
SALMAH MAT HUSAIN
BULI bukan sahaja menular di sekolah seperti diriuh rendah sekarang, sebaliknya ia juga berlaku dalam politik apabila pembangkang terus dianak tiri kerajaan Madani.
Sehingga sekarang ahli parlimen pembangkang dinafikan peruntukan, sedangkan wakil rakyat Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Rakyat (PH) di negeri diterajui Perikatan Nasional (PN) mendapat peruntukan kerajaan negeri.

Lebih memalukan lagi apabila ada penyokong kerajaan Madani mengugut supaya empat negeri diterajui PN tidak diberikan peruntukan dalam Belanjawan 2026.
Ketua Dewan Pemuda PAS Kelantan Mohd Firdaus Mohamed Nawi menyifatkan kenyataan seorang pemimpin Amanah sebagai buli politik yang mahu memberi tekanan mental dan fizikal kepada rakyat di negeri diterajui pembangkang.
Katanya, sebagai Ahli Parlimen kerajaan, tindakan menggunakan platform rasmi di parlimen cuba membuli negeri diterajui pembangkang memperlihatkan kesombongan politik.
“Ucapan seperti itu tidak sepatutnya berlaku di mana secara jelas membelakangi sistem demokrasi matang,” katanya di Kota Bharu.
Baru-baru ini Pengarah Pilihan Raya Amanah Mohd Sany Hamzan dilapor mencadangkan supaya negeri diterajui pembangkang tidak diberi peruntukan dalam Belanjawan 2026.
Mohd Firdaus berkata, kenyataan Ahli Parlimen Hulu Langat itu menunjukkan sikap yang menyimpang daripada semangat demokrasi berperlembagaan dan prinsip federalisme.
“Pemuda PAS Kelantan mendesak agar beliau menarik balik ucapan terbabit. Rakyat di negeri di bawah PN juga pembayar cukai yang perlu dilayan secara adil oleh kerajaan Persekutuan.
“Kenyataan tersebut jelas bertentangan dengan aspirasi anak muda yang kini lebih matang menilai politik berdasarkan keadilan serta kewarasan dan bukan retorik kepartian.
“Saya percaya ucapan ahli parlimen terbabit hanya lelucon tidak kena pada masa dan tempat,” ujarnya.