Pilihan raya PBT agenda lama DAP

Oleh Aslani M & A Rahman Harun |
PUCUK dicita ulam mendatang. Inilah impian lama sebuah parti komponen Pakatan Harapan (PH). Desakan sudah lama disuarakan, namun ia tidak pernah diendahkan kerajaan ketika itu.
Pada 10 Dis 2018 DAP terus mendesak pelaksanaan pilihan raya pihak berkuasa tempatan (PBT). Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng menjelaskan pilihan raya tersebut sebahagian daripada perjuangan DAP bagi mempromosikan budaya demokrasi.
“Kita akan laksana satu demi satu, memenuhi janji pilihan,” katanya seperti dilapor media. Tuntutan itu tetap dibuat walaupun kerajaan tidak akan melakukannya.
Dan pada 8 Disember 2019 Konvensyen DAP Wilayah Persekutuan melulus usul mengembalikan pilihan raya pihak berkuasa tempatan (PBT). Usul itu mendapat sokongan 107 perwakilan yang hadir.
Dan sekali lagi pada 17 Disember 2023 DAP menggesa kerajaan mengembalikan semula pilihan raya PBT di peringkat bandar raya Kuala Lumpur.

Pengerusi DAP Wilayah Persekutuan, Tan Kok Wai dilapor berkata cadangan itu bagi memperkukuh demokrasi di Wilayah Persekutuan.
DAP juga dilapor mahu memansuhkan Kementerian Wilayah Persekutuan dengan alasan bagi mengelakkan campur tangan politik dalam pentadbiran Kuala Lumpur.
Sudah terang lagi bersuluh. DAP memang konsisten mendesak pilihan raya PBT sejak dahulu lagi. Ia bukan lagi perkara rahsia. Pilihan raya PBT dilihat sebagai selari dengan ideologi demokrasi liberal DAP.
Parti itu akan meraih laba yang besar dan menguntungkan. Ini kerana semua orang tahu di kawasan bandar besar majoriti pengundinya menyokong PH.

Hari ini impian lama itu diuar-uarkan semula. Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh dilapor mengarahkan kementerian itu menjalankan kajian kebolehlaksanaan bagi mengadakan pilihan raya Datuk Bandar Kuala Lumpur.
Baginya pilihan raya Datuk Bandar dilihat lebih praktikal berbanding memilih ramai ahli majlis bandar raya menerusi pilihan raya kerajaan tempatan.
Impian DAP boleh menjadi mudah kerana Umno hadir menguatkan kerajaan Madani. Umno meninggalkan perjuangan berteras Melayu ntuk membantu DAP menggapai impian lama.
Jajaran politik yang dipilih Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi secara tidak langsung memberi keuntungan berganda kepada DAP dan bukannya Umno.
Sekarang DAP memiliki kuasa politik dengan bantuan Umno, PKR dan Amanah. Biarpun ada pemimpin Umno tegas menolak cadangan DAP itu, namun presiden parti terbabit dilihat bertindak di sebaliknya.
Umno tolak

Ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno Datuk Mohd Razlan Muhammad Rafii menegaskan parti itu akan menolak agenda pilihan raya PBT.
Beliau dilapor menyifatkan agenda politik DAP berisiko merugikan rakyat. Kata Razlan selagi parti itu berada dalam kerajaan Madani, bantahan tetap dilakukan.
Tentangan lebih keras disuarakan Ketua Pemuda Umno Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh. Pada kenyataan di laman sosialnya beliau menolak dan berikrar akan menggagalkan cadangan mengadakan pilihan raya jawatan Datuk Bandar Kuala Lumpur.
Menurutnya cadangan DAP dilihat sebagai kesinambungan usaha sebelum ini berkaitan Rang Undang-Undang (RUU) Pembaharuan Semula Bandar (PSB) serta cadangan pilihan raya PBT.
“Sebelum ini PSB, selepas itu pilihan raya PBT, dan kali ini pula pilihan raya Datuk Bandar Kuala Lumpur. Mereka tetap dengan pendirian mereka, kita jangan lalai. Sebagaimana kita menolak dan menggagalkan perancangan PSB serta pilihan raya PBT sebelum ini,” katanya.

Isunya apakah suara Razlan dan Dr Akmal diamenkan Zahid. Beliau dilihat lebih utamakan status politik segera di bawah kerajaan Madani. Atau mungkinkah strategi halus sebelum memecahkan kerajaan Madani dari dalam.
Tidak dapat ditolak suara dalaman Umno menghantar isyarat kepada Zahid supaya meninggalkan Datuk Seri Anwar Ibrahim, sebelum Umno ditolak rakyat dengan lebih parah.
Malangnya isu sebesar itu disifatkan pemimpin PKR Datuk Fahmi Fadzil sebagai tiada keperluan dibahaskan ketika ini.
Hujahnya kerana kerajaan belum menerima kajian yang dilaksanakan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM). Baginya perkara itu masih di peringkat kajian dan belum dibincangkan jemaah menteri.
Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Seri Mohamad Sabu pula mahu memastikan berlaku situasi ‘menang-menang’ melibatkan semua kaum.
“Pilihan raya ini pada masa akan datang perlu difikirkan kerana PBT kalau dipilih oleh rakyat, dia kena bekerja betul-betul untuk kepentingan rakyat dan bukan untuk ketua parti,” katanya seperti dilapor media.
Perangkap

Apakah pemimpin Melayu dalam Umno, PKR dan Amanah lupa, pilihan raya PBT sudah lama diperjuangkan DAP. Ia bukan secara kebetulan, biarpun disebut Hannah dicadang Menteri Wilayah sebelum ini.
Pilihan raya PBT pernah dilaksanakan di negara ini sebelum dimansuhkan selepas peristiwa rusuhan kaum pada 13 Mei 1969. Generasi lama lebih maklum tragedi berdarah tersebut. Malah Tunku Abdul Rahman mencatat peristiwa itu dalam sebuah buku.
“Bagi sesetengah ahli sejarah, peristiwa ini berlaku disebabkan oleh isu perkauman dan juga beberapa isu yang berlaku beberapa hari sebelum 13 Mei seperti Pilihanraya Umum 1969, provokasi kaum dan sebagainya.
“Peristiwa 13 Mei 1969 ini merupakan salah satu peristiwa hitam yang memberi kesan kepada rakyat Malaysia secara amnya dan juga perpaduan antara kaum secara khususnya. Peranan parti politik dan juga para pemimpinnya juga telah menyumbang kepada berlakunya kekacauan di dalam sistem perpaduan di negara ini,” ujar Tuanku Abdul Rahman.

PAS turut bimbang inisiatif Kementerian Wilayah kerana sebarang perubahan dalam sistem pemilihan pemimpin tidak boleh lari dari realiti demografi kaum.
Timbalan Presiden PAS, Datuk Sri Tuan Ibrahim Tuan Man menegaskan sekiranya perkara itu diabaikan ia boleh memberi impak besar terhadap kestabilan negara.
“Bila menteri wilayah mencadangkan untuk buat kajian pilihan raya PBT, walaupun dia kata ini bukan pilihan raya, tetapi kajian sahaja, ya untuk apa kajian ini..
“Kenapa orang Melayu bantah ternakan babi di Bukit Tagar Selangor, sebab majoriti penduduknya adalah Melayu,” katanya pada ceramah di Markas PAS Seremban baru-baru ini.

Menurutnya dasar pecah dan perintah penjajah British memisahkan kaum mengikut penempatan di Tanah Melayu. Orang Melayu dikekalkan di kawasan luar bandar, Cina di bandar dan India di ladang.

