Pemimpin negara leka bermain wayang dengan Trump

UNDANGAN Malaysia terhadap Presiden Amerika Syarikat Donald Trump menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN di Malaysia Oktober ini dianggap suatu dogmatik yang perlu dibantah.

Ketua Penerangan PAS Kelantan Ustaz Mohd Asri Mat Daud berkata, kemusnahan dan kebuluran di Gaza berkait dengan polisi Trump yang tidak boleh dinafikan.

“Nyawa saudara kita di Gaza melayang dan pencinta keamanan melalui Sumud Flotilla terancam, malangnya pimpinan negara masih leka bermain wayang dengan Trump, untuk apa?,” katanya pada kenyataan.

Semalam Setiausaha Agung PAS Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, PAS bersedia memprotes besar-besaran melalui rentas kaum dan agama sekiranya Presiden Amerika Syarikat datang ke Malaysia.

Katanya, rakyat Malaysia yang bersimpati dengan perjuangan rakyat Palestin, tidak boleh berdiam diri terhadap kehadiran seorang pemimpin yang didakwa terlibat dalam kekejaman terhadap penduduk Gaza.

Malah, sebelum ini Mufti Perlis Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin mengajak rakyat Malaysia melakukan demonstrasi menyambut kedatangan Trump sempena Sidang Kemuncak ASEAN ke-47.

Kata beliau kerajaan boleh menyambut kedatangan Trump mengikut protokol rasmi negara, namun rakyat Malaysia wajar melakukan demonstrasi menzahirkan bantahan terhadap kejahatan dilakukan Trump di seluruh dunia.

Sebaliknya bantahan pelbagai pihak di Malaysia, Mufti Wilayah Persekutuan, Ahmad Fauwaz Fadzil pula dilapor mengannggap bantahan kehadiran Trump bercanggah dengan maqasid syariah iaitu hifz al-amn (memelihara keamanan) dan maqasid al-‘umran (pembangunan tamadun).

Ustaz Mohd Asri yang juga anggota Exco Kerajaan Kelantan berkata, Misi Sumud Flotilla kini bergerak memasuki zon merah yang sudah pasti berhadapan banyak cabaran tidak terjangka termasuk tindakan ganas Israel menyekat misi bantuan.

Katanya, seramai 34 rakyat Malaysia menyertai misi bantuan ke Gaza dan istiqamah meneruskan perjalanan bersama Sumud Flotilla terdiri daripada pelbagai latar belakang.

“PAS Kelantan sentiasa bersolidariti dengan misi yang amat berani dan terpuji tersebut.

“Pelayaran yang juga disertai wanita boleh menyantuni anak-anak kecil serta bayi di Gaza, yang sepatutnya tidak boleh dijadikan sasaran serangan Zionis Israel,” ujarnya.

Kata beliau sebarang tindakan keganasan adalah suatu jenayah besar yang akan dikecam masyarakat antarabangsa.

“Teruskan berdoa keselamatan dan kejayaan misi Sumud Flotilla, menyampaikan bantuan kemanusiaan, selamat daripada semua tindakan keganasan Zionis serta akan kembali pulang dengan selamat,” tambahnya.

Menurutnya juga peserta Sumud Flotilla dalam kondisi berbahaya, amat memerlukan sokongan doa daripada rakyat Malaysia.

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *