Peluang PAS lahir wakil rakyat sulung di Sabah

Oleh M Faqih
PELUANG untuk melahirkan wakil rakyat sulung PAS di Sabah melalui Perikatan Nasional (PN) dijangka menjadi kenyataan memandangkan penyandang pada pilihan raya negeri (PRN) lepas menang dengan majoriti tipis.
Paling ketara kawasan Dewan Undangan Negeri (Dun) Karambunai hanya dimenangi Barisan Nasional (BN) pada PRN lepas majoriti 16 undi.
PRN kali PAS menurunkan Pesuruhjaya PAS Sabah Datuk Dr Aliakbar Gulasan, seorang profesional yang dekat dengan rakyat bagi mencabar BN dan parti-parti lain di Dun Karambunai.
Peluang PN-PAS juga cerah di Dun Petagas memandangkan Warisan dan Pakatan Harapan (PH) hanya menang 126 undi. PAS menampilkan profesional muda yang juga doktor perubatan Dr Afifi Saif di Dun terbabit.
Selain itu Dun Balung yang hanya dimenangi BN dengan 580 undi pada PRN lepas, kini tergugat apabila ditenggelami isu dakwaan rasuah membabitkan Pengerusi Umno Sabah Datuk Seri Bung Moktar Radin.

PN-PAS juga mengetengahkan anak muda yang juga seorang doktor perubatan Dr Munzier Mahamud bagi mencabar penguasaan BN di kerusi terbabit.
Peluang juga terbuka bagi PAS-PN di Dun Kunak yang hanya dimenangi Warisan-PH pada PRN lepas dengan majoriti 589 undi.
Begitu juga di Dun Merotai perpecahan Warisan dan PH pada PRN kali ini memberi peluang kepada PN-PAS melalui Hasan Haris menguasai Dun terbabit. Pada PRN lepas Warisan-PH menang dengan majoriti 1,587 undi.
Dun Tanjung Batu biarpun dikuasai BN pada PRN lepas dengan 2,123 undi, namun reputasi Umno yang semakin merudum menyukarkan parti terbabit mempertahankan Dun berkenaan.
Pada PRN kali ini PN-PAS menampil aktivis masyarakat Ahmad Dullah yang sudah lama bergelumang dengan rakyat di Tanjung Batu.
Daripada enam kerusi diwakili PAS-PN, empat kerusi dianggap memberi ruang lebih cerah dengan mengambil kira majoriti dimenangi penyandang begitu kecil.
Warisan bersendirian
Selain itu perpecahan Warisan dengan PH pada PRN kali ini memberi ruang kerusi terlepas kepada parti lain. PH kali ini bekerjasama dengan GRS yang menjadi musuh tradisi Warisan.

Di Kunak, PN-PAS menawarkan program upaya ekonomi bagi membantu usahawan tempatan dengan mewujudkan Pusat Latihan Usahawan untuk melatih berkaitan branding, kewangan, pemasaran digital dan ejen Shopee atau TikTok Shop.
Selain itu menyediakan tapak niaga kekal dan berpusing untuk peniaga kecil tanpa mengenakan kadar sewa tinggi.
Calon PN-PAS Kasman Karate turut memberi fokus kepada golongan B40 dan ibu tunggal. Turut ditawarkan program pemberdayaan nelayan, petani dan peniaga kecil.
“Jika menang nanti dalam tempoh 60 hari, saya berjanji untuk tubuh segera Pusat Khidmat serta menyumbangkan 20 peratus elaun untuk Tabung Kebajikan Dun, di samping membentuk sukarelawan rakyat,” ujar Kasman.

Beliau juga merancang Program Kesihatan Keluarga Kunak melalui pemeriksaan kesihatan percuma, kaunseling keluarga dan bengkel pemakanan sihat.
Program harmoni dan budaya rentas kaum membabitkan kaum Bugis, Bajau, Suluk, Idahan, Dusun, Cina dan lain-lain turut diberi keutamaan.
Calon terbabit juga akan menyediakan laporan 100 Hari Adun, laporan prestasi dwitahunan dan menganjur sesi dialog rakyat setiap enam bulan.
Pembangunan kemudahan internet komuniti, program perumahan rakyat (PPR), masjid dan kedai rakyat untuk mudahkan urusan pembelajaran dan ekonomi digital turut diperjuangkan Kasman.
Tidak ketinggalan kemudahan infrastruktur asas iaitu jalan, elektrik dan bekalan air. Manakala bagi golongan belia Kunak akan diusahakan naik taraf padang, gelanggang dan pusat komuniti masyarakat.
Belia Kunak akan didedahkan program e-sukan, seni, inovasi dan keusahawanan serta bimbingan kerjaya.

Pada PRN ini Kasman akan berdepan dengan lima lagi calon iaitu Datuk Norazlinah Arif (GRS-Gagasan Rakyat), Roselih Lumayan (PIS), Ismu Isyam Arsad (PPRS), Datuk Seri Anil Jeet Singh (BN) dan Datuk Jasa @ Ismail Rauddah (Warisan).
Pada PRN 2020 Norazlinah Arif mewakili Warisan Plus menang dengan majoriti 589 undi. Pada Sabtu ini seramai 24,854 pemilih akan membuat percaturan baharu di Kunak.
Peluang PN-PAS di Dun Balung juga terbuka luas. Cabaran bagi melahir dimensi baru politik digerakkan Dr Munzier Mahamud, seorang anak muda yang penuh ilmu di dada.
Pelbagai usaha dicetus bagi membantu rakyat di Balung supaya setanding dengan kawasan lain di pinggir bandar.

Bekalan air
Dr Munzier merancang membuka peluang baru kepada penduduk di Balung dengan usaha menaik taraf infrastruktur termasuk jalan raya, elektrik, bekalan air, sekolah dan pelbagai kemudahan rakyat.
Masalah bekalan air berlarutan agak lama sehingga setiap rumah perlu menyediakan tong biru bagi menadah air hujan dan mendapat bekalan yang dihantar kerajaan menggunakan lori.
Selain itu merencana program pembangunan belia, NGO komuniti, liga sukan, mentor akademik dan peluang kerjaya.
Beliau juga akan memperjuangkan keperluan tanah pertanian untuk rakyat melaksanakan program usahawan agro bumiputera melalui bidang penternakan dan akuakultur.
Sesuai dengan kerjayanya sebagai doktor perubatan Dr Munzier merancang program kesihatan rakyat, akses rawatan pakar, program pendidikan kesihatan dan kesejahteraan komuniti. Bantuan pengangkutan khas sekolah dan golongan kurang upaya juga akan diberi keutamaan.
Selain itu berusaha memberi bantuan murid dan kemudahan sekolah agama rakyat. Manakala bagi memudahkan rakyat membuat sebarang aduan akan disediakan Pusat Khidmat Bergerak dan aduan rakyat digital.

Tabung Kebajikan Rakyat Balung juga akan disediakan bagi membantu penduduk miskin.
Pada PRN lepas Dun Balung dimenangi Hamild @ Hamid Awang daripada BN dengan majoriti 580 undi. Dan pada Sabtu ini 22,252 pengundi akan membuat penentuan baharu bagi merubah wajah lama Balung.
Erwan Palateh yang mewakili BN akan dicabar Dr Munzier (PN-PAS), Syed Ahmad Syed Abas (GRS-Gagasan Rakyat), Norazizah Pelari @ Palari (Rumpun), Kerry Chee Kheng Moi (STAR Sabah), Rosdiansa Mohd Noor (PPRS).
Selain itu Ahmad Awang (PBK), Frank Salazar @ Franco (Warisan), Hartono Mohamad Juno (Bebas-IND), Shafie Hassan (Bebas-IND) dan Datu Ugis Datu Pula (PIS).
