Cuit Oghe Kito

Pertembungan Umno-DAP masuk episod baru

Oleh M Faqih |

KETUA Pemuda Umno Datuk Dr Mohamad Akmal Saleh mampu dijulang sebagai hero apabila bertindak berani menyahut cabaran Pemuda DAP. Beliau mengumumkan meletak jawatan sebagai anggota Exco Kerajaan Melaka.

Akmal mengumumkan meletak jawatan sebagai Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan yang disandang sejak April 2023. Perletakan jawatan itu dimaklum akan berkuat kuasa minggu depan.

Beliau mengulangi naratif sama dengan menjejaki bekas Timbalan Presiden PKR, Datuk Rafizi Ramli dan Nik Nazmi Nik Ahmad apabila meletak jawatan sebagai menteri tahun lepas.

Mereka tewas pada pemilihan sempena Kongres PKR. Berundur selepas tewas di gelanggang pertandingan kalah mati kerana melawan anak presiden parti.

Namun, berbeza bagi Akmal, tiada angin dan ribut kencang tiba-tiba beliau mengumumkan meletak jawatan. Sahamnya melonjak tinggi kerana mengumumkan perkara itu di Perhimpunan Agung Pemuda Umno di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur, hari ini. Bersaksikan ribuan yang hadir.

Lagak hampir serupa seperti bekas presiden Umno Tun Dr Mahathir Mohamad, lebih dua dekad lalu. Namun, Dr Mahathir tiba-tiba u-turn apabila dipujuk pimpinan Umno. Adakah situasi serupa mengulangi Akmal.

Keputusan Adun Merlimau itu dilihat sebagai anak jantan bagi menyahut desakan pemuda DAP yang sebelum ini menuntutnya mengambil pendirian sedemikian.

Pada 7 Januari lepas Pemuda DAP menggesa Akmal meletak jawatan sebagai Exco Melaka berikutan kenyataan Presiden Umno Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, parti itu akan kekal bersama Kerajaan Madani sehingga tamat penggal.

Cakap serupa bikin

“Dr Akmal harus letak jawatan segera dan laksanakan pendirian yakni keluar Kerajaan Perpaduan di Melaka. Jangan cakap tidak serupa bikin,” kata Pemuda DAP pada kenyataan.

Sebelum itu Dr Akmal menggesa dibuat ketetapan supaya Umno menarik diri daripada kerajaan Perpaduan pada perhimpunan khas Pemuda Umno.

Kata beliau, keputusan tersebut perlu dibuat secara kolektif dan berprinsip demi menjaga maruah serta hala tuju parti bagi memperjuangkan kepentingan orang Melayu dan Islam.

Ketika keputusan nekad itu diumum Dr Akmal berkata, ia dibuat selepas mengadakan perbincangan dengan Zahid dan Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh.

“Saya mohon maaf. Hari ini saya nak umumkan, untuk menunjukkan bahawa saya bawa suara akar umbi yang keresahan, saya letak jawatan sebagai Exco Melaka berkuat kuasa minggu depan.

“Kalau ada orang cakap dengan saya, saya lari daripada perjuangan, sebaliknya tidak sama sekali saya tinggalkan Pemuda Umno,” ujarnya pada ucapan dasar sempena perhimpunan Pemuda Umno.

Mengulas perkembangan tersebut Timbalan Presiden Umno, Datuk Seri Mohamad Hasan menyifatkan Pemuda Umno tidak biadab!.

“Dr Akmal teruskan keberanian kamu. Apa yang dibangkitkan Pemuda Umno termasuk dalam konvensyen khas baru-baru ini merupakan `jeritan’ berkaitan isu-isu rakyat.

“Semua pemuda teruskan keberanian kamu,. Jadi pembangkang yang konstruktif dalam kerajaan. Rampas naratif hero rakyat daripada pembangkang,” katanya pada perhimpunan tersebut.

Ketua Pemuda PAS Afnan Hamimi Taib Azamudeen turut merakam ucapan tahniah kepada Dr Akmal di atas prinsip tegas yang dipertahankan.

“Kita sama-sama lawan DAP!..” katanya pada catatan di laman sosialnya,” ujar beliau.

Ternyata episod baru melanda kerajaan Madani. Ia bukan sekadar menyahut cabaran Pemuda DAP, sebaliknya episod pertembungan tidak akan berakhir.

Keberanian Dr Akmal memberi isyarat jelas, pertelingkahan dengan DAP dijangka akan memasuki babak baru, lebih nyaring dan tegang.

Biarpun Zahid menjelaskan parti itu kekal dalam kerajaan Madani, namun dalam masa sama beliau memberi izin Akmal berundur bagi mempertahankan prinsipnya.

Ia bermakna Zahid bertindak dua dalam satu. Membiarkan pertembungan Umno-DAP berlaku secara lebih terbuka. Beliau juga mungkin tahu jawatan Timbalan Perdana Menteri hanya sementara menjelang akhir penggal ke-15.

Sekarang biarkan Akmal masuk gelanggang dengan langkah silat Melayu. Mampukah Akmal berlagak seperti Sang Jebat yang keseorangan mahu menarik semula sokongan orang Melayu. Sedangkan pengaruh Umno semakin jauh susut.  

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *