
KETIKA ramai guru meluahkan mereka ditimbun dengan silibus yang banyak sehingga terpaksa berjaga malam bagi menghantar laporan, kini akan diperkenal pula Pendidikan Karakter.
Subjek Pendidikan Karakter dilapor akan bermula di prasekolah sebagai teras Kurikulum Persekolahan 2027 bertujuan memperkukuh sahsiah dan jati diri murid.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek dilapor memberitahu pelaksanaan kurikulum baharu itu kini di peringkat persiapan dan akan dimulakan di peringkat prasekolah.
Dalam sistem pendidikan apakah langkah menambah silibus baharu dianggap sebagai suatu reformasi.
Apakah usaha memperkenalkan silibus baru lebih baik berbanding menambahbaik silibus sedia ada untuk menghadapi kerosakan fatal yang berlaku sekarang.

Ketua Dewan Pemuda PAS Kelantan Mohd Firdaus Mohamed Nawi bimbang tahap persediaan guru-guru bagi membuat persiapan menyambut kehadiran silibus baharu tersebut.
“Apakah jaminan penambahan subjek itu tidak hanya sekadar membanyakkan pinggan mangkuk, sedangkan lauk yang disediakan adalah hampir sama.
“Mungkinkah kurikulum baharu mampu menangani isu yang menakutkan berlaku di sekolah sekarang. Dari kes rogol kepada tragedi bunuh semuanya melibatkan pelajar.

“Pendidikan Karakter jika difahami bertujuan melahirkan generasi lebih beradab dan berakhlak, timbul pula persoalan apa jadi dengan mata pelajaran Pendidikan Islam, Pendidikan Moral dan sivik yang ada sekarang,” katanya di Kota Bharu.
Menurutnya pelajar semakin tertekan dengan silibus yang banyak sehingga mendatangkan kesan kepada emosi mereka.
Kata beliau menambah silibus baharu bukan penyelesaian tuntas sebaliknya menambah bebanan pelajar yang sudah sedia terbeban.

Mohd Firdaus khuatir generasi pelajar hari ini semakin hilang empati kerana jiwa mereka kosong dengan persekitaran sekolah berikutan semakin menular kes jenayah.
Oleh itu semua pihak perlu berperanan bermula dari institusi keluarga, masyarakat dan kerajaan.
“Isunya ke arah mana sistem pendidikan mahu dibawa sekarang. Berkiblat timur atau barat atau hanya sekadar terbuai di sebalik emosi yang tidak terkawal.
“Tidak lagi boleh dilaungkan sekolah hanya boleh dikunjungi pemimpin kerajaan sahaja sehingga disebut ‘jangan kacau sekolah kami’,” ujarnya.
Beliau berhujah situasi yang tidak selamat di sekolah mendorong pelajar menghabis waktu dengan telefon pintar tanpa batasan sehingga menghilangkan fokus kepada pelajaran.
Baginya tidak salah sekiranya kaedah lama termasuk mendisiplinkan pelajar melalui acuan agama dan asuhan guru diperluaskan semula bagi membentuk akhlak serta jati diri murid.