Pertembungan Umno-PH gugat kerajaan Melaka

Oleh M Faqih
KRISIS Umno-DAP kini menjangkiti Amanah. Ketegangan Umno-Amanah sekarang merebak pula ke Kedah. Pergolakan yang bermula di Johor dan Melaka sudah melangkau jauh ke utara.
Masing-masing membayangkan akan bergerak solo bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16). Amanah cuba menjarakkan diri daripada Umno yang juga mendukungi kerajaan Madani sekarang. Kedua-dua parti terbabit tiada sebarang kerusi di Kedah pada pilihan raya umum ke-15.
“Amanah Kedah turut menghormati pendirian Umno Kedah kerana ia adalah pendiriannya menentukan hala tuju pada PRU16,” kata parti itu pada kenyataan media, hari ini.
Sebelum itu pemimpin Amanah, Khalid Abdul Samad dan Aminolhuda Hassan memberi bayangan akan bertanding secara bersendirian pada pilihan raya negeri (PRN) Melaka dan Johor tidak lama lagi.
Ekoran itu Ketua Pemuda Umno Datuk Dr Akmal Saleh mencadangkan agar kedua-dua parti bertembung di medan. Manakala Ketua Pemuda Umno Johor Noor Azleen Ambros mencabar Aminolhuda menamakan calon menteri besar Johor jika Amanah berhasrat mencabar Umno.
Isyarat yang berlaku itu boleh memberi kesan negetif menjelang PRN Melaka yang dijangka diadakan akhir tahun ini. Sebelum ini PRN Melaka diadakan pada 20 November 2021.

Pertandingan itu merebut 28 kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun) Melaka. Bagaimanapun BN berjaya membentuk kerajaan negeri yang baharu apabila mendapat majoriti dua pertiga.
BN menang 21 daripada 28 kerusi. Pakatan Harapan (PH) berjaya kuasai lima kerusi, manakala Perikatan Nasional (PN) pula menang dua Dun.
Masa berbaki hanya sekitar 10 bulan lagi untuk diadakan PRN. Biarpun BN menang selesa pada PRN lepas, pergolakan yang sedang melanda sekarang akan memberi mudarat tidak sedikit.
Selepas Melaka, PRN pula akan bertandang ke Johor. Dun Johor dibubar secara mengejut dan pilihan raya diadakan pada 12 Mac 2022. Biarpun tempoh akhir masih ada setahun lagi, tidak dapat ditolak kemungkinan Johor dan Melaka boleh diadakan serentak.

Di Johor kuasa Umno dan BN lebih dominan. BN memperoleh mandat besar lebih dua pertiga pada PRN ke-15. Daripada 56 kerusi Dun yang dipertanding, BN memenangi 40 kerusi.
Umno menang di 33 Dun, MCA (4) dan MIC (3). Sedangkan pada Pilihan Raya Umum ke-14, PH membentuk kerajaan negeri Johor selepas memenangi 36 kerusi Dun berbanding BN yang hanya meraih 19, manakala PAS menang di satu Dun.
Isyarat buruk
Pertembungan secara terbuka antara Umno dan Amanah, sudah tentunya memberi isyarat buruk terhadap keutuhan kerajaan negeri Melaka yang diterajui BN.
Pada PRN lepas Amanah yang mewakili PH bertanding di lapan kerusi iaitu di Kuala Linggi, Ayer Limau, Taboh Naning, Durian Tunggal, Pantai Kundur, Telok Mas, Serkam dan Merlimau.
Kemungkinan besar kerusi tersebut menjadi medan pertembungan antara Umno dan Amanah.

BN berdepan dengan laluan sukar untuk mempertahankan Dun Tanjung Bidara memandangkan Ketua Menteri Datuk Seri Abdul Rauf Yusoh hanya menang 364 undi.
Rauf meraih 3,559 undi berbanding Datuk Mas Ermieyati Samsudin dari PN yang mendapat 3,196 undi. Manakala calon PKR Zainal Hasan hanya mendapat 489 undi.
Begitu juga di Dun Rembia yang dimenangi Datuk Muhamad Jailani Khamis dengan majoriti 860 undi. Beliau mengatasi PKR Zamri Pakiri (3,364 undi dan Zamzuri Ariffin (PN) 2,433 undi.

Namun, pada 10 Jun 2023 Muhammad Jailani menyertai PAS selepas digantung keahlian Umno. Berikutan itu blok pembangkang bertambah kepada tiga Adun.
Manakala blok penyokong kerajaan berkurang satu kerusi menjadi 25 orang. BN juga berdepan kesukaran mempertahankan Dun Gadek kerana menang dengan majoriti 559 undi. Situasi serupa dijangka berlaku di Dun Durian Tunggal yang dimenangi Zahari Abd Kalil dengan majoriti 559 undi.

PN pula menang di Sungai Undang melalui Dr Mohd Aleef Yusof yang mendapat 6,789 undi. Beliau menang dengan majoriti 530 undi. Aleef mengalahkan Mohamad Ali Mohamad dari BN yang mendapat 6,259 undi dan calon PKR Hasmoni Tamby (2,035 undi).
PN juga berpeluang cerah di Dun Pantai Kundor memandangkan BN hanya menang 827 undi melalui Tuminah Kadi Mohd Hasim, manakala calon Amanah, Nor Azman Hassn mendapat 2,799 undi.

Umno menang hanya majoriti 200 undi di Dun Duyong melalui Mohd Noor Helmy Abdul Halem. PN turut menguasai Dun Bemban melalui Dr Mohd Yadzil Yaakub. Beliau menang dengan majoriti 328 undi.
PAS pula berpeluang lebih cerah di Serkam memandangkan Ahmad Bilal Rahudin hanya kecundang 79 undi kepada Zaidi Attan dari BN. Sekiranya dendam Umno-DAP-Amanah tidak mampu dipadamkan, kemungkinan tidak dapat ditolak Melaka akan bertukar terajui negeri pada PRN16.
