Peserta Global Sumud kongsi pengalaman di Kelantan

SEBELUM ini rakyat Kelantan hanya mengikuti Global Sumud Flotilla (GSF) ke Gaza melalui media massa dan media sosial, namun pada 23 Oktober ini beberapa peserta misi terbabit diundang ke Kelantan.

Ustaz Mad Kechik difahamkan dijemput bagi menceritakan pengalaman dilalui sepanjang mengikuti ekspedisi begitu mencabar sehingga ditahan tentera rejim Zionis Israel.

Program itu akan diadakan sempena sambutan ulangtahun tujuh dekad PAS Kelantan bertempat di Dataran Warisan Stadium Sultan Muhammad IV, bermula solat Maghrib. 

Kemudian diikuti persembahan qasidah akan disampaikan Pasukan Maulid Arbain. Turut diadakan tausiah disampaikan Ketua Dewan Ulamak PAS Kelantan Dato’ Tuan Mohd Saripudin Tuan Ismail dan wakil pondok.

Program terbabit dianjurkan Dewan Ulamak PAS Kelantan dengan kerjasama Yayasan Amanah Tok Kenali dan Bahagian Dakwah Halaqat Negeri turut menganjur solat hajat dan munajat.

Ustad Mad nama sebenar Muhammad Abdullah bersama 22 rakyat Malaysia yang menyertai GSF ditahan tentera Israel baru-baru ini dan dihantar pulang melalui negara ketiga.

Misi GSF disertai lebih 500 aktivis dari 44 negara cuba memecahkan sekatan Israel dengan membawa bekalan makanan dan perubatan untuk penduduk Palestin.

Sambutan ulangtahun 70 tahun PAS Kelantan peringkat negeri bermula 21 Oktober dengan seminar 70 tahun yang akan diadakan di dewan konvensyen Kelantan Trade Centre (KTC).

Pembentangan akan disampaikan Naib Presiden PAS Dato’ Mohd Amar Abdullah, kemudian diikuti wacana membariskan Tuan Mohd Saripudin, Ketua Dewan Muslimat PAS Kelantan Dato’ Siti Zailah Mohd Yusoff, Ketua Pemuda PAS negeri Ustaz Mohd Firdaus Nawi.

Selain itu Ketua Dewan Himpunan Pendukung PAS Kelantan Lim Guan Seng dan Ketua Dewan Assabiqun Dato’ Abdullah Ya’kub. Manakala Pengarah Pusat Kajian Strategik Dato’ Dr Wan Nik Wan Yussof bertindak sebagai moderator.

Konsert Amal

Pada 22 Oktober pula akan diadakan Konsert Amal Sumud Palestin di Dataran Warisan Stadium Sultan Muhammad IV, dianjurkan Urusetia Kebajikan, Pembangunan Wanita dan Keluarga dengan kerjasama dengan Muslimat PAS Kelantan. 

Program terbabit yang dijangka bermula jam 9.15 malam dimulakan dengan persembahan Asmaul Husna dan menampilkan artis nasyid, dikir barat dan perkongsian pengalaman peserta Sumud Flottila.  

Kemuncak program pada 24 Oktober bermula dengan ‘fun walk’ keluarga PAS jam 7 pagi di mana acara pelepasan di Pintu Gerbang Medan Ilmu. Peserta akan melalui KB Mall, Wakaf Siku dan berakhir di Dataran Warisan.

Pada jam 8.30 akan diadakan kuliah pagi Jumaat Perdana disampaikan pendakwah bebas Ustaz Azhar Idrus dan perasmian sambutan ulangtahun ke-70 PAS Kelantan.

Jam 3 petang akan diadakan Himpunan Anak Muda disendat dengan acara pertandingan pidato, himpunan pendidik, ARC dan persembahan nasyid Kumpulan Rabbani. Program berkenaan akan diadakan di Dataran Warisan.

Jam 5 petang Himpunan Ulamak akan diadakan di Dewan Jubli Perak MPKB-BRI dan Himpunan Muslimat di dewan KTC.

Kuliah Maghrib akan disampaikan Setiausaha Dewan Ulamak PAS Kelantan Ustaz Syed Ahmad Ridhwan Sayed Md Zain kemudian diikuti solat Isyak dan solat hajat.

Acara kemuncak akan diadakan ceramah perdana sambutan 70 Tahun PAS Kelantan dan 35 tahun dasar Membangun Bersama Islam akan mengetengahkan  Presiden PAS Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang, Presiden Bersatu Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Selain itu Pesuruhjaya PAS Kelantan Dato’ Bentara Kanan Ustaz Ahmad Yakob dan Menteri Besar Kelantan Dato’ Panglima Perang Ustaz Mohd Nassuruddin Daud.

Sepanjang program tersebut berlangsung bermula 21 hingga 24 Oktober diadakan pemeran PAS Kawasan dan sejarah PAS, pemeriksaan kesihatan percuma, khidmat nasihat guaman, zon riang ria kanak-kanak, cetak kad keahlian PAS dan karnival jualan.

Manakala sambutan di peringkat kawasan diadakan bermula 31 Ogos lepas dimulakan PAS Rantau Panjang, 3 Oktober (Jeli, Kubang Kerian, Pasir Mas, 10 Oktober (Tumpat), 11 Oktober (Ketereh).

Pada 14-15 Oktober (Machang), 17 Oktober (Gua Musang, Bachok, Kuala Krai dan 18 Oktober (Pasir Puteh, Pengkalan Chepa, Kota Bharu, Tanah Merah).

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *