Gelanggang Rakyat

Perjanjian ditandatangani PM dikecam rakyat

BELUM pernah berlaku dalam sejarah moden di negara kita perjanjian perdagangan yang ditandatangani perdana menteri (PM) dibantah rakyat.

Bukan setakat itu, malah dikesan lebih 139 laporan polis dibuat individu dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di seluruh negara. Mereka mendesak disiasat sama ada berlaku pelanggaran undang-undang atau perlembagaan negara.

Turut mengambil tindakan serupa bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad. Beliau membuat laporan polis terhadap Dato’ Seri Anwar Ibrahim atas perhitungan kedaulatan negara.

Baginya Perjanjian Perdagangan Timbal Balas (ART) yang dimeterai dengan Amerika Syarikat (AS) 26 Oktober lalu boleh mengugat kedaulatan negara.

Perjanjian setebal 400 muka surat dilihat tidak mengikut prosedur sah, kerana tanpa melibatkan Majlis Raja-Raja, Yang di-Pertuan Agong dan Dewan Rakyat.

Pakar Psikososio Dr Zulkeflee Yaacob melihat kebimbangan banyak pihak kerana klausa menyerahkan kuasa Malaysia kepada AS, iaitu apa-apa yang hendak dilakukan perlu dirujuk kepada AS.

Kata beliau Dr Mahathir begitu bimbang kerana hak istimewa Bumiputera tidak disebut dalam ART yang dilihat merugikan negara.

Beliau menyifatkan perjanjian itu sebagai ancaman terhadap kedaulatan Malaysia kerana keistimewaan Bumiputera dalam perniagaan dan perdagangan dimakzul dan AS mendapat apa-apa juga layanan seperti mengambil alih status Bumiputera.

“PMX dianggap tiada hak bersendirian menandatangani ART selain menidakkan kebebasan atau kemerdekaan negara,” ujarnya di Ipoh.  

Keliru

Malangnya di sebalik kecaman pelbagai pihak bekas Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz menyifatkan perjanjian ART Malaysia-AS dibuat kerana struktur eksport Malaysia yang amat terdedah kepada tarif AS.

Usai moment perjanjian mereka menyatakan Malaysia akan mendapat layanan, terutama dalam sektor elektrik dan elektronik serta semikonduktor.

Bagi bekas menteri terbabit tarif sebanyak 25 peratus bagi hampir keseluruhan eksport ke AS dan tanpa ART boleh mengakibatkan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia susut sekitar 1.2 mata peratus setahun, iaitu hampir RM30 bilion setahun.

Beliau turut menafikan dakwaan bahawa ART menjejaskan kedudukan hak bumiputera.

Berdasarkan Artikel 7.1 dalam perjanjian ART mengiktiraf hak dan obligasi Malaysia di Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO), termasuk melindungi keselamatan negara serta mengambil langkah perdagangan yang perlu.

Sebelum ini Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mendakwa perjanjian ART mendapat perhatian serius Jemaah Menteri dan tidak bersifat berat sebelah serta memihak kepada kuasa luar.

Malah, Jabatan Peguam Negara (AGC) memaklumkan, perjanjian tersebut bertujuan meliberalisasikan perdagangan, perkhidmatan dan pelaburan antara kedua-dua negara.

Dr Zulkeflee menjelaskan bagi rakyat campur tangan AS dalam banyak industri termasuk pemakanan, pembuatan, pertanian, ketenteraan dan nadir bumi menyebabkan hampir keseluruhan ekonomi negara dikorbankan.

“Malah hak untuk menentukan halal haram barangan yang dibawa masuk dari negara bukan Islam telah diambil alih peranan oleh Amerika,” ujarnya.  

Perjanjian tersebut akan berkuat kuasa dalam tempoh 60 hari selepas kedua-dua pihak mengesahkan pelaksanaan tatacara perundangan domestik masing-masing.

Namun, Malaysia mempunyai hak untuk menamatkan perjanjian melalui pemberitahuan bertulis sebagaimana diperuntukkan dalam Artikel 7.5.

“Oleh itu, negara mesti keluar daripada terpalit lumus yang mengundang mudarat awam sekali gus tidak berada dalam kotak negara adidaya dunia kerana kemerdekaan tersangat mahal harga maruah dan hayat warganya,” ujar Dr Zulkeflee.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *