswa menuntut perbaikan ekonomi.
Aksi mahasiswa bermula dalam kampus kemudian merebak ke luar kampus pada Mac 1998. Mahasiswa berdemonstrasi setelah Soeharto terpilih sebagai presiden untuk period ketujuh pada Sidang Umum MPR tanggal 10 Mac 1998.
Akhirnya pada 21 Mei 1998 Soeharto mengumumkan meletak jawatan Presiden Indonesia. Soeharto berkuasa selama 32 tahun dan diganti BJ Habibie.
Soeharto tumbang selepas 32 tahun berkuasa. BN lagi hebat, tumbang selepas 61 tahun mentadbir negara. Kerajaan Pakatan Rakyat (PH) pula jatuh selepas 22 bulan. Dan Perikatan Nasional terajui negara 32 bulan.
Mungkin dalam situasi sekarang hayat kerajaan Madani boleh diheret sehingga 18 November 2027. Ini bermakna kuasa politik kerajaan Madani bersisa dua tahun lagi.
Mungkin lebih bernasib baik berbanding usia kerajaan PH dan PN.
Namun, isyarat yang berlaku sekarang memperlihatkan blok Madani juga sukar mempertahankan kerajaan. Nyayian kerajaan sepenggal sudah kedengaran.
GRS panik
Isu Zara juga menggambarkan kerajaan Gagasan Rakyat Sabah (GRS) semakin di hujung tanduk. Wisel pilihan raya negeri seperti sukar ditiup biar pun edah penggal ke-16 sudah hampir.
Gelombang adik Zara mempamerkan keberanian luar biasa rakyat Sabah. Kerajaan GRS sejak awal lagi terpalit isu keluar parti. Pada PRU-16 empat Ahli Parlimen Bersatu Sabah bertanding atas tiket GRS.
Mereka iaitu Ahli Parlimen Papar Armizan Mohd Ali, Khairul Firdaus Akbar Khan (Batu Sapi), Jonathan Yasin (Ranau) dan Matbali Musah (Sipitang).
Bagaimanapun mereka bersama 12 Adun mengumumkan keluar Bersatu pada 10 Disember 2022, namun kekal bersama GRS.
Bersatu melebarkan sayap ke Sabah pada 2019 dan Hajiji yang juga bekas pemimpin Umno dilantik sebagai ketua.
Pada September 2020 Bersatu Sabah bersama Parti Bersatu Sabah (PBS), Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) dan Parti Maju Sabah (SAPP) membentuk GRS bagi menghadapi PRN-16 bersama BN.
Mungkinkah kerana langkah tempang Hajiji menyebabkan beliau terpaksa menghabis tempoh 5 tahun usia kerajaan GRS sehingga rapat ke dinding. Riak mulai kelihatan blok lain bakal menerajui Sabah.
