Pembangkang cadang Jawatankuasa Pilihan Khas Ehwal Islam

KERAJAAN dicadang menimbang untuk menubuhkan Jawatankuasa Pilihan Khas Ehwal Islam dan Keharmonian Agama untuk memperkukuh peranan penyeliaan parlimen terhadap dasar dan pelaksanaan di peringkat kerajaan Persekutuan.
Ia meliputi agensi termasuk Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim), Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM), Lembaga Tabung Haji dan lain-lain.
Ahli Parlimen Kuala Krau Ustaz Kamal Ashaari berhujah jawatankuasa itu berfungsi sebagai platform memperkukuh pemahaman antara agama serta meneliti keberkesanan pelaksanaan dasar-dasar kerajaan.

Selain itu berperanan bagi memupuk keharmonian dan perpaduan nasional berdasarkan semangat bersama.
“Penubuhan jawatankuasa ini bukan bertujuan untuk mencampuri urusan agama di peringkat negeri atau bidang kuasa Raja-raja Melayu yang kekal sebagai ketua agama Islam di negeri masing-masing,” katanya di Dewan Rakyat baru-baru ini.
Pada 14 Februari 2023, Dewan Rakyat meluluskan pelantikan Jawatankuasa Pemilih bagi tempoh Parlimen ke-15 diketuai Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul sebagai pengerusi dan ia dianggotai enam ahli jawatankuasa.
Mereka iaitu Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof (GPS-Petra Jaya), Menteri Pengangkutan, Anthony Loke (PH-Seremban) dan Rafizi Ramli (PH-Pandan).
Selain itu, Datuk Seri Azalina Othman Said (BN-Pengerang), Datuk Seri Hamzah Zainudin (PN-Larut) dan Datuk Seri Takiyuddin Hassan (PN-Kota Bharu).
Jawatankuasa Pilihan Khas (JKPK) Dewan Rakyat Parlimen ke-15 merangkumi JKPK Kewangan dan Ekonomi, JKPK Kesihatan serta JKPK Perdagangan dalam Negeri, Keusahawanan, Kos Sara Hidup dan Pertanian.

Selain itu, JKPK Infrastruktur Pengangkutan dan Komunikasi; JKPK Pembinaan Negara Bangsa, Pendidikan dan Pembangunan Sumber Manusia, JKPK Wanita, Kanak-kanak dan Pembangunan Masyarakat serta JKPK Alam Sekitar, Sains dan Perladangan.
Tegas Ustaz Kamal cadangan penubuhan Jawatankuasa Pilihan Khas Dewan Rakyat selaras dengan Perkara 3 (2) dan 3 (5) Perlembagaan Persekutuan.
Selain itu Perkara 3 (1) perlembagaan dan prinsip pertama Rukun Negara iaitu Kepercayaan Kepada Tuhan.
Oleh itu beliau yakin dengan adanya Jawatankuasa Pilihan Khas Ehwal Islam dan Keharmonian Agama, parlimen akan dapat memainkan peranan yang lebih berkesan dan menyeluruh.
Menurutnya jawatankuasa khas terbabit bukan sahaja dalam aspek ekonomi dan pembangunan fisikal, sebaliknya memperkukuh jati diri moral spiritual negara dan bangsa.

